SEPANJANG 11 tahun bergelar pendidik dan mengajar subjek Pendidikan Seni, acapkali cikgu berhadapan pelajar hilang rasa keseronokan belajar.

Sesetengahnya, semangat untuk  mencuba semakin hari semakin luntur justeru  keghairahan meneroka alam persekolahan hilang bersama sikap acuh  tidak acuh.

Kesannya, wujud stigma dan melabelkan semuanya  susah dalam otak sekali gus melenyapkan pemikiran cuba berusaha  sesuatu yang baharu.

Ini menyebabkan ramai berkelakuan negatif seperti ponteng sekolah, tidur  dalam kelas, ingkar arahan malah ada yang berterusan menyalahkan takdir.

Antara sedar atau tidak, banyak sebenarnya potensi diri yang belum digali.

Bakat kecerdasan semula jadi kurniaan Ilahi,  kebolehannya masih belum diuji lantaran kita kosong ilmu taksiri kendiri.

Mengikut Model Pelbagai Kecerdasan Gardner,  kecerdasan seseorang boleh dipelajari, dikembang dan  dipertingkatkan.

Kecerdasan ini dibahagikan kepada  sembilan jenis, iaitu linguistik, logik Matematik, muzik,  visual, kinestetik atau pergerakan tubuh, personaliti dalaman, personaliti luaran, naturalistik dan spiritual.

Dapatan Teori Gardner menyatakan setiap individu mempunyai kesemua  sembilan kecerdasan tetapi pada tahap perkembangan berlainan.

Selain itu, kebanyakan individu  dapat mengembangkan setiap kecerdasan ke satu tahap yang cekap  jika diberi galakan, penggayaan dan pengajaran yang sesuai.

Ideanya, kecerdasan jarang  beroperasi secara tersendiri. Beberapa kecerdasan akan bertindak serentak  dalam menghasilkan sesuatu kerja.

Akhir sekali, sesuatu kecerdasan boleh dimanifestasikan dalam  pelbagai cara dan bentuk.

Daripada maklumat ini semua, cikgu yakin setiap pelajar punya potensi diri. Sama ada mahu mencuba dan terus mencuba, akhirnya kita yang menentukan jalan hidup.

Andai kurang dalam pencapaian akademik,  tingkatkan pengetahuan ilmu kemahiran seperti  seni lukis, teater, nyanyian, mekanik, automotif, kulinari dan pelbagai lagi.

Apa yang penting, jangan rendahkan  nilai diri. Sentiasa kekal positif  bahawa kejayaan tidak mandiri tanpa usaha beribu kali. 

Pesan cikgu, belajarlah meneroka peluang dan usah takut keluar daripada kepompong ketakutan  dan kebiasaan.

Lantaran, jika terlalu terlalu  selesa, kita tak akan pernah melihat lebih  jauh nikmat Tuhan. Bak rerama berasal beluncas, keindahannya dinikmati selepas keluar daripada kepompong.

Maka, elakkan akhiri hidup kita  dengan sentiasa  kalah dan terus melopong!

MOHD IZRANUDDIN JELANI
Guru Pendidikan Seni, SMK Tun Fatimah Hashim, Johor Bahru

Artikel lain:

Empat sebab Dr Maszlee menangis - Bimbang ada pegawai tak sehaluan dengan aspirasi yang ditonjolkan

'Kepada rakan saya di KPM, jangan gagalkan anak-anak kita' - Maszlee

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid Tahun Enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau

'Tetap serius dan tegas ketika mengajar walaupun berwajah 'baby face' - Cikgu Ian Francis Manga