PEMIMPIN yang hebat pada masa hadapan sewajarnya bermula dengan menjadi  pemimpin diri yang cemerlang.

Riwayat Bukhari Muslim pernah menyatakan bahawa “setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya kepimpinannya”. Justeru, memimpin diri sendiri dengan cemerlang adalah perkara penting sebelum memimpin orang lain.

Setiap individu bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri.

Oleh itu, segala matlamat yang ditetapkan akan tercapai kerana individu itu benar-benar menguasai dirinya sendiri. Diri kita adalah modal kejayaan kita. Sejarah telah membuktikan kecemerlangan individu bergantung kepada kekuatan diri sendiri.

Datuk Seri Siti Norhaliza Taruddin yang suatu ketika dikenal sebagai penyanyi kampung, berbekalkan bakat dan imej sederhananya, telah berjaya mengondol pelbagai anugerah seni di peringkat antarabangsa.  

Datuk Azhar Mansor, pelayar negara  berjaya mengelilingi dunia seorang diri manakala Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukary, seorang peniaga daging di pasar semasa mudanya kini telah bergelar jutawan dan merupakan antara 10 orang terkaya di Malaysia.

Semua ini dapat mereka lakukan kerana sifat kecekalan yang tinggi, keyakinan dan kekuatan bagi menghadapi halangan dan cabaran.

Mereka adalah contoh insan yang mempunyai kepimpinan diri yang cemerlang.

Bagaimana kita dapat memimpin diri dengan cemerlang? Menurut Richard W. James, terdapat tiga perkara asas yang wajar dimiliki untuk memimpin diri sendiri iaitu :-

1.  Memiliki prinsip diri

Prinsip diri merupakan konsep nilai kendiri yang menentukan sikap dan tindakan seseorang. Sekiranya tiada prinsip diri, seseorang mudah terumbang ambing dan umpama lalang dalam membuat keputusan.  

Sekiranya ingin mendapat semua A dalam peperiksaan awam misalnya, seorang pelajar perlu berkorban waktu hiburannya dengan memberikan tumpuan yang lebih kepada pelajaran.

2.  Memiliki sikap yang mendorong ke arah pencapaian matlamat.

Sikap lahir daripada prinsip yang diyakini dan diamalkan. Menerusi sikap juga akan terbentuk gaya hidup iaitu sama ada terdorong kepada perkara positif atau sebaliknya. Sikap individu akan menentukan sama ada dia disenangi orang sekeliling dan mempunyai ramai musuh atau rakan.

Ketika bermasalah, dia mampu mencari jalan penyelesaian, ketika buntu dia mampu mencari ilham, ketika jahil dia bertanya dan ketika lemah dia mampu memotivasinya dirinya semula tanpa dorongan orang lain.

Pemimpin yang baik juga dapat mengawal dirinya supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang tidak baik.

3. Memiliki Komitmen untuk melaksanakan

Pemimpin diri yang cemerlang akan memberi komitmen yang tinggi untuk melaksanakan apa yang disasarkan. Antaranya  budaya kerja cemerlang, tidak bertangguh dalam melakukan tugasan dan menepati masa, ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Sekiranya mempunyai komitmen sedemikian, seseorang itu bukan sahaja cemerlang dalam memimpin dirinya malah bakal menjadi memimpin yang disegani suatu hari kelak.

Pemimpin diri yang cemerlang perlu mengamalkan lima prinsip yang  saling berkaitan dan melengkapi :-

1. Kepercayaan kepada Tuhan

Pemimpin perlu mempunyai keyakinan dan pegangan agama yang kuat. Pendidikan agama menjadi pegangan dan pedoman utama  bagi menentukan hala tuju dan arah tujuan hidup. Ketenangan

dan pengabdian kepada Tuhan akan memberi kekuatan yang luar biasa untuk menempuh dugaan.

2. Mempunyai tujuan hidup yang jelas

Tujuan yang jelas adalah perlu dalam  mengharungi cabaran. Hidup tanpa tujuan akan menyebabkan kita mudah terpengaruh dan mengikut arus semasa.

3. Mampu membuat refleksi kendiri

Kemahiran refleksi kendiri penting dalam menilai setiap tindakan, kekuatan, kelemahan  dan perilaku kita setiap hari. Dalam hal ini, menulis diari adalah salah satu kaedah refleksi yang terbaik.

4. Bertanggungjawab

Pemimpin yang cemerlang bertanggungjawab atas apa yang dilakukan. Oleh itu, setiap tindakan perlulah difikirkan dahulu sebab akibat dan kesan kepada masa depan kita. Tanyalah diri kita sama ada apa yang dilakukan memberi kesan yang baik kepada diri dan orang di sekeliling.

5. Konsisten

Konsisten adalah sikap orang yang cemerlang. Apabila kita mempunyai pegangan yang baik, tujuan hidup yang jelas, boleh membuat refleksi dan bertanggungjawab, namun tidak konsisten dalam mencapai matlamat, maka kita gagal dalam memimpin diri sendiri.

Namun begitu, semua perkara dan aspek yang dinyatakan di atas hanya berjaya sekiranya seseorang itu mahukan perubahan dalam dirinya.

Kitalah yang menentukan siapa kita sepuluh tahun akan datang. Jadilah pemimpin diri yang cemerlang sebelum memimpin orang lain! Tepuk dada tanya selera.

   

Dr Zuridah Hanim Md Akhir

Ikon GPM Kedah

Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media

SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah

Tip Menarik:

31 cara mengawal murid dalam kelas oleh Cikgu Herryan Syah. Senang sangat!

Teknik graf bantu pelajar Tingkatan Dua hafal Pengasas Kesultanan Negeri dengan mudah