GUA MUSANG - Walaupun telah berkali-kali diberi penjelasan mengenai kejadian culik itu yang berlaku di luar negara, namun masyarakat Orang Asli di sini masih takut hingga tidak hantar anak mereka ke sekolah.

Mereka melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anak mereka selepas video penjualan organ dan kes culik kanak-kanak tular.

Rata-rata memberitahu, mereka bimbang jika situasi itu berlaku kepada anak mereka.

Jefri Berket, 45, dari Pos Pasik, berkata, dia terpaksa melarang anak-anaknya bermain dan merayau di luar rumah kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya, selepas menonton rakaman video yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp, dia membuat keputusan untuk mengawasi anak-anak dan perkara itu turut dilakukan penduduk kampungnya.

“Saya menonton video itu di mana ada kumpulan yang menculik kanak-kanak dan menjual organ. Saya bimbang jika ia berlaku kepada anak-anak di sini.

“Kampung kita juga sering dimasuki orang luar dan kita tidak tahu apa niat mereka. Jadi ada baiknya kita berjaga-jaga," katanya.

Kata Jefri, rata-rata penduduk di sini tak benarkan anak bermain tanpa pemantauan.

"Apabila hari mula gelap, semua kena berada di dalam rumah,” katanya.

Bagi Awi Along, 43, dari Kampung Jias, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis, rakaman video itu tular sejak bulan lalu.

Katanya, seluruh penduduk di kawasan penempatan Orang Asli mula berjaga-jaga selepas dimaklumkan mengenaiperkara tersebut.

“Sebabkan video itu, ada yang tidak hantar anak ke sekolah kerana bimbang keselamatan mereka.

“Anak-anak juga takut dan sekiranya perkara ini berlaku, ia seakan sama seperti kisah yang pernah berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi tiga tahun lalu,” katanya.

BIDI

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SK Hendrop, Bidi Ronggeng berkata, kebimbangan itu turut dirasai penduduk di Kampung Hendrop.

Menurutnya, semua penduduk berjaga-jaga malah meningkatkan kawalan keselamatan dengan menjalankan rondaan setiap malam.

“Kami bergilir-gilir buat kawalan keselamatan bagi memastikan anak-anak selamat.

“Rakaman video yang tular itu berlaku di luar negara, namun masyarakat Orang Asli takut jika berlaku di sini. Saya sudah jelaskan tapi mereka tetap takut," katanya.

Kata Bidi, sekiranya perkara tersebut berlanjutan sehingga menjejaskan kehadiran ke sekolah, dia terpaksa panggil pegawai polis untuk beri penjelasan mengenai hal berkenaan.

Bagi aktivis Orang Asli, Nasir Dollah, pihak berkuasa perlu memberi jaminan keselamatan.

“Saya juga ada terima laporan mengenai perkara itu dan sehingga kini, belum ada kejadian seperti itu. Namun, masyarakat Orang Asli masih takut.

"Saya rasa, perlu penjelasan daripada pihak yang berkenaan agar mereka rasa lega dan selamat,” katanya.