Shah Alam – Berpeluang berkunjung ke Karangraf pada 24 September lalu menafikan semua maklumat yang diterima berkenaan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) selama ini.

Demikian kata Guru Perpustakaan dan Media Sekolah menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Datuk, Salmah Ismail yang membawa 43 pelajarnya berkunjung ke syarikat penerbitan milik bumiputera ini.

“Kita sebelum ini dengar bahawa karangkraf ini mengenai buku sahaja jadi apabila sampai di sini kita nampak bahawa penceritaan itu tidak sama dengan realiti,” katanya.

Beliau yang ditemani dua lagi rakan guru berkata, lawatan itu benar-benar membuka minda pelajar dan berharap ilmu yang diperoleh memberi manfaat kepada semua.

"Saya ingin bawa pelajar keluar daripada kepompong sekolah untuk melihat bagaimana penjenamaan buku itu menjadi wadah kepada pelajar yang memberikan satu kesan baru kepada mereka," katanya.

Kata Salmah, lawatan tersebut juga membolehkan mereka melihat sendiri bagaimana usaha dan cabaran yang dihadapi Karangkraf daripada sebuah perusahaan yang kecil sehingga menjadi sebuah organisasi besar.

"Saya juga berharap lawatan ini dapat melahirkan rasa cinta dan minat pelajar kepada buku.. malah mengajar pelajar bahawa  bahawa usaha yang berterusan tanpa mengenal erti kecewa akan menghasilkan kejayaan," katanya.

Sementara itu, pelajar tingkatan 6 Nurul Asyikin Mohd berkata, apabila tiba di sini baru dia tahu bahawa surat khabar Sinar Harian dikeluarkan oleh Karangkraf malah dia sangat teruja apabila mengetahui syarikat penerbitan ini bukan sahaja mengeluarkan buku malah novel dan majalah.

"Melalui lawatan ini saya banyak mengetahui proses penerbitan buku, penulisan, suntingan dan percetakan," katanya.

Dari kanan: Setiausaha Pusat Sumber, Azwin Kandar, Guru Perpustakkan dan Media, Salmah Ismail dan Guru Teknologi Maklumat dan komunikasi, Fatimah Yusof.