REMBAU - Seawal usia 12 tahun, seorang kanak-kanak kini menggalas tanggungjawab besar dalam menjaga adik-adiknya yang masih kecil selepas pemergian ibunya dalam kemalangan jalanraya manakala ayahnya pula berada dipenjara.

Muhammad Aiman Syazwan Mohd Fouzi, 12, yang kini terpaksa menjadi ibu dan ayah untuk menjaga lima lagi adiknya yang berumur 10 hingga 2 tahun.

Ibunya Nor Amira Sahran meninggal dunia pada 25 April lepas selepas terlibat dalam kemalangan jalanraya di Ladang Sungai Baru, Kampung Simen ketika pulang dari tempat kerja di Bank Simpanan Nasional (BSN) Rembau manakala bapanya pula dipenjarakan tahun lalu.

Menceritakan tentang kehidupannya yang sebelum ini bergantung sepenuh dari ibunya yang dipanggil sebagai mama, kini pelajar darjah enam dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min, Lubok China itu menggalas tugas sebagai ketua keluarga untuk menjaga adiknya Nor Aina Syazwani, 10; Nor Aina Syazlina, 9; Nor Aina Syazlin, 7 ; Nor Aina Syazliana, 5 dan Muhammad Aiman Syazrizal, 2, yang semuanya masih bersekolah dan masih kecil.

Beliau yang mesra dipanggil dengan panggilan Aiman menceritakan jika dahulu setiap tingkah lakunya bersama adik-beradik yang lain selalu dipantau dan diaturkan oleh ibunya kini berubah sama sekali selepas ketiadaan ibu dan bapanya.

Aiman

"Rutin mama pada setiap pagi akan menyediakan makanan untuk kami adik-beradik pada sebelah pagi sebelum pergi ke kerja...mama akan ambil Yana (Nor Aina Syazliana) di tadika pada waktu pagi selepas habis shift dan Lin (Nor Aina Syazlin) dan Lina (Nor Aina Syazlina) di sekolah pada pukul 1.35 petang.

"Selepas itu, mama akan mengambil saya dan Wani (Nor Aina Syazwani) pada sebelah petang selepas habis kelas tambahan di sekolah dan mama akan berada dirumah untuk menjaga Rizal (Muhammad Aiman Syazrizal) sebelum ke tempat kerja pada sebelah petang,” katanya dengan nada sayu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah ibu saudaranya Nor Azila Sahran di Kampung Lengong Ulu di sini, Ahad lalu.

Muhammad Aiman Syazwan yang begitu rapat dengan adik-beradiknya berkata beliau sebelum ini sudah diajar oleh ibunya untuk menjaga dan melakukan kerja-kerja rumah sepanjang ketiadaan ibunya.

"Adakalanya bila tiada mama dirumah saya sendiri yang masak untuk adik-adik, apa yang saya reti masak saya akan masak... seperti mee segera, nasi dan sosej untuk diberi kepada adik-adik yang lain untuk makan dan mama selalu berpesan sebelum ke kerja pada sebelah petang untuk menjaga adik,” katanya.

Sementara itu, Nor Azila, 38, berkata enam beradik itu kini diletakkan dibawah jagaannya dan menganggap mereka seperti anaknya sendiri.

"Mereka ini sejak dari kecil memang saya yang jaga, bila cuti sekolah tiba memang mereka akan tinggal dengan saya dan anak paling bongsu itu merupakan anak susuan saya, mereka ini memang saya anggap sebagai anak saya sendiri,” kata suri rumah itu.

Nor Azila juga mengucapkan terima kasih diatas keprihatinan semua pihak dalam menyalurkan bantuan bagi membantu kanak-kanak tersebut dan sekiranya ingin melakukan sumbangan boleh dilakukan melalui akaun BSN Nor Aina Syazwani di 0511741100006833.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial kisah sedih menimpa enam beradik yang kehilangan ibu mereka dalam satu kemalangan jalanraya dan bapa pula dalam  penjara.

Dalam Perkembangan lain,  Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan (JKMNS) melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Rembau telah menyalurkan bantuan melalui Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300 kepada Nor Azila pada Isnin lalu.

"Pihak PKMD Rembau telah menyerahkan borang 18 kepada ibu saudara kanak-kanak tersebut  untuk memohon dan dipertimbangkan Bantuan Kanak-Kanak mulai Jun tanun ini, dan kita telah hubungi rakan strategik seperti  Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan agar mempertimbangkan jenis bantuan yang dapat dibantu.

"Pihak JKMNS melalui PKMD Rembau akan terus menyantuni pewaris dan kanak-kanak tersebut dari semasa ke semasa untuk kelangsungan kebajikan kanak-kanak tersebut,” katanya. - Bernama

ARTIKEL LAIN:

'Mana ma dan abah?' - Murid SK Kuang ini tak tahu ibu ayah dan dua adik meninggal (8 foto)

Tular kisah Ibu bapa Cina hantar anak ke tahfiz, ini cerita sebenar Mike ketika sekolah

Calon lepasan SPM Sesi Akademik 2019/2020 boleh buat semakan 12 tengahari, hari ini

Cikgu Nan tak sangka dapat hadiah Hari Guru daripada artis - Terbaiklah cikgu!