SEGAMAT - Ibu kepada pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra yang lemas ketika mandi kolam bersama rakan berkongsi perubahan sikap anaknya sebelum kejadian yang membuatkan hati netizen tersentuh.

Artini Rabudin, 40, berkata, sejak beberapa bulan sebelum kejadian, anak ketiganya Mohammad Daniel Mohd Yuslizan, 16, amat menitikberatkan solat.

"Arwah Mohammad Daniel sentiasa mendirikan solat pada awal waktu dan nasihatkan adik beradiknya supaya tidak melewatkan solat selain berdoa untuk kedua ibu bapa mereka setiap hari," katanya.

Menurutnya, perubahan sikap Mohammad Daniel itu seolah-olah persediaan untuk dirinya yang seakan sudah menduga dia bakal pergi buat selama-lamanya.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, anak ketiga dari lima beradik itu lemas ketika mandi bersama lima lagi rakannya berusia antara 16 hingga 14 tahun di kolam rekreasi Air Terjun Taka Melor, Kampung Tenang, Labis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, mangsa yang tiba-tiba tenggelam cuba diselamatkan rakannya dan orang awam yang berada di situ tetapi gagal.

Bagaimanapun dengan bantuan orang kampung, mangsa berjaya ditemui di dasar air terjun namun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Artini berkata, dia tidak menyangka sambutan hari lahir Mohammad Daniel yang disambut dua minggu lalu merupakan majlis terakhir buat arwah.

“Saya terkilan sebab sebelum keluar menghadiri jemputan kenduri kahwin petang semalam (kelmarin), saya tidak menyapa arwah di rumah. Hanya sempat menatap wajahnya dan tak sangka itu kali terakhir saya melihat jasadnya yang masih bernyawa.

“Beberapa rakan arwah yang berada di lokasi semalam banyak kali minta maaf pada saya dan suami (Mohd Yuslizan Mazlan, 43) kerana gagal menyelamatkan Mohammad Daniel, namun kami sekeluarga menganggap ini adalah takdir dan tidak meletakkan kesalahan pada sesiapa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farizan Mokhtar berkata, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melancarkan  operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Baca:

Markah Matematik masih E, apa perlu buat? Ini pesanan Cikgu Mohamad Hakim

Link soalan percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi

Meja guru perlu kemas dan tersusun - Panduan ini mungkin berguna buat cikgu

Cemerlang setiap kali peperiksaan, guru ini gariskan tujuh panduan untuk diikuti