LUCU juga bila melihat reaksi pelajar yang pertama kali mendengar penjelasan Cikgu Jessica Robert Stephen ketika menjelaskan dirinya berbangsa Lun Bawang.

Meski pun ada yang ragu-ragu, namun beliau tetap menunjukkan kad pengenalannya yang ada tertulis Lun Bawang.

Itulah momen lucu, seorang guru pelatih dari Sarawak yang menjalani latihan praktikum di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) LKTP Tersang, Raub, Pahang, Julai lalu.

Cikgu Jessica merupakan penuntut jurusan Pengajian Malaysia dengan Pendidikan di UPSI dan kini memilih untuk menjadi guru kerana minat yang mendalam.

Ketika saya bertanya apa yang mendorong beliau memilih kerjaya guru, Cikgu Jessica menjawab...

“Seperti yang kita sedia maklum, profesion keguruan bukanlah pilihan ramai. Ramai yang berpendapat bahawa jadi cikgu ini adalah sesuatu yang mudah dan gaji pun tidak boleh membuat jadi kaya. Nak pula dari kecil, kita ini sering dididik supaya pilih kerjaya seperti doktor atau jurutera untuk menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik," katanya.

Ketika di bangku sekolah terutamanya di Tingkatan 6, Jessica selalu mendapat dorongan daripada guru-guru di sekolah untuk meneruskan pengajian.

Akhirnya, beliau berjaya memasuki UPSI dan di sinilah beliau mula belajar untuk mengisi kekurangan dalam diri.

"Ibu bapa menaruh harapan tinggi terhadap saya sebagai anak sulung. Mereka amat gembira mendapat berita baik ini walaupun pada mulanya pilihan dalam bidang pendidikan bukanlah pilihan utama ayah malah keluarga berat hati untuk melepaskan saya keluar ke bumi seberang.

"Namun, setelah menuntut hampir tiga tahun, makin banyak perkara yang saya belajar untuk menjadi seseorang yang mampu mendidik pelajar di sekolah. Dan kini, saya masih lagi dalam proses belajar," katanya.

Sementara itu, Jessica turut prihatin terhadap kemajuan kaum Lun Bawang dan Kelabit yang diwarisi daripada ayahnya.

Jessica berharap masyarakat Lun Bawang (salah satu kaum minoriti di Sarawak) tetap berkembang dan banyak mencapai kejayaan seperti masyarakat lain.

“Tapi kita harus ingat, bangsa tidak akan melambangkan kemajuan dan kemunduran dalam sesebuah masyarakat, kita harus buang pandangan stereotaip tersebut. Kemajuan itu merupakan pilihan diri sendiri di mana seseorang itu haruslah mengambil keputusan untuk membawa satu perubahan yang dapat mengubah kehidupan sama ada secara positif atau negatif.

"Oleh itu, saya berharap komuniti kita yang kecil ini terus mencari apakah kemajuan yang kita boleh buat dalam kehidupan ini," jelas Jessica lagi.

Beliau berharap masyarakat Lun Bawang terus menuntut ilmu pengetahuan dalam apa pun bidang kerana masa beredar dengan cepat dan jangan lalai untuk mengambil peluang yang ada untuk kebaikan diri dan juga masyarakat secara keseluruhan.

Bila ditanya apakah beliau berhasrat untuk kembali semula ke Sarawak dan berkhidmat, ini jawapan beliau.

“Ya, saya berhasrat untuk kembali ke bumi Kenyalang dan berkhidmat di sana tak kira untuk komuniti saya ataupun untuk anak-anak yang berbangsa lain. Namun jika dipilih untuk terus berkhidmat di Semenanjung, tiada masalah," terangnya.

Pengalaman pertama beliau menjalani praktikum di SMK LKTP Tersang, Raub, Pahang merupakan pengalaman berharga.

"Ketika pertama kali menjejak kaki di Felda Tersang, saya dapat merasakan bahawa hari-hari yang mendatang akan baik-baik sahaja kerana kedatangan saya disambut baik guru-guru SMK LKTP Tersang dan masyarakat sekeliling.

"Para pelajar juga dapat menerima kedatangan saya sebagai guru walaupun di sekolah itu, saya seorang sahaja guru yang bukan Muslim. Suasana sekolah amat memuaskan hati kerana persekitaran yang selesa dan pihak sekolah yang sentiasa ramah antara satu sama lain," katanya.

Bila ditanya reaksi pelajar beliau, bila mendengar guru yang mengajarnya dari kaum Lun Bawang...

Ini jawapan Jessica...

"Ni semestinya mereka akan ternganga hehehe.

"Pelajar di sini memang selalu bertanyakan saya...cikgu ni bangsa apa ya?

"Ada yang meneka saya ni orang Cina. Apabila saya menjawab 'bangsa Lun Bawang'...banyaklah reaksi mereka yang saya lihat. Ada yang menjawab...Hah? Bawang, cikgu? Apa tu??

Sebelum saya menjawab, memang saya akan tertawa melihat reaksi sebegitu. Lalu saya pun memberitahu mereka supaya jangan risau kalau tidak tahu bangsa apakah itu sebab sejujurnya, ada juga segelintir orang Sarawak yang tidak tahu bangsa itu.

Setelah itu, mereka tanya banyak soalan kerana berminat untuk mengetahui apakah kaum Lun Bawang itu dan saya pun menyuruh mereka mencari di internet untuk info lebih lanjut.

Namun, ada pula pelajar yang bertanyakan saya “Sarawak itu dekat dengan Malaysia ke?” dan satu lagi pertanyaan yang saya dapat juga “bila cikgu balik Malaysia? Saya telah mendapat soalan ni ketika mengajar di salah sebuah sekolah di Kelantan. Sampai sekarang saya kurang pasti macam mana untuk menjawabnya.

Demikianlah pengalaman yang ditempuhi oleh Cikgu Jessica yang kini menjalani praktikum di SMK LKTP Tersang, Raub, Pahang. Semoga beliau berjaya menamatkan latihan mengajar dengan cemerlang.

Tahniah Cikgu Jessica

Sumber: Blog Cikgu Emmet Menulis

INFO

- Suku Lun Bawang tinggal di kawasan pedalaman iaitu ‘Lun’ bermaksud orang, manakala ‘Bawang’ membawa pengertian Ulu sebelum timbul istilah Lun Bawang bererti Orang Ulu.

- Suku Lun Bawang satu masa dahulu menetap di kawasan pedalaman di tanah tinggi di pertengahan Pulau Borneo atau di ulu sungai dan wujud di Sarawak, Brunei, Kalimantan Utara dan Sabah.

- Mereka adalah kaum minoriti di Sarawak.

- Lun Bawang pada masa dahulu merupakan masyarakat yang dikenali sebagai pahlawan yang berani, penyerang, dan pemburu kepala (headhunters) yang digeruni.

- Memandangkan masyarakat ini tinggal di kawasan pedalaman di tanah tinggi, ini telah memudahkan mereka untuk menyerang musuh di kawasan tanah rendah kerana bentuk fizikal di kawasan pergunungan telah melatih stamina dan ketangkasan masyarakat Lun Bawang dalam menawan musuh di persekitaran daratan. Namun, masyarakat ini tidak mahir di kawasan perairan kerana mereka tidak pandai dalam perihal mengendalikan pengangkutan air.

- Suku kaum Lun Bawang kaya dengan kraf tangannya.

- Dahulu kala, pakaian kaum lelaki diperbuat dari kulit kayu yang dipanggil kuyu talun. Kain yang dililit di kepala pula dipanggil sigar sementara cawat yang dipakai dipanggil abpar. Parang panjang yang diikat di pinggang dibawa untuk pergi berperang dipanggil pelepet.

- Bagi kaum wanita pula, mereka mengenakan pata di kepala, beret di pinggang, bane di leher dan gileng atau pakel di tangan serta lengan.

ARTIKEL MENARIK:

“Kenapa tak nak pergi sekolah?”- Guru prihatin, pujuk murid nangis terus sauk bawa ke kelas

Suara macam artis, memang padu cikgu Muzik ni nyanyi lagu ‘Sumpah’ dalam kelas

Majlis kahwin Cikgu Samuel ‘gempak’, tak sangka 100 murid orang asli sanggup datang buat kejutan

'Dulu dia budak kelas belakang tapi sekarang anggota polis' - Perkongsian guru ini buat ramai sebak