TUMPAT - Gempur denggi di kawasan panas di daerah ini diteruskan malah turut dibantu Rejimen 506 Askar Wataniah, Kem Pengkalan Chepa.

Matlamatnya mahu memusnahkan tempat pembiakan aedes berikutan daerah Tumpat sudah mempunyai kes demam denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Wabak Daerah Tumpat, Rosnazli Amin berkata, simboliknya kehadiran Askar Wataniah ini menzahirkan betapa seriusnya wabak denggi di daerah ini.

“Wabak denggi ini jangan dipandang mudah, boleh membawa maut, kita perlu memeranginya habis-habisan.

“Saya harap masyarakat sedar dengan kehadiran askar ini, kita umpama sedang bertempur dengan nyamuk aedes, yang perlu kita gempur habis-habisan," katanya.

Menurutnya, itu mesej yang ingin sampaikan apabila gotong-royong kali ini melibatkan Askar Wataniah.

"Diharap masyarakat kita menjaga kebersihan dan tidak bergantung harap pada orang lain datang membersihkan kawasan kediaman kita yang kotor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas gotong-royong perdana 2 di sekitar Pasar Wakaf Bharu dan Masjid Wakaf Bharu yang turut dihadiri 80 Askar Wataniah.

Turut serta, Timbalan Komander Rejimen 506, Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Aminuddin Yaakob dan Pegawai Kesihatan Daerah Tumpat, Dr Faizan Ghazali.

Minggu lalu, gotong-royong perdana 1 diadakan sekitar bandar Tumpat berikutan tujuh lokaliti di daerah ini dikesan sebagai wabak denggi.

Rosnazli berkata, satu lagi lokaliti di daerah ini diisytiharkan wabak iaitu di Kampung Padang Tok Ku menjadikan kesemuanya lapan lokaliti di daerah ini sebagai kawasan wabak denggi.

“Saya harap simbolik Askar Wataniah hadir bergotong-royong gempur aedes ini boleh membuka mata masyarakat daerah ini untuk meluangkan masa menjaga kebersihan persekitaran masing-masing,” katanya.

Rosnazli memberitahu, setakat 23 Ogos lalu, kes demam denggi mencatatkan 273 kes dan berlaku penambahan 11 kes dalam tempoh tiga hari lalu menjadikan keseluruhan 284 kes.