KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) khususnya Guru Nadi Negara (GNN) menyokong kesediaan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) untuk turut sama terlibat membantu warga pendidik dari segi aspek kebajikan menerusi slot GNN prihatin.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Malaysia, Mahmood Kassim di Program Struktur Simulasi Guru Nadi Negara di IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur, 16 Oktober baru-baru ini.

Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Malaysia, Mahmood Kassim

Program setengah hari tersebut turut dihadiri 500 orang pendidik yang terdiri daripada Guru Besar dan Pengetua seluruh Kuala Lumpur dan Selangor.

Menerusi slot GNN Prihatin, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) berperanan sebagai payung utama yang menjaga dari segala aspek kebajikan dan insentif kepada ahli.

Peranan ini termasuklah memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela dalam apa jua bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan, di samping membantu memartabatkan profesion keguruan dalam melahirkan modal insan berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat

“YGMB adalah rakan strategik KPM, dan penaungnya adalah Menteri Pendidikan sendiri. Sementara yang menerajui YGMB itu pula adalah mereka dalam kalangan pegawai-pegawai di  Kementerian.

“Sebab itu, individu yang layak menjadi rakan strategi, seterusnya mendokongi program Guru Nadi Negara ini adalah YGMB sendiri, menerusi slot Nadi Negara Prihatin,”katanya.

Sementera itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat dalam ucapannya berkata, gandingan ini sebagai memenuhi aspirasi Kementerian Pendidikan, agar aspek kebajikan guru-guru itu dapat dibela dan diberikan perhatian sewajarnya.

“Setakat ini yayasan telahpun mempunyai 100,000 ahli dari seluruh negara. Jumlahnya agak kecil, berbanding jumlah keseluruhan guru di Malaysia.

“Justeru, kami amat berharap, guru-guru muda di negara ini merebut peluang menjadi ahli YGMB yang menyediakan pelbagai manfaat kepada golongan pendidik. Lebih banyak penyertaan, lebih banyak manfaat yang boleh kita tawarkan kepada guru pada masa akan datang,”katanya.

Sehingga kini, YGMB menawarkan sebanyak 18 manfaat kebajikan kepada golongan pendidik termasuk, kos bantuan guaman maksimum RM30,000 kepada guru.

Insentif-insentif kebajikan lain pula adalah elaun hospital, penyakit kritikal, kemalangan jalan raya, saguhati mengerjakan haji, hadiah persaraan, perkahwinan, bencana, insentif pendidikan dan juga khairat kematian.

“Pada tahun 2012, YGMB pernah melancarkan khairat kematian yang hanya bernilai RM8000. Nilai tersebut sudah tentu tidak lagi mencukupi. Hari ni kita sediakan manfaat sehingga RM28,000, dengan nilai yuran bulanan sebanyak RM28 sebulan,”katanya ketika menyampaikan sumbangan kebajikan khairat kematian dan kecacatan kekal / hilang upaya ahli.

Antara penerima sumbangan khairat kematian, waris Allahyarhamah Cikgu Azizah Hassan, Asri Sarbin, dan juga waris Allahyarhamah Cikgu Nur Hidayatus Sayidah Mohamad, Mohd Fadzli Abdul Rahman. Masing-masing menerima sumbangan bernilai RM27,014.06 dan RM8,000.

Manakala Cikgu Pushpalatha Rajamanickam, menerima sumbangan kecacatan kekal / hilang upaya ahli bernilai RM4,000.

Menurut Wan Munadi lagi, menerusi penelitian dan kajian secara mendalam, manfaat-manfaat yang disediakan oleh YGMB hampir melengkapi keperluan seorang guru.

“Dari semasa ke semasa YGMB bersama GNN akan ke seluruh negara, bagi menyampaikan segala maklumat berkenaan manfaat kebajikan, dan juga peranan utama YGMB.

“Malah, dengan 18 manfaat kebajikan dengan yuran serendah RM28.00 sebulan ini merupakan pakej terbaik yang ditawarkan kepada guru,”jelasnya.  

Info

Sumbangan kebajikan khairat kematian

Nama ahli: Allahyarhamah Cikgu Azizah Hassan

Umur: 50 tahun

Tempat bertugas: SMK Pekan Nanas, Jalan Sawah, Pekan Nanas, Pontian Johor.

Tarikh keahlian: Disember 2018

Tarikh kematian: 11 Jun 2019

Jumlah sumbangan: 27,014.06

Nama ahli: Allahyarhamah Cikgu Nur Hidayatus Sayidah Mohamad

Umur: 35 tahun

Tempat bertugas: Sekolah Rendah Agama Az-Zamakhsyari. Kg Malaysia Tambahan, Kuala Lumpur

Tarikh keahlian: Mei 2017

Tarikh kematian : 29 September 2019

Jumlah Sumbangan: RM8,000

Sumbangan kebajikan kecacatan kekal / hilang upaya ahli

Nama ahli: Cikgu Pushpalatha Rajamanickam

Umur: 47 tahun

Tempat bertugas: SJKT Jalan Bangsar, Jalan Lengkuk Abdullah, Kuala Lumpur.

Tarikh keahlian: April 2016

Sebab kecacatan: Jangkitan kuman pada saraf kaki kanan / kehilangan kaki kanan

Jumlah sumbangan: RM4,000

“Sebulan selepas arwah pergi, pihak sekolah ada menghubungi anak saya, dan mengatakan arwah adalah ahli YGMB, dengan jumlah caruman RM28 sebulan. Pihak sekolah sarankan kami untuk membuat permohonan khairat kematian, dan saya sendiri memang tak sangka jumlah sumbangan yang diberikan oleh pihak yayasan sebanyak itu. Terima kasih kepada YGMB kerana sangat prihatin dengan nasib kami,” Asri Sarbin.

“Siapa tak sedih bila diduga kehilangan kaki, tapi saya reda dan anggap ia sebagai takdir buat saya. Sehingga kini saya gembira sebab pihak sekolah terutamanya Guru Besar, Nirmala Devaraj dan YGMB sendiri sangat prihatin dan mengambil berat. Saya pun tak sangka, akan menerima sumbangan daripada YGMB,” Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Cikgu Pushpalatha Rajamanickam

Reaksi

“ GNN telah pun wujudkan satu saluran, iaitu GNN prihatin di mana kita memberi ruang kepada GNN dan YGMB untuk membantu guru-guru yang mengalami permasalahan, kecederaan dan sebagainya. Pada semua guru, saya sarankan agar kita sama-sama menyokong GNN prihatin, kita bergerak bersama dan bantu bersama,” Cikgu Mohamad Khamidon Sadi, SMK Seksyen 16 Shah Alam.

“Saya belum lagi daftarkan diri sebagai ahli YGMB, tapi saya sudahpun ambil borang untuk diedarkan kepada semua guru saya di sekolah. Saya nampak program ini baik, sebab ia dapat membantu kebajikan semua guru,” Cikgu Ng Mooi Hong, Guru Besar SJKC Tsun Jin.