JULAU - Seramai 41 pelajar sekolah rendah terselamat apabila bangunan asrama sekolah Kebangsaan Nanga Serau, kira-kira 28 kilometer dari sini, musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran, semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Julau, ASP Colony Kiai, berkata kesemua 20 pelajar lelaki dan 21 pelajar perempuan serta tiga pembantu penyelia tidak mengalami kecederaan dalam kejadian yang memusnahkan bangunan kayu dua tingkat itu.

Dihubungi melalui aplikasi Whatsapp malam ini, beliau berkata panggilan kejadian kebakaran itu diterima Balai Polis Julau pada jam 5.15 petang daripada Pusat Kawalan Kontingen (CCC) PDRM Sarawak dan turut dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor.

"Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, tiga anggota polis mengambil  masa sejam menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi kejadian sebaik sahaja laporan diterima.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor dikejarkan ke tempat kejadian dengan satu jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata jentera bomba tidak dapat melalui jalan yang sempit menuju ke sekolah tersebut sehingga memaksa mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan empat anggota untuk membawa peralatan memadam kebakaran ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, asrama itu sudah musnah sama sekali setibanya di lokasi, katanya.

Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, katanya. - Bernama

Artikel menarik:

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

Pematuhan Prosedur Operasi Standard Pengurusan dan Pentadbiran Pentaksiran Tingkatan 3

Guru perlu siap sedia untuk hadapi cabaran VUCA

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Teknik MaxRecall - Senang ingat tanpa perlu menghafal