SEREMBAN - Jarum suntikan yang dahulunya dianggap mimpi ngeri buat Muhammad Haris Murshidi Zainuddin, 12, kini menjadi ‘temannya’ setiap hari.

Itu hakikat yang terpaksa diterima oleh anak bongsu  daripada empat beradik itu apabila disahkan menghidap  diabetes bulan lalu.

Setiap hari empat kali dia perlu dicucuk insulin dan dilakukan sendiri. 

Menurutnya, dia perlu memberanikan diri untuk mencucuk jarum di badan sendiri kerana tidak  mahu menyusahkan ibunya.

“Mula-mula saya memang takut tapi mengenang setiap hari saya perlu cucuk insulin, saya kuatkan  hati,” katanya.

Bercerita lanjut, Ibunya, Sariah Hashim, 54,  berkata, semuanya bermula seminggu sebelum Ramadan lalu apabila anaknya yang selama ini aktif tiba-tiba bertukar  lemah.

“Saya tengok dia kerap kencing waktu malam dan  banyak minum air. Sebelum ini tak pernah pula macam itu.

“Ditambah pula dia mula kurang selera makan dan keadaannya tidak bermaya menyebabkan saya bawanya ke klinik,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.

Menurutnya, sebaik menceritakan keadaan  anaknya, doktor mengesahkan yang itu merupakan simptom diabetes atau  kencing manis.

Malah bacaan ujian paras gula dalam darah Muhammad  Haris Murshidi  juga adalah tinggi iaitu 21 menyebabkan dia terus dimasukkan ke hospital.

“Saya mulanya tidak dapat terima kerana saya dan suami yang sudah tua  pun tiada masalah kencing manis.

“Lagipun anak saya bukannya jenis minum air manis saja dan seorang yang aktif. Tapi bila doktor periksa, dia alami kencing manis kerana pankreasnya tidak dapat keluarkan insulin,” katanya.

Meskipun sedih kerana pada usia yang masih muda  anak kesayangannya itu diuji dengan penyakit berkenaan  namun Sariah tetap bangga dengan keberanian Muhammad Haris Murshidi untuk mencucuk insulin sendiri.

“Saya pun tidak sampai hati nak mencucuknya kerana tahu ia sakit. Tapi bila  dia memberanikan diri buat semuanya sendiri, hati saya sedikit tenang.

“Jadi saya nasihatkan ibu bapa supaya pantau  keadaan anak-anak dan  kawal pemakanan mereka kerana apa saja boleh berlaku,” katanya.

Artikel lain:

KPM hargai sumbangan pengetua, guru besar dan guru kanan

Tahniah kepada guru pembimbing yang berjaya gilap bakat murid SK Laksamana ke pentas dunia

'Semua anak murid sayang abah' - Anak Allahyarham Ustaz Ku Yaacob