KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) menyangkal dakwaan YTL Communications Sdn Bhd (YTLC)  bahawa kementerian melanggar kewajipan kontrak berkaitan perkhidmatan 1BestariNet dan meminggirkan syarikat itu.

Dalam kenyataan terkini mengenai perkara itu, Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Mohd Gazali Abas menarik perhatian bahawa kontrak perkhidmatan YTLC melibatkan 1BestariNet telah tamat pada 30 Jun lalu, dan bukannya ditamatkan KPM.

Menurutnya, YTLC diberi kontrak 1BestariNet fasa satu bagi tempoh 13 Disember 2011 hingga 30 Jun 2016, termasuk lanjutan kontrak sebanyak tujuh kali.

Artikel berkaitan: Lima sebab KPM tamatkan khidmat 1BestariNet dan alternatif yang disediakan

YTLC selanjutnya diberi kontrak 1BestariNet fasa kedua bermula 1 Julai 2016 hingga 30 Jun 2019.

"Dakwaan YTLC bahawa kpm telah melanggar obligasi kontrak dan tidak bertindak dengan niat baik adalah tidak berasas sama sekali dan ia merupakan satu tuduhan tidak adil ke atas kementerian dan kerajaan," kata Mohd  Gazali.

Beliau menjelaskan bahawa bagi menyediakan perkhidmatan sepanjang tempoh enam bulan mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2019, KPM telah memanggil syarikat telekomunikasi utama termasuk YTLC sendiri untuk diberi penerangan mengenai perkhidmatan yang diperlukan KPM bagi tempoh sementara enam bulan itu sebelum tender baharu dibuka.

"Ada syarikat yang memberi respons dan ada yang tidak. Susulan itu, KPM telah melantik tiga syarikat iaitu TM One, Maxis dan Celcom Axiata yang telah mengemukakan tawaran berdasarkan liputan terbaik oleh syarikat telekomunikasi itu sendiri," kata Mohd Gazali. 

Tegasnya, KPM telah mengambil segala tindakan secara teratur dalam menawarkan kerja penyediaan perkhidmatan selama enam bulan itu kepada tiga syarikat berkenaan, termasuk mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan dan selari dengan dasar kerajaan hari ini.

Mengenai dakwaan YTLC bahawa pihaknya ada menawarkan solusi lengkap perkhidmatan internet percuma dan Frog VLE bagi tempoh sehingga tender baharu dibuat tetapi telah ditolak KPM, beliau berkata dakwaan itu juga tidak adil dan tidak berasas.

"Pihak kementerian telah memberi respons kepada permintaan YTLC yang dipanjangkan kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dengan syarat-syarat yang telah diputuskan oleh kementerian.

"KPM tidak mengambil tawaran yang dibuat oleh YTLC itu kerana KPM ada asas-asas kukuh untuk berbuat demikian," kata Mohd Gazali.

KPM juga menegaskan bahawa meskipun kontrak YTLC telah berakhir pada 30 Jun 2019, namun atas faktor timbang rasa dan sikap tanggungjawab bagi membolehkan perkhidmatan YTLC kepada pengguna komersial syarikat itu tidak terjejas, KPM ada mempertimbang permohonan YTLC untuk kekal menggunakan pemancarnya yang ada di kawasan sekolah di seluruh negara.

"Bagaimanapun, ia hanya untuk tempoh tiga bulan sehingga 30 September 2019 dan tertakluk kepada beberapa syarat lain yang perlu dipersetujui oleh YTLC.

"Justeru, adalah tidak adil bagi YTLC mempertikai apa jua keputusan KPM dan terus membuat dakwaan yang tidak adil bertujuan mencemar reputasi kementerian," kata Mohd Ghazali.

Dalam pada itu, Mohd Gazali menegaskan kementerian tidak pernah meminggir atau akan meminggirkan mana-mana syarikat telekomunikasi yang layak termasuk YTLC dalam proses tender KPM.

"YTLC masih boleh mengambil bahagian dalam proses tender untuk perkhidmatan talian internet ke sekolah melibatkan tempoh mulai 1 Januari 2020 dan seterusnya apabila proses tender secara terbuka dikeluarkan kelak," katanya.

Beliau berkata KPM akan terus komited dalam menyediakan persekitaran pembelajaran dalam talian yang baik demi kepentingan guru dan murid.

Selain itu, Mohd Gazali berkata tulisan dan infografik yang dikeluarkan oleh laman Friends of Maszlee bukanlah pandangan rasmi menteri itu atau KPM sendiri. - BERNAMA

Baca:

Sekolah dikelilingi alat permainan, patutlah 6.30 pagi murid dah datang - Macam dalam filem 3 Idiot!

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Tak sempat kembali bertugas di SK Medini, Cikgu Adam maut dirempuh kereta

Keluarga saman RM5 juta: Pakar percaya calon UPSR hidap myokimia akibat pencemaran Sungai Kim Kim

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan... Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku