TAIPING - Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Kebangsaan (SK) King Edward VII (1)  meminta Kementerian Pendidikan membaik pulih bangunan asal sekolah itu di Jalan Stesen di sini bagi mengelak ia terbiar dan membahayakan keselamatan murid-murid.

Sekolah ini adalah salah sebuah sekolah Inggeris atau sekolah Premier yang pertama ditubuhkan di negara ini pada tahun 1883 dengan nama Central School.

Presidennya Mohaideen Ishak, 79, berkata tingkat atas bangunan dua tingkat yang kini kelihatan tidak selamat diduduki perlu dibaik pulih.

"Kita telah beberapa kali berjumpa dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang akan menimbang permohonan untuk membaikpulih bangunan tersebut," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata bangunan itu juga telah digazetkan sebagai bangunan warisan dan meminta kerja membaik pulih tidak mengubah struktur asalnya.

Mohaideen berkata sekolah berkenaan telah melahirkan ramai bekas tokoh masyarakat dalam bidang pendidikan, sukan, korporat, media dan politik.

Antara mereka ialah Presiden pertama Singapura Yusof Ishak, Menteri Besar awal Perak Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral (Bersara) Tan Sri Dr Mohd Ghazali Che Mat, bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Abdullah Ayub, Menteri Perdagangan Tan Sri Dr. Lim Swee Aun, Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Abdul Mutalib Razak dan Penasihat Pendidikan Yayasan Albukhary, Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Tan Sri Jins Shamsuddin, pemain dan jurulatih bola sepak Datuk M. Karathu, atlet sukan negara M. Dataya dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin.

Sekolah itu turut menerima pelajar berdarah bangsawan termasuk Sultan Perak Almarhum Sultan Iskandar Shah dan Almarhum Sultan Abdul Aziz serta Raja DiHilir Perak Almarhum Raja Kamarulzaman Raja Mansor.- Bernama

Artikel lain:

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid Tahun Enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau

'Tetap serius dan tegas ketika mengajar walaupun berwajah 'baby face' - Cikgu Ian Francis Manga