ALOR SETAR - Banyak kelebihan jika kita berkemahiran dalam banyak bahasa selain bahasa kebangsaan.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz, Simpang Empat, Nur'asikin Othman berkata subjek bahasa Cina di sekolah berkenaan terbuka kepada pelajar dan bangsa.

"Sesiapa pun boleh ambil... banyak kelebihan jika kita tahu lebih bahasa ni... salah satunya, pelajar akan dapat peluang dengan lebih baik terutamanya dalam sektor pekerjaan kelak," katanya.

 

Nur'asikin

Mempunyai kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin selain berbakat dalam bidang nyanyian tidak disia-siakan pelajar Tingkatan Empat sekolah itu, Nur Aleesa Irdeena Ishak,16.

Bakat yang mula diketengahkan sejak di sekolah rendah kini telah mendapat perhatian pihak luar yang  sering menjemputnya membuat persembahan di majlis besar.

Beliau yang mesra disapa Aleesa berkata, minatnya dalam bidang nyanyian bermula ketika berusia empat tahun.

Katanya, setelah meneruskan persekolahan di  Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yih Min, Simpang Empat di sini, beliau mulai aktif menyanyi lagu-lagu Mandarin.

“Kalau diikutkan dari darjah  satu lagi saya sudah minta nak menyanyi, tetapi cikgu tidak benarkan. Apabila masuk darjah tiga, baru saya dibenarkan masuk pertandingan dan buat persembahan di sekolah,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini.

Aleesa ketika dijemput membuat  persembahan di sebuah kompleks beli-belah di Alor Setar.

Menurutnya, lagu Mandarin berjudul Zheng Fu adalah lagu pertama yang beliau persembahkan di sekolah suatu masa dahulu.

“Ketika itu lagu berkenaan sedang popular selepas Shila  Amzah menyanyikannya di  Pertandingan Asian Wave 2012.

“Bagi saya hendak bernyanyi lagu Mandarin ini tidak sesukar  mana jika kita faham dan  mendalami maksud lirik terbabit.

“Lagipun apabila kita sudah  mahir bertutur dalam bahasa Mandarin, secara semula jadi  kita juga boleh bernyanyi  dengan baik dalam bahasa berkenaan,” katanya yang menerima pendidikan di sekolah Cina sejak berusia enam tahun.

Aleesa yang merupakan  anak tunggal kepada pasangan Samsuria Ahmad, 51 dan Ishak  Hamid, 73, berkata, dia juga bertuah apabila sepupunya iaitu Nur Akma Shafina Ismazi,16, juga mahir bertutur dalam bahasa Mandarin.

“Rumah kami berdekatan, malah dari tadika sehingga sekarang kami menerima pendidikan di sekolah yang sama.

“Kami sangat akrab dan dia akan membantu saya mencari  lagu sebelum saya membuat  latihan nyanyian bersamanya.

“Kalau nak berkomunikasi dalam Mandarin pun, dengan dia sahaja la. Sebab kalau dengan ahli keluarga lain, mereka tak faham pula,” katanya sambil berseloroh.

Kelebihan

Sementara itu Akma berkata, banyak kelebihan yang  diperoleh apabila boleh bertutur dalam pelbagai bahasa.

“Salah satunya ia akan mewujudkan suasana yang lebih mesra dengan kaum lain terutamanya masyarakat Cina.

“Mereka (masyarakat Cina) selalunya akan teruja apabila  tahu kita boleh berbahasa Mandarin, jadi komunikasi akan lebih lancar dan banyak topik yang boleh dibualkan.

“Lagipun kita hidup dalam  negara yang berbilang bangsa, perlu untuk kita wujudkan suasana yang harmoni dengan kaum lain terutama di kawasan kejiranan.

“Malah sejak dari sekolah rendah saya dan Aleesa mempunyai seorang sahabat baik berbangsa Cina yang tinggal sekampung dengan kami iaitu Ooi Wei Hang,” katanya.

Dari kiri: Aleesa, Wei Hang dan Akma saling membantu antara satu sama lain terutamanya dalam subjek Mandarin dan Bahasa Melayu.

Bersahabat baik sejak di sekolah rendah menjadikan hubungan tiga sahabat ini akrab biarpun berlainan bangsa dan agama.

Wei Hang berkata, beliau pada mulanya agak pelik  apabila mendapati Aleesa dan Akma boleh bertutur dalam  bahasa ibundanya.

“Tetapi lama-kelamaan  kami mulai rapat dan sehingga sekarang walaupun sudah  masuk ke sekolah menengah, kami masih berkawan baik.

“Kami saling merujuk antara satu sama lain. Kalau ada apa-apa yang mereka tidak  faham tentang bahasa Mandarin, saya akan terangkan, begitu juga dengan mereka selalu membimbing saya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu,” katanya.

Artikel Menarik:

Hanya seminggu, murid Tahun Dua ini sudah mampu kuasai semua subjek...ini rahsia ibunya buat

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

10 manfaat belajar awal pagi cara Cikgu Shahrul

Panduan mengemas meja guru agar kemas dan tersusun - Boleh rujuk tip yang dikongsi rakan guru