Usianya baru memasuki 10 tahun tetapi kreativiti dan lukisannya persis seorang pelukis profesional.

Inilah keistimewaan adik Aishah Humaira Othman yang telah melukis suasana keadaan isi rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan.  

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Damansara 1, Selangor itu sebenarnya melukis semula karya asal yang dihasilkan oleh Hassan Bahri.

Lukisan itu dikongsikan Facebook Viral Media Johor dan rata-rata warganet memberikan reaksi positif serta memuji karya berkenaan.

Menariknya, lukisan itu hanya mengambil masa selama 10 minit untuk disiapkan tanpa menggunakan pemadam atau pembaris.

Ibu kanak-kanak kreatif itu, Azilah Ahmad, 39, berkata, kecenderungan minat dan bakat Aishah terhadap lukisan telah dikesan sejak kecil lagi.

“Ketika dia masih kecil (sekitar usia dua tahun) dia dah mula menunjukkan minat melukis. Lepas itu, ayahnya (Othman A.M Miakil) belikan papan lukisan, beli kertas dan terkini tablet lukisan.

“Saya akui Aishah sebenarnya mewarisi bakat terpendam ayahnya kerana kalau dia (suami) memang handal bab melukis ini,” katanya kepada GPSBestari.

Berkongsi lanjut, Azilah berkata, sebagai ibu dia akan sentiasa menyokong minat mendalam anaknya terhadap seni lukis di samping berharap agar kemahiran dimiliki itu dapat dimanfaatkan pada masa hadapan.

"Aishah ada beritahu dia bercita-cita nak jadi arkitek dan sekarang pun dah mula minat lukis rumah, selain itu dia juga banyak hasilkan lukisan komik.

“Uniknya Aishah, dia tidak akan tunjukkan kita lukisan yang dibuat sampai ia siap sepenuhnya. Dia tidak akan berpuas hati sampailah hasil lukisan itu cantik dan sempurna di matanya,” katanya.

Azilah berkata, selain Aishah, adiknya Balqis Othman, 9, turut menunjukkan minat tinggi dalam menghasilkan karya lukisan.

“Sejujurnya kalau ada satu lukisan diberikan, sukar untuk saya teka siapa yang hasilkannya sama ada kakak atau adik sebab kedua-duanya berbakat dalam melukis,” katanya.