KOTA BHARU - Murid Tahun Enam yang maut dalam kejadian lantai bas sekolah jerlus ketika bergerak di Kilometer 12 Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik di Kandis, Pasir Puteh, pagi semalam dipercayai melompat atas lantai yang reput.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, dalam kejadian pada jam 11.50 pagi itu, mangsa, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, sebelum itu dikatakan bermain dan melompat di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu lalu jatuh ke bawah perut kenderaan terbabit kemudian digilis.

Artikel berkaitan: 'Adam hasrat sambung ke Sekolah Menengah Sains Machang' - Ibu (4 foto)

Katanya, bas dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun terbabit membawa penumpang seramai 31 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang termasuk mangsa yang dalam perjalanan ke Besut, Terengganu untuk mengikuti bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Hanya ada seorang pemandu bersama 31 murid tanpa guru pengiring di dalam bas berkenaan. Siasatan awal polis mendapati mangsa bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu yang sedang memandu bas tersebut.

“Mangsa yang sedang bermain itu melompat ke bahagian hadapan pintu sebelum terjatuh dan digilis menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah serta maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati keadaan bas tersebut uzur dengan lantai yang reput dan pihaknya sedang menyiasat sama ada bas sekolah terbabit mempunyai permit atau tidak.

“Berdasarkan keadaan bas yang uzur dan reput, kenderaan itu sepatutnya sudah tidak boleh digunakan terutama membawa penumpang dalam kalangan kanak-kanak.

“Polis turut mengambil keterangan pemandu bas berkenaan dan pemeriksaan mendapati dia memiliki lesen manakala ujian urin pula negatif serta sudah pun dibebaskan,” katanya.

Tambahnya, polis juga menasihatkan pemandu dan pengusaha bas sekolah dan sewa khas supaya tidak memikirkan keuntungan semata-mata hingga mengabaikan aspek keselamatan penumpang.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, yang berasal di Kampung Taman Desa Bakti Labok, Machang maut di lokasi kejadian akibat kecederaan pada seluruh badan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Bakar, Machang selepas solat Isyak.

Baca:

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Terperangkap dalam hujan lebat, Baverly sanggup gendong pelajar Pendidikan Khas redah air

Lima sebab KPM tamatkan khidmat 1BestariNet dan alternatif yang disediakan

Ibu nak anak cepat pandai, mungkin 6 teknik orang Jepun didik anak ini boleh bantu

Guru, pelajar MRSM Kuala Kubu Bharu kini dalam keadaan stabil