Sudah 10 tahun kisah Mastura dan kerang berwarna hitam berbelang kuning itu berlaku.

Walaubagaimanapun, Ustaz Malik, seorang guru sekolah rendah masih menganggap cerita itu baru sahaja berlaku.

Mungkin ada 'sesuatu' yang membuatkan beliau mengenangnya hingga kini.

Siapa Mastura yang sebenarnya? Dan kenapa dia mengutip kerang cantik yang dijumpai di Pantai Tanjung Batu itu?

Ikuti pengalaman seram Ustaz Malik sekali lagi.

 

**********

 

Segala puji bagi Allah. Awal pagi ini saya mula menulis lagi selepas menonton perlawanan bola sepak di antara Liverpool dan Manchester United.

Dan sekembalinya dari Meradong Bintangor, penat masih lagi tersisa walaupun hari ini saya banyak berehat saja di rumah.

Kepada sahabat baru saya iaitu Saudara Carl Nyjorie, saya minta maaf banyak-banyak kerana tidak sempat untuk berbual panjang ketika di IPG Rajang. Kita sama-sama sibuk dengan tanggungjawab masing-masing.

Insya-Allah indahnya perjalanan hidup ini akan mempertemukan kita lagi suatu hari nanti kerana banyak kisah misteri yang belum untuk kita kongsi bersama sebenarnya.

Memandangkan minggu ini saya dan rakan saya, Cikgu Jude sibuk untuk menerima kunjungan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga dari Pejabat Kesihatan Bintulu yang diketuai oleh Puan Anastasia berkenaan dengan Program Penilaian dan Pengumpulan Data IMFREE, jadi saya cuba juga untuk menulis.

Untuk Kak Tinie, kakak-kakak dari Kementerian Kesihatan Malaysia, salam kemaafan dari saya kerana tidak dapat bersama hingga ke akhir program.

Untuk bertanya nama juga tidak sempat. Cuma sekeping foto itu sahaja sebagai kenangan yang ada.

Terkejut juga saya kerana salah seorang dari kakak-kakak KKM yang berkunjung ke sekolah kami adalah merupakan pembaca setia kisah-kisah pengalaman seram saya dan kawan-kawan.

Jadi kisah terbaru saya begini.

Suatu ketika. Rasanya sudah agak lama. Mungkin sekitar sepuluh tahun yang lepas. Ketika itu saya baru balik ke rumah dari merawat pesakit. Sesampainya di luar rumah, saya menerima panggilan telefon dari seorang pakcik.

“Assalamualaikum Cikgu Malik. Saya Pakcik Alias. Saya nak mintak tolong cikgu. Ada masalah sikit.”

“Waalaikumsalam pakcik. Ada nak mintak tolong apa-apa ke pakcik?”

“Ada nak. Begini. Anak pakcik tengah meracau kat rumah. Dia seperti orang kerasukan. Balik dari Pantai Tanjung Batu tadi terus jadi camni.”

“Anak pakcik berapa umur? Lelaki ke perempuan?”

“Lebih kurang 14 tahun. Tingkatan dua. Anak pakcik ni perempuan.”

“Jadi apa benda yang boleh saya tolong pakcik?”

“Pakcik nak mintak tolong cikgu datang ke rumah sekarang boleh tak?”

“Insya-Allah boleh. Tapi saya tak boleh lama. Sebab awal pagi esok saya nak pergi ke sekolah. Kat mana rumah pakcik?”

“Rumah pakcik kat kawasan Medan Jaya tu. Nanti pakcik SMS cikgu. Untuk beri alamat rumah pakcik.”

“Baiklah pakcik. Lepas ni saya datang.”

Setelah mematikan hp, saya kembali menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan halaman rumah kami. Saya perhatikan jam mula menunjukkan tepat pada pukul 12.20 tengah malam.

Seperti biasa. Sebelum menyanyi untuk menghiburkan hati, saya mula dengan membaca zikir;

“Bismillahilladzi laa yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi walaa fis sama’ie wa huwas sami’un alim.”

“Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa, “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang di bumi dan yang di langit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barang siapa membacanya ketika waktu subuh sebanyak tiga kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya.” (Riwayat Abu Daud, At Tirmizi dan Ahmad)

Selepas itu saya membaca Surah Al-Fatihah, Surah Kursi dan tiga Qul. Kereta sengaja saya perlahankan kelajuannya kerana saya pada ketika itu sedang menikmati lagu Kumpulan MAY iaitu Lagu ‘Ku Dalam Dilema”.

Kebetulan pada petang tadi saya juga mendengar lagu ini ketika di dalam perjalanan ke Pasar Lama Bintulu bersama dengan keluarga. Saya mainkan lagu ini berulang kali. Lagu ini benar-benar membawa jiwa saya balik ke zaman awal remaja saya.

Lagipun lagu-lagu seperti ini tidak pernah bosan untuk menyentuh halwa telinga saya. Sebab itulah lagu-lagu seperti ini kekal bertahan hingga sekarang.

Saya masih ingat apabila lagu ini pernah ‘merasuk jiwa remaja’ pada tahun 1988. Ketika itu saya sedang jatuh cinta kepada seorang murid Tahun 4. Ketika itu saya sedang berada di kelas Tahun 6 Merah.

Kelas saya ini kelas biasa-biasa sahaja. Juga pada ketika itu saya abadikan lagu ini untuk kisah cinta kami.

Lagu inilah yang membawa perasaan saya menyatu dengan perasaan dia. Chewah.. Tetapi hubungan cinta monyet kami berakhir apabila saya meminta putus. Saya tidak tahan dengan hinaan dan gelak ketawa kawan-kawan saya.

Kerana gadis kecil bernama Surayana ini selalu dihukum oleh guru mata pelajaran kelas mereka kerana dia tidak pandai membaca. Di hadapan mata saya sendiri saya lihat dia dihukum berdiri di luar kelas.

Ketika itu dengan kesan hingus yang telah mengering di bawah hidungnya, dia tersengih-sengih melihat saya dan akhirnya jodoh cinta monyet kami tidak bertahan lama kerana dirimu aku lepaskan dengan cinta dan air mata. Hahaha..

 

‘Masih ku sangsi akan cintamu,

Walau kita saling bersua dan bermesra,

Pernah kau lafaz akan janjimu,

Bagiku masih dalam kesamaran,

Andai kau mengerti isi hatiku,

Terangilah kesamaran ini,

 

Semasa sedang asyik mendengar lagu sentimental rock dari kumpulan MAY ini, saya mengambil keputusan untuk mengelilingi sekejap di Pantai Tanjung Batu. Ketika itu dari Tanjung Batu ke Pantai ABF belum lagi wujud.

Jadi saya terpaksa untuk berpusing-pusing di sekitar tempat parkir kereta. Tepatnya di parkir kereta berhadapan dengan gerai-gerai menjual makanan dan minuman sekarang. Malam itu sungguh mengasyikkan. Udara Pantai Tanjung Batu bertiup perlahan.

Saya perhatikan sekeliling. Ada dua tiga buah kereta yang juga parkir di kawasan tersebut. Saya mematikan enjin kereta dan membuka tingkap untuk menikmati hawa panas angin dari tengah laut Pantai Tanjung Batu.

Untuk seketika saya menutup mata sambil berulang kali menarik nafas.

“Aku tidak suka mengganggu manusia. Sebab itu jangan mulakan dulu.”

 

SUARA

Saya terkejut mendengar suara tersebut lalu membuka mata. Saya memandang sekeliling dan ternyata tiada seorang pun di sekitar saya. Yang peliknya tiada lagi kelihatan kereta-kereta yang parkir bersama kereta saya tadi.

Suasana yang mulanya indah, tenteram dan mengasyikkan tiba-tiba berubah menjadi suasanya yang menakutkan.

Saya sedang keseorangan di Pantai Tanjung Batu ketika itu. Pohon-pohon di sekeliling saya yang tadinya merendang, mula bergerak-gerak seperti dilanggar sesuatu.

Saya mula dirundung resah. Ketenangan pantai Tajung Batu mula terusik. Mata saya tiba-tiba tertumpu pada tepi pantai. Saya melihat dengan pandangan yang samar-samar.

Ntah kenapa tiba-tiba ada ramai orang di sana. Badan mereka berwarna hitam dengan corak belang-belang yang agak tebal. Mereka bermain, berterbangan di atas pokok. Ada yang tiba-tiba muncul dari tengah pasir.

Rasanya hampir mencapai seratus orang juga jumlah mereka. Ada yang setinggi pokok kelapa. Ada yang sebesar lori, ada yang tidak berkepala, ada yang merangkak di atas pasir pantai dan bermacam-macam lagi rupa bentuk mereka.

Suara mereka juga berbeza. Kedengarannya seperti bunyi suara burung gagak. Tetapi mereka saling memahami antara satu sama yang lain.

Sedang saya asyik memerhatikan mereka, tiba-tiba kesemua mereka terdiam dan mula memandang saya. secara perlahan-lahan mereka bergerak ke arah saya. Saya tidak dapat melihat dengan jelas bagaimana keadaan mereka sebenarnya.

Saya cuba untuk menghidupkan enjin kereta saya dan memecut selaju mungkin kalau boleh. Tetapi saya seperti tidak mempunyai apa-apa kekuatan. Saya serah segalanya kepada Allah.

Oleh kerana terlalu takut, tingkap kereta saya juga tidak saya tutup. Saya tidak terfikir untuk menutup tingkap kereta pada ketika itu.

Entah kenapa tempat parkir kereta saya rasakan bergegar dengan sendirinya. Risau dengan apa yang akan berlaku, saya memberanikan diri untuk menoleh ke luar dari tingkap sebelah kanan saya. Deruan angin semakin kuat, pohon-pohon tetap tenang seperti biasa.

“Assalamualaikum. Kenapa datang ke sini?”

Tiba-tiba saya melompat lalu memeluk kerusi pemandu. Saya memerhatikan sekeliling. Tiada seorang pun yang ada bersama saya. Tetapi suara tersebut wujud di dalam kereta saya.

“Kamu siapa? Kenapa kamu mengganggu aku?”

“Ini kampung kami. Bukan kami yang mengganggu kamu.”

Saya cuba untuk mengawal diri. Dalam ketakutan seperti ini saya cuba untuk membaca Surah Kursi. Saya baca berulang-ulang kali sehingga saya merasa tenang.

“Sudah selesai kamu membaca Surah Kursi?”

“Sudah. Tetapi aku nak baca lagi.”

“Aku juga boleh membacanya. Malah lebih bagus dari bacaan kamu.”

“Bohong. Kamu adalah syaitan.”

“Kami bukan syaitan. Kami hamba Allah seperti kamu juga. Kami juga Islam seperti kamu.”

“Aku tidak percaya. Kamu cuma sebuah suara sahaja. Tanpa ada bentuk diri kamu sebenarnya.”

“Apa kamu mahu ingin melihat diri kami bagaimana.”

“Eh..Tak nak. Aku tak nak melihat rupa kamu. Aku takut tapi aku cuma ada Allah.”

“Kalau begitu kamu baliklah. Di sini bukan tempat kamu. Apa lagi gelap malam seperti ini. Ketika ini siang bagi kami dan malam bagi kamu. Ketika ini kami semua berkeliaran mencari makan.”

“Jangan makan aku. Ya Allah, lindungilah aku.”

“Kamu bukan makanan kami kerana Rasulullah telah menetapkan bahawa tulang dan kotoran itu adalah makanan kami.”

Tiba-tiba saya teringat akan beberapa buah hadis dari Rasulullah;

Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata,

Bahawasanya ia pernah membawakan pada Nabi SAW wadah berisi air wudhu dan untuk istinjak beliau. Ketika ia membawanya, Nabi SAW bertanya, “Siapa ini?” “Saya, Abu Hurairah”.

Lalu Nabi SAW meminta, “Carikan beberapa buah batu untuk kugunakan bersuci. Dan jangan bawakan padaku tulang dan kotoran.” Abu Hurairah berkata, “Kemudian aku mendatangi beliau dengan membawa beberapa buah batu dengan hujung bajuku. Hingga aku meletakkannya di samping beliau dan aku berlalu pergi. Ketika beliau selesai buang hajat, aku pun berjalan menghampiri beliau dan bertanya, “Ada apa dengan tulang dan kotoran?” Beliau bersabda,

“Tulang dan kotoran merupakan makanan jin. Keduanya termasuk makanan jin. Aku pernah didatangi rombongan utusan jin dari daerah Nashibin dan mereka adalah sebaik-baik jin. Mereka meminta bekal kepadaku. Lalu aku berdoa kepada Allah untuk mereka agar setiap kali mereka melewati tulang dan kotoran, mereka mendapatkan makanan padanya”. (HR. Bukhari 3860)

Dalam hadis lain dari Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda,

“Janganlah kalian beristinja’ (membersihkan kotoran pada dubur) dengan kotoran dan jangan pula dengan tulang karena keduanya merupakan bekal bagi saudara kalian dari kalangan jin.” (HR. Tirmidzi no. 18. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini sahih)

Saya kemudian terdiam. Begitu juga dengan suara tersebut. Suasana bertukar menjadi hening seketika. Sedangkan ketakutan masih lagi menguasai diri saya.

Saya cuba untuk terus menerus membaca Surah Al-fatihah dan Surah Kursi.

Selepas itu suara tersebut berkata lagi;

“Pulanglah. Sebelum datang syaitan-syaitan yang ganas dari tengah lautan datang mencari makanan dan mengganggu manusia-manusia di sekitar sini.”

“Apa mereka itu bukan dari golongan kamu?”

“Bukan. Mereka tiada pegangan agama. Mereka ganas dan suka membunuh. Tidak lama lagi mereka akan datang ke sini. Baliklah.”

“Baiklah. Aku akan balik sebentar lagi. Sebelum itu, kamu tinggal di mana?”

“Kami tinggal di tepi pantai ini. Tepatnya di dalam tanah, di pokok-pokok, juga di lopak-lopak air yang bertakung. Kawan-kawan akulah yang kau lihat tadi. Yang tidak berkepala tadi, yang terbang dan yang merangkak-rangkak tadi. Dulu kami tinggal di hotel lama di kawasan ini. Setelah hotel itu tiada lagi lalu kami tinggal berselerak di kawasan tepi pantai ini.”

Saya teringat suatu saya masih kecil dahulu. Ketika masih belajar di Tadika St Anthony, kami pernah dibawa oleh keluarga untuk mandi di Pantai Tanjung Batu ini.

Ketika itu ada sebuah hotel, iaitu Aurora Beach Hotel. Penduduk asal Bintulu mungkin ingat lagi akan hotel tersebut.

Hotel tersebut telah lama dibiarkan kosong suatu masa dahulu sebelum pemaju meruntuhkan hotel tersebut dan dibangunkan sebuah projek yang baru di situ.

Rasanya tapak hotel tersebut terletak di sekitar bulatan Tanjung Batu (berdekatan Pasaraya Sing Kwong lama) dan di Imperial Suites Bintulu.

“Dan kenapa pula kamu ada di sini?”

“Aku sebenarnya dalam perjalanan ke rumah kawan. Dia mintak tolong aku untuk merawat anaknya yang kerasukan setelah balik dari sini tadi.”

“Owh..Budak tu. Aku kenal dia. Dia dan kawan-kawannya yang membuat onar tadi di sini.”

“Lepas tu kau buat apa kat dia?”

“Bukan kami. Tapi jin-jin di tengah laut yang ganas yang mengganggu dan mengikuti mereka balik ke rumah.”

“Kenapa boleh jadi begitu?”

“Sebab itulah. Adab di tempat orang kena jaga. Tak perlu menjerit-jerit ketika senja dan berseronok-seronok hingga lupa dunia. Mungkin juga ada benda yang dibawa olehnya pulang ke rumah. Pergilah. Sebelum mereka datang. Kamu lihat di tengah laut sana?”

 

ARTIKEL BERKAITAN: Makan kertas dan pemadam kerana lapar - Kisah pelajar tingkatan 3 dan adiknya, Zana undang sebak

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal kuasai subjek Matematik..rupa-rupanya ini faktor sebenar pelajar lemah dan corot subjek itu

ARTIKEL BERKAITAN: Dikatakan tiada masa depan kerana selalu keputusan tercorot dalam kelas, Midhat kini Prof Madya

 

Kabus

Saya mengalihkan pandangan saya ke laut. Saya lihat seperti ada suatu gerombolan kabus yang besar dan hitam pekat menghala ke arah pantai.

Entah kenapa saya mula menjadi risau. Kemudian suara tersebut kembali menyentuh pendengaran saya.

“Baliklah sekarang kerana pada diri mereka cuma ada kemusnahan sahaja. Semoga Allah melindungi kamu.”

“Terima kasih. Siapa pun kamu aku serah semuanya kepada Allah. Semoga Allah melindungi aku dari segala kejahatan. Dan semoga ini cumalah mimpi sahaja.”

“Baliklah sekarang. Mereka sudah dekat. Nanti aku akan hantarkan tanda kepadamu yang aku juga makhluk seperti kamu.”

“Tanda apa?”

“Cepat. Balik sekarang. Semoga Allah melindungi kamu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Selepas itu suara tadi tidak lagi kedengaran. Angin laut mula bertiup kencang dan bergerak pantas ke tepi pantai. Saya cuba untuk menghidupkan enjin kereta saya.

Kenapa pada keadaan segenting ini enjin kereta saya pula tiba-tiba tidak dapat dihidupkan.

Kabus hitam dan pekat itu semakin mendekat ke pantai. Pokok-pokok di sekitar saya bergoncang dengan kuat. Deras angin mula merempuh cermin hadapan kereta saya.

Saya kemudiannya terdengar bunyi ombak, angin laut dan suara-suara garau yang menyeramkan.

Juga suara orang menangis dan menjerit. Suara mereka seperti bunyi deruan angin yang kencang. Hingga butir perbualan dan percakapan mereka tidak dapat saya tangkap dengan jelas. Juga suara seperti manusia yang ketawa dan mengeluh.

Kabus tersebut semakin jelas di mata saya. Dari sebuah kepulan kabus yang besar, akhirnya mengecil menjadi beberapa bahagian lalu kabus-kabus kecil itu bertukar bentuk menjadi seperti sosok-sosok manusia yang ganjil berwarna hitam dan berkilat.

Wajah mereka menakutkan. Bibir mereka tebal seperti muncung ikan. Dengan taring mereka yang putih dan tajam. Lidah mereka bercabang dua, rambut mereka pula berwarna kelabu panjang hingga ke paras pinggang.

Bertubuh sasa dan berwarna hitam pekat. Mata mereka pula kemerahan dan terbujur keluar seperti mata ikan yang sudah lama mati beragan.

Juga pada tubuh badan mereka banyak lubang-lubang yang dipenuhi dengan cecair seperti nanah yang berbau hanyir seperti hanyir ikan. Mereka mempunyai ekor yang agak panjang. Cuma kaki mereka sahaja seperti kaki lembu.

Hampir termuntah juga saya pada ketika itu kerana baunya hanyir yang meloyakan tekak menyebar ke seluruh pantai.

Tiba-tiba ada seekor saya perhatikan menuju ke arah sebelah kawasan kanan. Seperti tempat di antara aliran anak sungai kecil bentuknya. Atau seperti air longkang atau parit kecil menuju ke laut.

Di situlah ramai pemancing yang pernah disampuk hantu suatu ketika dulu. Apabila mereka memancing pasti umpan mereka akan dimakan oleh ikan. Tetapi yang peliknya hasil tangkapan mereka semakin berkurangan.

Tetapi kalau sudah rezeki, syaitan ini akan menampakkan diri mereka kepada para pengail ikan tersebut dalam keadaan syaitan itu bertelanjang, berwarna hitam, berambut panjang, kukunya panjang dan sedang lahap memakan ikan hasil tangkapan pemancing tadi. Rupa bentuk mereka sama seperti makhluk yang saya lihat tadi.

Kalau pemancing ikan itu tersedar akan kehadiran syaitan ini, maka syaitan ini akan mengikuti mereka pulang ke rumah. Bagaimana saya tahu?

Kerana hampir sepuluh orang yang tersampuk ketika memancing di situ datang berubat dengan kami.

Saya kemudiannya cuba untuk bersembunyi. Agar tidak dilihat oleh mereka. Perasaan takut menguasai jiwa saya. Pada ketika itu saya cuma ingat akan Allah sahaja serta keluarga yang saya tinggalkan d rumah. Rasa mahu terkencing di dalam seluar sahaja rasanya.

Tetapi saya cuba untuk menenangkan diri. Bacaan al-Quran saya berterabur. Ingin menjerit saya risau syaitan itu tahu akan kehadiran saya memerhati pergerakan mereka bermula dari tengah laut tadi hingga ke tepi pantai.

Saya cuba untuk membaringkan diri. Serendah yang boleh. Hingga hidung dan mulut saya menyentuh lantai kereta. Sesekali saya cuba juga untuk memberanikan diri dengan melihat keadaan di luar melalui tingkap kereta.

Suasana kembali tenang. Setelah seketika tadi deruan angin yang kuat serta keadaan hiruk pikuk menyebabkan kerisauan saya hingga ke tahap ingin terkencing di dalam seluar.

Dalam kesunyian malam ketika itu, saya cuma terdengar bunyi ombak. Tetapi bunyi dengusan manusia muncul pula secara tiba-tiba dari arah belakang kereta.

Apa lagi yang akan muncul saya pun tidak tahu. Boleh pengsan saya kalau terus-terusan seperti ini.

Saya mendengar bunyi sesuatu diseret di atas jalan. Seperti bunyi benda keras yang diseret kuat di atas jalan. Bunyinya semakin lama semakin dekat.

Kemudian saya rasa kereta saya bagaikan digoyang oleh seseorang walaupun tidaklah sekuat mana.

 

Ketawa

Selepas itu saya mula mendengar suara seseorang ketawa. Tetapi sedikit garau. Betul-betul di sebelah saya.

“Hahaha..Taupun takut. Aku ingat kamu hebat. Ternyata tidaklah seperti apa yang aku sangka. Hihihi..”

Saya cuba untuk terus mendiamkan diri. Saya berdoa agar syaitan itu tidak dapat berjumpa dengan saya. Wajah saya sekarang betul-betul menyentuh lantai kereta.

Saya masih teringat lagi pada ketika itu, saya juga bertindak sedikit bodoh. Saya teringat akan kisah lucu filem hantu cina 80 dan 90an.

Bagaimana mereka cuba menahan nafas sekuat mungkin agar tidak dapat dikesan oleh hantu tersebut.

Begitulah yang terjadi pada saya. Saya juga berusaha untuk menahan nafas saya selama mungkin. Betapa bodohnya saya ketika itu. Hahaha..

Dalam keadaan saya sedang menahan nafas tersebut, saya cuba untuk mengangkat kepala saya perlahan-lahan supaya saya boleh melihat kedudukan makhluk itu tepatnya di mana.

Sedang saya cuma memerhati dari celah tingkap. Tiba-tiba saya rasakan ada seseorang yang duduk di bahagian belakang kereta. Bau hanyir ikan mula menyebar ke seluruh dalam kereta. Saya ingin menjerit tetapi tiada apa yang keluar dari mulut saya.

Dalam keadaan mencemaskan seperti itu, tiba-tiba tengkuk saya seperti dicengkam dari arah belakang. Apa yang pasti tangan berwarna hitam. Kukunya berkilat dan sekeras perak. Juga bersisik-sisik seperti sisik ikan.

Makhluk itu mencengkam tengkuk saya sehingga saya tidak dapat menoleh sedikit pun. Apa yang dapat saya lakukan cumalah menjerit dan terus menjerit.

Badan saya mula lemah. Sepertinya makhluk tersebut cuba untuk menyiksa saya sehingga keseluruhan badan saya terasa bergegar.

Ketika kedua-dua tangan makhluk ini cuba untuk mengukuhkan cekikannya, saya cuba untuk menahan kedua belah tangannya agar saya boleh mengelak dari terus dicengkam oleh syaitan ini. Tetapi secara tiba-tiba saya tersedar.

“Cikgu..Cikgu..Bangun. Apa yang cikgu buat kat sini sorang-sorang?”

Saya kemudian mula membuka mata dan memerhati keadaan sekeliling. Saya tidak melihat kelibat syaitan laut tadi melainkan di luar kereta saya ada dua orang polis yang berpangkat sarjan dan koperal. Mereka tengah membuat rondaan.

Saya kenal dengan Sarjan tersebut kerana sebulan sebelum itu dia membawa anaknya untuk berubat dengan kami.

“Mintak maaf tuan. Saya tertidur. Sebenarnya saya dalam perjalanan ke rumah pesakit. Tapi singgah di sini dulu untuk mengambil udara segar.”

“Baik cikgu. Lepas ni cikgu boleh jalan. Bahaya jugak sorang-sorang di tempat sunyi camni.”

“Nasib baik saya yang buat rondaan cikgu. Kalau orang lain mungkin cikgu dah dibawa ke balai.”

“Terima kasih tuan. Saya gerak sekarang.”

Selepas itu saya hidupkan enjin kereta saya lalu bergerak perlahan-lahan meninggalkan kedua orang polis tadi. Sempat juga mereka melambai ke arah saya. Kemudian Sarjan tadi menjerit kepada saya sambil ketawa.

“Cikgu, ngeri betul cikgu mengigau tadi. Hahaha..”

Saya cuma tersengih sahaja. Kemudian melemparkan senyuman saya kepada mereka seraya memberi salam.

“Tuan. Jangan bagitau orang ya. Hahaha. Assalamualaikum.”

Tuan Sarjan tersebut sekarang sudah tidak lagi bertugas kerana lebih kurang setahun pencen. Kali terakhir saya terserempak dengannya adalah di Pasaraya Farley Medan Jaya pada penghujung tahun lepas.

Sentiasa tersenyum dan ketawa. Sekarang Sarjan tersebut sibuk mengusahakan tanah kebunnya.

Selepas itu saya tinggalkan Pantai Tanjung Batu dengan perasaan sedikit terkejut dan malu. Terkejut disebabkan saya bermimpi dan mengigau.

Seolah-olah apa yang saya alami tadi adalah betul. Sedangkan saya masih teringat akan suara yang bercerita dengan saya di dalam mimpi tadi.

“Baliklah sekarang. Mereka sudah dekat. Nanti aku akan hantarkan tanda kepadamu yang aku juga makhluk seperti kamu.”

Apa-apapun tanda tersebut saya tidak peduli kerana mimpi itu tadi sudah cukup untuk saya tidak berani untuk mandi selepas isyak. Selama seminggu.

Kereta saya mula bergerak meninggalkan tempat parkir. Saya memerhati dari jauh Tuan Sarjan dan Koperal tadi menyuluh di kawasan sekeliling.

Tetapi menurut perkiraan dan pemerhatian saya ketika mereka sedang menyuluh di kawasan pokok-pokok tersebut, mereka lupa bahawa ada sesuatu yang timbul dari permukaan tanah ketika itu.

 

Timbul ke permukaan tanah

Kalau mengikut kedudukan sekarang, agak tidak berapa jauh dari tempat beberapa orang pemuda yang selalu ‘busking’ di situ.

Makhluk itu tiba-tiba timbul ke permukaan tanah. Mungkin makhluk itu tinggal di bawah tempat manusia selalu lalu lalang di tepi pantai Tanjung Batu ini.

Bentuknya lebih kurang seperti makhluk yang saya lihat ketika bermimpi tadi. Mata dan mulutnya yang sama seperti bentuk mata dan mulut ikan itu saya tidak akan pernah lupa.

Juga rambutnya yang panjang, lidah becabang dua serta wajahnya yang sangat menakutkan.

Selepas itu makhluk itu memandang ke arah saya sebelum akhirnya kembali masuk ke dalam tanah. Pada ketika itu saya buat-buat tidak nampak.

Mungkin itu cuma imaginasi saya sahaja sebab kesan dari mengigau tadi masih segar lagi di jiwa saya.

Selepas itu saya menuju ke rumah Pakcik Alias. Untuk sampai ke sana cuma sekitar lima minit sahaja kerana jalan raya ketika itu sedang lengang.

Juga tiada kereta yang sedang lalu. Cuma saya rasa seperti ada seseorang yang sedang mengikuti saya.

Ketika itu saya mula kembali terfikir dengan suara misteri yang berbual-bual dengan saya ketika di dalam mimpi tadi. Barulah saya tahu kenapa ada juga orang yang histeria apabila balik dari pantai Tanjung Batu ini.

Mungkin mereka tidak tahu akan kehadiran makhluk-makhluk Allah yang lain di bumi ini. Yang sama-sama menumpang.

Mungkin mereka tinggal di bawah tanah. Tempat manusia lalu di atasnya sambil melihat pemandangan pantai yang mengasyikkan.

Rasanya itu tidaklah mengganggu kawanan makhluk ini. Cuma yang menyebabkan mereka terganggu adalah sekiranya manusia-manusia yang datang ke situ membuat bising yang terlampau, menjerit, berteriak-teriak, berkhayal, kencing sembarangan, mengambil sesuatu di pantai, juga membakar secara sembarangan serta menganggap senja itu adalah perkara biasa.

Sedangkan dalam suatu hadis menjelaskan bahawa;

Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda,

“Jika malam datang menjelang, atau kalian berada di senja hari, maka tahanlah anak-anak kalian, kerana sesungguhnya ketika itu syaitan sedang berkeliaran. Jika telah berlalu beberapa ketika dari waktu malam, maka lepaskan mereka. Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula bekas minuman dan makanan kalian dan berzikirlah kepada Allah, walaupun dengan sekadar meletakkan sesuatu di atasnya, matikanlah lampu-lampu kalian.” (HR. Bukhari, no. 3280, Muslim, no. 2012)

Imam Muslim, no. 2113 meriwayatkan dari Jabir radhiallahu anhu, dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda,

“Jangan lepas haiwan ternakan kalian dan anak-anak kalian apabila matahari terbenam hingga berlalunya awal waktu Isyak. Kerana syaitan bertebaran jika matahari terbenam hingga berlalunya awal waktu Isyak.”

Ibnu Jauzi berkata, “Dikhawatirkan pada anak-anak dalam waktu tersebut, kerana najis yang selalu dicari-cari syaitan umumnya ada pada mereka sedangkan zikir yang dapat melindungi mereka umumnya tidak ada pada anak kecil. Sedangkan syaitan ketika bertebaran, mereka bergantungan dengan apa saja yang dengan apa saja yang mereka dapatkan. Maka dikhawatirkan bagi anak-anak waktu tersebut.”

Adapun latar belakang bertebarannya mereka pada waktu itu, kerana waktu malam lebih mudah bagi mereka di banding siang, kerana gelap lebih mendatangkan kekuatan bagi syaitan di banding lainnya.”

(Fathul Bari, 6/341)

Sesampainya saya di rumah Pakcik Alias saya membunyikan hon kereta saya. Saya menanti dengan penuh sabar dan sedikit rasa seram kerana kawasan rumah Pakcik Alias ini agak suram berbanding dengan rumah-rumah yang ada di sebelah-menyebelah.

Saya mula merasa tidak selesa pada ketika itu kerana saya mula rasa diperhatikan. Saya sempat juga menoleh ke belakang kereta saya. Untuk kepastian sahaja.

Supaya jangan ada penumpang. Kalaulah ada penumpang, mungkin pada malam itu juga saya balik berjalan kaki dari rumah Pakcik Alias ke rumah kami di Taman Sebiew Indah.

Tidak lama selepas itu pintu rumah Pakcik Alias terbuka. Pakcik Alias menyambut saya di hadapan pagar rumah dan saya juga disambut dengan bunyi lolongan anjing yang panjang, seperti merintih dan menyeramkan.

Seingat saya, kalau terdengar bunyi lolongan anjing maka berhati-hatilah. Sabda Rasulullah SAW;

“Jika kalian mendengar lolongan anjing dan ringkikan keldai pada malam hari maka berlindunglah kepada Allah darinya kerana ia melihat apa yang tidak dapat kalian lihat.”

(HR. Abu Dawud no. 5103, Ahmad 3/306, 355-356 Shahih Al Adabul Mufrad no. 937 serta Ibnu Sunni no. 311 dalam ‘Amalul Yaum wal Lailah. Dari Jabir bin Abdillah RA).

Sebab itulah saya tidak mahu ambil tahu apa yang tidak nampak pada pandangan mata yang berada di sekeliling saya.

Kemudian hati saya merasa lega apabila Pakcik Alias sedang menanti saya di sebelah pintu kereta.

Selepas mematikan enjin, saya mengambil beg sandang saya di sebelah kerusi penumpang. Beg inilah yang selalu saya bawa ke mana-mana bertahun-tahun sehinggalah ia rosak dan tidak boleh digunakan lagi beberapa tahun lepas.

Ketika saya memandang dan mengambil beg tersebut, saya terkejut kerana tempat duduk penumpang di sebelah saya penuh dengan pasir laut berwarna putih.

Entah dari mana datangnya pasir tersebut pun saya tidak tahu. Saya teringat sekali lagi suara-yang saya dengar melalui mimpi tadi;

“Baliklah sekarang. Mereka sudah dekat. Nanti aku akan hantarkan tanda kepadamu yang aku juga makhluk seperti kamu.”

 

Tanda dari pasir

Agak lama juga saya diam sambil memerhati pasir tersebut. Mungkin inilah tanda yang dimaksudkan tadi. Cuma suara itu saya alami ketika sedang bermimpi. Sedangkan pada alam nyata pasir-pasir ini tiba-tiba ada.

Saya membiarkan pasir itu begitu sahaja kerana saya ingin selesaikan dahulu masalah yang dialami oleh anak Pakik Alias. Sehinggalah Pakcik Alias keluar mendapatkan saya di pintu kereta sambil memberi salam.

“Assalamualaikum Cikgu. Lama betul termenung tu? Kenapa Cikgu?”

“Tak ada apa-apa pakcik. Cuma nak kemas-kemas sikit kereta ni. Banyak pulak pasir.”

“Plastik pasir tu koyak ke? Nak buat apa dengan pasir tu cikgu?”

“Tak ada apa-apalah pakcik. Cuma nak bawak ke sekolah esok. Ada projek dengan budak-budak.”

“Owh..Jom masuk cikgu.”

Selepas itu kami masuk ke halaman rumah Pakcik Alias. Untuk sementara pasir tersebut saya biarkan saja dulu di atas tempat duduk penumpang. Balik nanti saya kemaskan.

Kalau tidak pasti isteri saya akan marah nanti kerana awal pagi nanti saya akan hantar dulu isteri saya yang bekerja di MLNG Bintulu sebelum saya bergerak pergi ke SK Kampung Jepak.

Sehingga sekarang isteri saya tidak tahu tentang pasir tersebut. Cuma beberapa hari selepas itu ada juga isteri saya meminta saya untuk menghantar kereta ke kedai supaya dicuci kerana banyak sangat pasir-pasir.

Tentang pasir tersebut, bagi saya ianya tetap menjadi misteri sehingga kini. Mungkin inilah tanda-tanda kehadiran makhluk tersebut berdasarkan apa yang dikatakan oleh suara misteri di dalam mimpi saya tadi.

Tidak lama kemudian kami masuk ke dalam rumah. Pakcik Alias menjemput saya untuk duduk. Saya terdengar bunyi perempuan mengilai dan menjerit-jerit di tingkat atas rumah. Juga bunyi orang menangis mendayu-dayu.

“Cikgu dengar tak?”

“Dengar pakcik. Suara anak pakcik ke tu?”

“Haah. Sekarang dia ada kat atas. Mak dan abang-abang dia yang sedang menjaga dia.”

“Siapa nama anak pakcik tu?”

“Mastura. Orang panggil Mas je. Jom cikgu. Kita naik ke atas.”

Kemudian kami naik ke tingkat atas dan menuju ke sebuah bilik yang menempatkan Mastura. Selepas sampai di muka pintu bilik, Pakcik Alias masuk lalu memberi salam. Selepas itu kami masuk ke dalam bilik.

Saya perhatikan Mastura sedang diikat kaki dan tangannya di tepi katil. Saya tidak sanggup melihat keadaan Mastura pada ketika itu kerana kelihatan Mastura sangat sakit dan tersiksa.

Mungkin kerana tiada pilihan jadi Pakcik Alias mengambil keputusan untuk mengikat sahaja kaki dan tangan Mastura agar mereka boleh mengawalnya.

“Pakcik, kalau tak keberatan boleh tak pakcik buka ikatan Si Mastura ni. Kesian saya tengok.”

“Boleh cikgu. Bukan apa kami ikat Si Mastura ni. Petang tadi selepas solat isyak, Mas ni pergi ke dapur dan mengambil pisau lalu menyayat lengannya sendiri. Nasib baik tak terlalu dalam. Luka di bahagian kulit je. Saya cuma letak krim ubat dan membalut luka Mastura sendiri. Sebelum tu dia cuma menjerit-jerit. Lepas tu menangis. Mula-mula tak adalah kami nak ikat dia. Lepas dia menyayat lengannya sendiri barulah kami ikat Mas ni cikgu.”

“Owh..Macam tu. Takpelah pakcik. Saya faham. Untuk keselamatan dia sendiri. Jadi boleh kita mulakan pakcik?”

“Silakan cikgu.”

 

Merawat Mastura

Selepas itu saya duduk di samping Mastura. Tangannya masih lagi terikat tetapi saya minta kepada Pakcik Alias untuk mengendurkan sedikit ikatan pada tangan Mastura.

Kemudian saya mulakan dengan membaca tawwudz dan basmalah.

“A’udzu billahi minasy syaithonir rojiim.” (Aku berlindung kepada Allah dari setan yang direjam)

“Bismillaahir raḥmaanir raḥīm.” (Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani)

Diikuti dengan Surah Al-fatihah, lima ayat pertama Surah Al-Baqarah, ayat 102 Surah Al-Baqarah, Surah Kursi, Surah As Shafaat ayat 1 hingga 10 dan empat Qul.

Saya baca berulang-ulang kali sehinggalah Mastura yang tadinya tenang mula mengamuk.

Saya teruskan bacaan saya sehingga Mastura menjerit dan menyumpah-nyumpah saya. Lalu ketawa dan bercakap dengan menggunakan bahasa yang saya sendiri tidak faham.

“Wahai kawan-kawanku. Datanglah kepadaku. Seisi rumah ini kita penuhkan dengan dendam dan kebencian. Biar manusia tahu bahawa kita adalah syaitan-syaitan penunggu laut Tanjung Batu sebenarnya.”

Tiba-tiba di dalam rumah Pakcik Alias menjadi riuh. Bunyi angin laut mula menguasai segenap rumah. Di atas atap kedengaran seperti bunyi orang berlari-lari sehingga kami rasakan seisi rumah Pakcik Alias bergegar dan bergoyang.

Selain itu bau bangkai dan bau laut mula menusuk ke dalam hidung. Rumah Pakcik Alias juga seolah-olah dihadiri oleh ramai orang. Cuma sahaja mereka tidak kelihatan.

Di tingkat bawah rumah mereka juga seperti ada pesta. Semuanya menyatu dalam satu masa.

Kelihatan pada wajah Pakcik Alias, isteri dan anak-anaknya riak ketakutan yang mendalam. Begitu juga dengan saya. Cuma ketakutan pada diri saya, saya tidak mahu dilihat oleh mereka.

Saya cuma berserah segalanya kepada Allah kerana Allahlah yang Maha Pelindung.

Dalam keadaan cemas seperti itu saya meminta mereka membaca apa sahaja ayat al-Quran yang mereka hafal. Saya juga membaca beberapa ayat al-Quran lalu membaca doa melalui sebuah hadis;

“Bismillahi amsaina billahil lazdi laisa minhu syai’un mumtani’ wa bi’izzatillahi llati laa turoom wa laa tudhoom, wa bisulrhonillahi lmani’ nahtajib wa asmaihilhusna kulluha ‘aaizdum min syarri syayaathin alins wa aljin wa syarri kulli mu’lin wa musirri wa syarri ma yakhrujuu billail wa yamkunu binnahar, wa yamkunu billaili wa yakhrujuu bin nahaari, wa min syarri ma kholaqo wa zdaroa wa baroa, wa min syarri iblis wa junuudih wa min syarri kulli dabbatin anta aakhizdun binaashiatiha, inna Rabbi ‘ala syirootim mustaqiim. A’uzdu billah i bima sta’azda Musa wa Isa wa Ibrahim allazdi waffa min syarri maa kholaqo wa dzaroa wa baroa wa syarri iblis wa junuudihi wa min syarri ma yabgi.”

“Dengan nama Allah kami berada di waktu petang atau malam (amsaina). (Kalau pagi dibaca ashbahna) dengan kuasa Allah yang tidak sesuatu apa pun yang terhalang dariNya. Dengan keperkasaan Allah yang tidak dapat diingini dan tidak dapat ditolak, dengan kekuasaan Allah yang sangat kukuh, kami berlindung.”

“Dengan seluruh asma’ul husna, kami berlindung dari semua Iblis dan dari kejahatan syaitan dari golongan manusia dan jin, dari kejahatan semua yang terang terangan dan yang sembunyi sembunyi, dari kejahatan semua yang keluar di malam hari dan yang bersembunyi di siang hari, dari kejahatan yang bersembunyi di malam hari dan keluar di siang hari.”

Dari kejahatan segala yang diciptakan, diadakan dan dijadikan (oleh Allah), dari kejahatan Iblis dan bala tentaranya dan dari kejahatan semua yang melata yang Engkau pegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Rabbku di atas jalan yang lurus.”

“Aku berlindung kepada Allah dari apa yang diminta oleh Musa, Isa dan Ibrahim yang menepati janji, dari segala yang Dia ciptakan, diadakan dan dijadikan. Dari kejahatan Iblis dan tenteranya dan dari kejahatan apa pun yang melampaui batas.”

Selepas itu keadaan menjadi semakin genting. Bunyi barang berselerakan dan bunyi seperti barang-barang yang dibaling jelas kedengaran dari dalam bilik.

Saya meminta Pakcik Alias dan keluarganya supaya tidak mempedulikan apa yang berlaku dan teruskan dengan membaca al-Quran. Kerana sesungguhnya tiada apa yang boleh mengatasi Kalam Allah.

Pintu bilik kami kemudiannya diketuk bertalu-talu. Saya tidak mengendahkannya. Tetapi tidak bagi Pakcik Alias dan keluarganya. Mereka semakin risau dan resah. Setelah beberapa ketika, saya meminta Pakcik Alias untuk mengumandangkan azan.

“Cikgu, azan apa tengah malam macam ni? Subuh pun belum masuk.”

“Saya minta pakcik untuk azan bukan sebab waktu solat dah masuk atau belum pakcik tetapi sebagai ikhtiar untuk menghilang atau mengurangkan gangguan syaitan yang sedang mengganggu kita sekarang.”

“Owh..Baiklah cikgu. Cikgu, perlu ambil wuduk tak dulu?”

“Tak payah pakcik. Pakcik azanlah sekarang.”

“Azan biasa ke azan subuh cikgu.”

“Azan biasa pakcik.”

“Selepas azan kena iqamat juga ke cikgu.”

“Tak payah pakcik. Azan je.”

“Berapa kali nak kena azan ni?”

“Berulang kali.”

“Azan dalam Bahasa Arab ke Bahasa Malaysia.”

“Bahasa Arablah pakcik.”

“Cikgu…”

“Pakcik, pegi azan sekarang.”

“Mengadap kiblat ke atau mengadap kat mana cikgu?”

“Afdalnya ikut kiblat.”

“Cikgu..”

“Pakcik, pakcik turun kat tingkat bawah. Pergi azan kat luar rumah sekarang.”

“Hehehe..Takut cikgu. Saya azan sekarang ok cikgu.”

“Sekarang pakcik.”

“Baiklah cikgu.”

Selepas itu barulah Pakcik Alias berdiri dan ingin memulakan laungan azannya. Tetapi sebelum itu sempat lagi Pakcik Alias memandang saya sambil bertanya;

“Hantu syaitan tak ikut saya azankan cikgu? Lepas tu mereka tak ganggu sayakan cikgu.”

“Tak pakcik. Syaitan cuma ikut orang yang tak berani nak azan.”

Saya cuba untuk berdalih. Agar Pakcik Alias cepat-cepat untuk melaungkan azan. Tetapi dengan secara tiba-tiba, kedua-dua abang Mastura juga berdiri lalu melaungkan azan.

Saya sendiri tidak tahu kenapa. Mungkin mereka risau kerana tadi saya katakan bahawa syaitan cuma ikut orang yang tak berani nak azan.

 

 

LAUNGAN AZAN

Maka selepas itu bergemalah laungan azan dari mereka tiga beranak. Lucu juga keadaan pada masa tersebut. Apatah lagi laungan azan Pakcik Alias mengingatkan saya dengan azan yang pernah dilaungkan oleh Allahyarham P. Ramlee dalam cerita ‘Semerah Padi’.

Saya tidak tahu adakah saya perlu ketawa atau menangis ketika itu.

Agak lama juga mereka bertiga azan. Dalam 20 minit. Sehingga tempo azan mereka mula berubah-ubah. Cepat, perlahan, kuat dan sebagainya.

Asalkan azan itu diiringi oleh rahmat dan perlindungan dari Allah, itu sudah cukup walau bagaimana jua alunan temponya. Sumbang atau tidak.

Selepas itu saya minta mereka habiskan laungan azan terakhir mereka. Setelah selesai mengumandangkan azan, saya perhatikan Mastura memandang saya dengan jelingan yang tajam. Memandang dengan senyuman.

Wajahnya sangat menakutkan pada ketika itu.

Di bawah bibir Matura kelihatan darah-darah kering. Mungkin ketika mengamuk tadi Mastura sempat untuk mengigit bahagian bawah bibirnya sehingga berdarah.

Syaitan yang merasuk Mastura masih lagi memandang saya. Senyumannya sangat-sangat menakutkan. Syaitan itu lalu bertanya kepada saya;

“Siapa kamu? Berani-beraninya kamu mengganggu aku. Apa kamu tidak tahu. Di sekeliling dan di dalam rumah ini penuh dengan kawan-kawan aku. Cuma mereka tidak dapat untuk masuk ke bilik ini. Entah apa-apa yang kamu baca sehingga mereka lari kepanasan dan tidak berani untuk masuk ke sini.”

“Aku Malik. Cikgu sekolah rendah.”

“Hahaha..Apa itu. Aku tidak tahu.”

“Aku Malik. Hamba Allah seperti kamu. Apakah kamu tidak tahu bahawa kamu bertindak zalim kerana mengganggu saudara aku.”

“Aku tidak mengganggu dia bahkan dialah yang menganggu kawan-kawan aku.”

“Bagaimana boleh dia mengganggu kamu sedangkan dia tidak melihat kamu.”

“Tiada pada pandangan mata bukan bererti tidak ada. Kau juga tahu bukan.”

“Ya. Aku tahu. Itu mungkin kesilapan manusia. Tetapi kamu tidak berhak untuk menyiksa dia sebegini rupa.”

“Setiap kejahatan manusia akan kami balas dengan kejahatan. Malah manusia sepatutnya mendapat penyiksaan lebih dari itu.”

“Apa saja kesalahan perempuan ini sehingga kamu menyiksanya.”

“Hahaha..Kamu tanya sendiri dengannya. Kenapa perlu untuk bertanya kepada aku.”

“Kan kamu yang merasuk dia dan memegang jiwanya. Bebaskanlah dia maka aku akan membebaskan kamu.”

“Hahaha..Betapa bodohnya kamu wahai manusia. Dengan pertukaran nyawa perempuan ini saja maka kami akan memaafkan kesalahannya.”

“Nyawa sesiapapun itu adalah milik mutlak Allah. Bukannya kamu.”

“Semudah itu kamu berkata-kata wahai manusia. Sedangkan akibat dari perbuatan perempuan ini maka kawan-kawan aku menjadi mangsa.”

“Apa yang dia lakukan kepada kawanmu?”

“Ketika siang hampir bertukar malam. Ketika senja menjelma. Maka ketika itulah kami akan keluar dari setiap pelosok ruang-ruang untuk bersuka ria, berpesta dan juga mengganggu manusia. Tetapi perempuan ini mengganggu ketenangan kawan aku.”

“Dengan cara bagaimana?”

 

Kerang Berwarna Hitam Berbelang Kuning

“Begini. Ketika kawan-kawan aku yang tinggal di tepi pantai sedang merayau-rayau di sebalik senja dan memerhatikan gelagat manusia, tiba-tiba perempuan ini datang lalu duduk di tepi pantai. Dia melihat sebuah kulit kerang yang besar berwarna hitam dan berbelang kuning. Mungkin dia tidak pernah melihat bentuk kerang yang cantik seperti itu. Lalu dia mengambilnya dan dibawa pulang ke rumah.”

“Pada ketika itu aku dan kawan-kawan aku yang lain berada di rumah kami di tengah lautan. Tetapi untuk sampai ke tepi pantai itu cuma memerlukan beberapa saat saja untuk sampai. Selepas itu kawan aku yang tinggal di pantai tadi datang kepadaku dan meminta aku untuk membalas dendam serta menuntut bela.“

“Kemudian pada ketika itulah kami mengikutinya pulang ke rumah dan mengganggu jiwa dan perasaannya. Tugas kami semakin senang apabila dia tidak sembahyang. Maka mudah untuk kami terus-menerus menyiksanya. Kalau diikutkan kami akan membawanya ke tengah laut. Agar dia mati lemas. Juga mayatnya tidak akan pernah lagi timbul ke permukaan melainkan akan hilang selama-lamanya.”

“Begitu juga apa yang kami lakukan kepada beberapa orang yang selalu membuat onar di sini. Sebab itulah secara tradisinya mengapa di pantai ini saban tahun ada yang mati lemas. Ini kerana perbuatan kami. Kerana kami menegakkan hak kami.”

“Maksud kamu?”

“Ada yang hilang dan mati di sini kerana pembalasan dari kami. Sedangkan bukan mereka yang melakukannya. Maksud aku apabila ada manusia yang datang ke sini. Membuat bising, berteriak, mengganggu ketenangan kami, juga mengambil bukan dari hak mereka, maka kami akan membalas dendam. Sekiranya kami tidak dapat mencari orang yang membuat kejahatan itu, maka kami akan mencari mangsa yang ada di sekitar situ untuk diambil nyawanya dengan cara hilang atau lemas di laut.”

“Aku tidak percaya kerana kamu ini pembohong?”

“Kalau aku pembohong lalu kenapa kamu bertanya juga kepadaku? Di sinilah kebodohan kamu. Hahaha..”

“Jadi kesalahan perempuan ini cumalah mengambil kerang tadi dan dibawa ke rumah? Lalu kamu menyiksanya dan menuntut nyawa daripadanya?”

“Ya. Begitulah. Kerana kami berhak untuk menuntut kembali hak-hak dan kepunyaan kami.”

“Menuntut hak itu boleh tetapi kenapa perlu bertindak lebih teruk daripada itu? Apa tidak ada belas dalam diri kamu?”

“Hahaha..Syaitan tidak akan ada rasa belas kepada manusia melainkan kemusnahan, kehancuran dan kematian semata-mata.”

“Tetapi perempuan ini cuma mengambil kerang yang ada di sini. Sesiapapun tidak akan tahu yang itu adalah rumah dari golongan jin.”

“Sebab itulah kami menandanya supaya manusia tahu bahawa setiap sesuatu itu mungkin ada penunggu dan penghuni.”

“Tanda yang bagaimana? Itu kerang biasa-biasa sahaja.”

“Betul tetapi tidak pernah ada kerang yang berwarna hitam dan berbelang kuningkan? Aku yakin kamu juga tidak pernah melihatnya. Sebenarnya itulah tanda-tanda yang golongan kami beri kepada golongan manusia sebagai tanda. Agar jangan diambil sesuatu itu sembarangan. Cuma manusia sahaja bodoh kerana mengambil sahaja sesuatu yang kelihatan pelik dan aneh. Sedangkan itulah petanda dari kami bahawa benda-benda pelik seperti itu jangan diganggu kerana pasti akan ada penunggunya.”

“Baiklah aku sudah faham.”

“Jadi sekarang apa mahumu?”

“Lepaskan perempuan ini dan jangan mengganggunya lagi. Begitu juga dengan sesiapa sahaja yang ada di sana atau sesiapa sahaja manusia yang kamu lihat.”

“Aku boleh beri jaminan yang aku akan lepaskan perempuan ini. Tetapi aku tidak dapat memberi jaminan bahawa aku tidak akan mengganggu manusia yang lain.”

“Kenapa begitu?”

"Apakah kamu dapat memberi jaminan bahawa manusia yang datang ke sini tidak akan mengganggu kami? Tidak akan mengganggu keamanan kami? Tidak akan mengambil sembarangan hak-hak kami?”

“Ya. Aku tidak dapat memberi jaminan tentang hal itu.”

“Hahaha..Oleh sebab itu jangan cuba-cuba untuk menghalang kami dari mengganggu mereka sekiranya mereka mengganggu kami. Ingat itu.”

“Tetapi sekiranya mereka meminta pertolongan kami kerana diganggu oleh kamu maka kami tidak akan dapat berdiam diri. Kami akan menolong mereka Lillahi Ta’ala.”

“Kalau begitu suatu hari nanti kita akan berjumpa lagi. Kerana manusia tidak akan berpegang pada janji. Sudah pasti akan ada juga manusia yang membuat onar nanti. Tunggulah dan maka ketika itulah kita akan bersua kembali.”

“Itu urusan kamu dengan Allah. Bukan urusan kamu dengan aku.”

“Hahaha..Ya itu urusan aku dengan manusia-manusia yang bodoh.”

“Keluarlah kamu. Semoga laknat Allah sentiasa bersama-sama kamu.”

“Bagitau perempuan ini. Kembalikan kerang besar itu ke laut. Kalau tidak aku akan datang lagi untuk menuntutnya. Dan jangan lupa khabarkan juga kepada manusia. Kami sentiasa menunggu masa untuk merasuk mereka. Kerana puluhan ribu dari kami sedang memerhati apa sahaja yang berlaku tanpa ada yang terlepas dari pandangan kami.”

Lalu saya membaca sebuah lafaz yang pernah diucapkan oleh Rasulullah ketika merawat pesakit;

“Ukhruj ya ‘aduwallah. Al ‘anuka bilaknatillah.” (Keluarlah wahai musuh Allah. Aku laknat engkau (syaitan) dengan laknat Allah)

Dari riwayat Mathar Bin Abdurahman Al A’naq yang mengisahkan tentang seroang anak perempuan gila yang dibawa ke hadapan Rasulullah SAW dengan keadaan diikat.

Kemudian setelah wanita itu dilepas ikatannya dan duduk membelakangi Rasulullah SAW sesuai perintahnya, beliau memegangi keempat ujung bajunya dari atas ke bawah dan memukul punggungnya hingga terlihat ketiak beliau putih sambil bersabda “Keluarlah engkau wahai musuh Allah! Keluarlah engkau wahai musuh Allah! Setelah itu Rasulullah mendoakan dan mengusap wajahnya dan wanita itu sembuh.

(Al Haitsami, dalam Majma’uz Zawa’id: 9/3, berkata bahwa Hadis ini diriwayatkan imam Thabrani)

Riwayat lain adalah dari Yalla bin Murah RA, ketika melakukan safar bersama. Rasulullah beliau melihat seorang ibu yang sedang duduk bersama anak bayinya. Perempuan itu memohon kepada Rasulullah untuk mengubati penyakit anaknya yang sering berulang dan Rasul bersabda; “Berikanlah anak itu kepadaku”, kemudian perempuan itu meletakan anak itu dan Rasulullah SAW membuka mulut anak itu, lalu meniup ke dalamnya sebanyak tiga kali dan mengucapkan “Bismillah, aku adalah hamba Allah, pergilah engkau wahai musuh Allah!”

“Kemudian Rasulullah SAW menyerahkan kembali bayi itu kepada ibunya sambil berkata; “Temuilah kami disini ketika kami kembali nanti dan beritahukan apa yang terjadi dengan anak ini”. Sekembalinya dari perjalanan, si ibu tadi berada di sana dengan tiga ekor kambing dan memberitahukan bahawa tidak ada gangguan lagi dan Rasul SAW mengambil seekor dari kambing tersebut.

Hadis ini tercatat dalam Majma’uz Zawwa’id (9/4) dan diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Thabrani.

Selepas itu saya membacakan Surah Kursi berkali-kali secara nyaring untuk memastikan jin tersebut telah keluar dari badan Mastura. Setelah beberapa ketika membaca Surah Kursi Mastura mula membuka matanya.

 

Sedar kembali

Mata Mastura berkelip berkali-kali lalu memandang ke arah sekeliling kami. Peluh dingin mula kelihatan pada dahinya. Pakcik Alias tersenyum memandang Mastura lalu bertanya;

“Mas, kamu sudah sedar nak?”

“Ayah, Mas kenapa ayah?”

“Kamu sakit. Tak sedarkan diri selepas balik dari Tanjung Batu tadi. Kemudian meracau-racau.”

Saya memandang wajah Mastura. Perasaan kasihan timbul di hati saya. Mastura terpaksa mengalami dugaan seperti ini disebabkan perkara yang dia sendiri tidak tahu. Lalu saya bertanya kepadanya;

“Mas, apa yang sebenarnya berlaku kepada kamu petang tadi.”

Mastura mengerut dahinya. Dia cuba untuk mengingat kembali apa yang berlaku pada dirinya.

“Petang tadi Mas pergi ke pantai Tanjung Batu. Duduk-duduk sambil menghadap pantai. Lepas tu Mas berkhayal. Tiba-tiba Mas terdengar suara manusia memanggil-memanggil nama Mas. Yang peliknya Mas sempat melihat sekeliling tetapi tidak adapun orang yang memanggil Mas. Lepas tu Mas terkejut sebab tiba-tiba ada sebuah kerang besar yang sangat cantik. Betul-betul di sebelah tempat Mas duduk. Sedangkan sebelum itu memang tiada apa-apa pun di situ kecuali pasir laut je.”

“Kerang tu berwarna hitam dan berbelang kuning. Mas tak pernah melihat kerang secantik itu. Lalu Mas ambil dan bawa balik untuk dijadikan perhiasan bilik. Semasa dalam perjalanan balik Mas mula rasakan seperti ada orang yang mengikuti Mas dan kedengaran suara meminta Mas pulangkan balik kerang tersebut. Mas ingatkan itu cuma khayalan Mas sahaja. Jadi Mas tak peduli apa yang berlaku.”

“Sehinggalah Mas ternampak sesuatu makhluk yang buruk dan hodoh terbang mengikuti kami balik ke rumah. Wajahnya menyeramkan. Seperti wajah ikan. Terutama mata dan mulutnya. Badannya kehitaman serta rambutnya panjang dan berbau hanyir. Mas cuba untuk menjerit tetapi Mas tak dapat. Bunyi suara mengugut untuk membunuh Mas terngiang-ngiang di telinga. Hinggalah Mas tidak dapat menahan ketakutan dan akhirnya Mas tak sedar apa yang berlaku.”

“Baiklah Mas. Mana kerang tu?”

“Ada di dalam almari.”

Saya kemudiannya meminta Pakcik Alias untuk mengambil kerang tersebut di dalam almari. Ketika Pakcik Alias membuka almari tersebut tiba-tiba melimpah keluar pasir-pasir laut yang entah datang dari mana. Sehingga kami merasa terkejut dengan apa yang berlaku.

“Biarkan pakcik. Lepas ni bolehlah makcik dan abang-abang Mas sapu kesemua pasir-pasir tu. Insya-Allah tidak akan ada apa-apa yang berlaku. Itu semua kuasa Allah. Mungkin Allah nak tunjuk bahawa sesuatu yang berlaku yang bertentangan dengan logik akal boleh berlaku dengan izin Allah.”

Pakcik Alias cuma mengangguk. Begitu juga dengan isteri dan kedua orang abang Mastura. Selepas itu saya meminta izin dengan Pakcik Alias untuk balik ke rumah. Saya perhatikan jam saya tepat menunjukkan pada pukul 3.30 pagi.

“Pakcik, kalau tiada apa-apa saya nak balik dulu. Kerang ni saya ambil dulu dan petang nanti saya akan kembalikannya ke laut Tanjung Batu.”

“Cikgu tak nak minum dulu ke?”

“Tak payahlah pakcik. Dah akhir sangat ni. Esok saya nak ke sekolah. Nanti pakcik jangan lupa untuk sapu pasir-pasir tadi. Insya-Allah tak ada apa-apa tu pakcik.”

“Baiklah cikgu.”

“Mas, lepas ni hati-hati ok. Jaga solat dan banyakkan baca al-Quran. Kerana cuma itu sahaja banteng diri kamu.”

“Baik cikgu.”

Selepas itu Pakcik Alias dan isterinya menemani saya turun ke bawah. Saya perhatikan susun atur rumah mereka tetap seperti biasa.

Sedangkan ketika sedang merawat Mastura tadi bunyi di luar, di atas atap dan di tingkat bawah rumah mereka seperti diserang garuda bunyinya.

Tetapi itu semua kekuasaan Allah. Mungkin Allah ingin menunjukkan bahawa alam ini juga didiami oleh makhluk-makhluk yang tidak dapat dilihat oleh mata.

Juga boleh mengganggu dan menyerang manusia. Itu pun dengan kehendak Allah.

Selepas memberi salam saya terus balik ke rumah. Saya cuma sempat melelapkan mata lebih kurang setengah jam sahaja. Selepas masuk azan subuh saya terus mandi, solat subuh dan terus berangkat ke sekolah seperti biasa.

Pada tengah hari tersebut, selepas balik dari sekolah saya terus pergi ke Pantai Tanjung Batu. Ketika itu panas terik sedikit memeningkan kepala saya.

Peluh juga berjujuran di tepi dahi saya. Saya perhatikan keadaan sekeliling. Cuma ada seorang dua sahaja yang berada di sekitar situ.

Setelah sampai di tepi laut, saya keluarkan kerang tadi dari beg sandang saya. Saya perhatikan kerang itu dengan teliti. Memang cantik warna dan bentuknya. Memang saya tidak pernah melihat kerang seperti itu.

Kerang itu akhirnya saya letak di atas pasir laut. Air laut yang sedikit bergelora mula bergerak ke pantai. Saya perhatikan dengan tekun. Warna kerang itu sungguh indah apabila terkena air laut dan cahaya matahari.

Patutlah Mastura juga tertarik apabila melihat kerang tersebut lalu membawanya ke rumah. Saya menunggu juga bagaimana reaksi kerang itu nanti. Lebih kurang sepuluh minit masih tidak ada apa-apa yang berlaku.

Sehinggalah kerang tersebut tiba-tiba bergerak dengan sendirinya. Tiba-tiba saya terkejut apabila melihat seekor ketam yang menyerupai bentuk seperti tangan manusia berwarna hitam dan berkilat serta bersisik menggenggam dan menarik kerang tersebut masuk ke dalam pasir.

Saya terpaku seketika dan sempat terfikir adakah itu benar-kenar seekor ketam atau tangan manusia.

Saya cuma mampu beristighfar ketika itu. Kemudian tanpa membuang masa saya menjerit dan berlari sekuat-kuatnya menuju ke arah kereta sambil membaca Surah Kursi. Saya sendiri tidak tahu apa betul atau tidak bacaan saya itu.

Hampir seminggu juga saya tidak dapat tidur. Bukan kerana diganggu oleh jin penunggu Pantai Tanjung Batu tersebut. Tetapi saya masih lagi terkejut dengan apa yang saya lalui. Sedangkan pada ketika itu matahari masih terik di kepala. Jam juga baru menunjukkan pukul 2 petang.

Alhamdulillah. Saya rasa sangat bersyukur kerana diberi pengalaman misteri seperti ini. Jangan tanya saya itu ketam atau tangan.

Kalau tangan, tangan siapa. Kerana saya tidak sempat untuk bertanya dengan pemilik tangan tersebut yang dia itu siapa.

Semoga kisah dari secebis pengalaman ini menjadi pengajaran kepada kita untuk lebih berhati-hati. Kerana kita berkongsi alam yang sama. Kata-kata di dalam mimpi saya itu masih lagi saya ingat sehingga kini.

“Baliklah sekarang. Mereka sudah dekat. Nanti aku akan hantarkan tanda kepadamu yang aku juga makhluk seperti kamu.”

Semoga kawan-kawan saya pula yang mengalami pengalaman seperti ini. Kerana mereka lebih berani dari saya. Kalau untuk saya. Cukup-cukuplah. Kerana saya seorang yang penakut.

Kung Pow penakut

 

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami