Selesai UPSR… PT3, SPM, STPM bakal menyusul. Inilah perjalanan yang perlu dilalui sebelum melangkah ke universiti. Tiada jalan singkat untuk berjaya, namun jika anda berusaha gigih, anda mampu lakukannya…

Lagi beberapa hari, pelajar PT3 akan menduduki peperiksaan. Setelah tiga tahun di sekolah menengah, mereka akan diuji. Apa yang diperoleh, itulah yang menentukan aliran mana yang akan disambung selepas itu.

Selesai peperiksaan PT3, peperiksaan SPM pula menyusul. Inilah penentu kepada masa depan. Jalan mana yang akan dipilih, bergantung kepada keputusan yang akan diperoleh selepas itu.

Dalam masa sama, peperiksaan STPM pula bermula. Bagi mereka yang menduduki peperiksaan STPM, inilah peluang kedua yang mereka miliki untuk memasuki IPTA yang mereka impikan.

Ikuti perkongsian Guru Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam, merangkap Guru Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran ini.

Setiap peperiksaan ini ada matlamatnya. Sepatutnya, para pelajar telah tahu untuk apa mereka berada di dalam dewan peperiksaan.

Setelah melalui satu perjalanan yang panjang, anda akan menamatkannya tidak lama lagi. Cuba ingat kembali perit jerih yang telah dilalui selama beberapa tahun ini.

Tidakkah anda sedar bahawa segala kesusahan dan cabaran telah berjaya dihadapi. Kini hanya beberapa hari lagi, perjuangan sebenar bakal bermula.

Satu sahaja pesan saya, jangan pernah mengalah. Jangan pernah berhenti saat anda rasa letih dan tertekan dengannya.

Ingat, itu hanyalah perasaan dan bisikan yang hanya mahu melemahkan anda.

Apa yang patut anda lakukan adalah:

1. Fokus pada peperiksaan yang bakal bermula. Abaikan perkara remeh-temeh yang hanya mengganggu tumpuan untuk ulangkaji pelajaran.

2. Selalu fikir tentang kejayaan yang bakal anda miliki sekiranya anda konsisten dengan usaha.

3. Selalu fikir tentang pengorbanan yang telah diberikan oleh ibu ayah serta guru-guru anda. Bayangkan kegagalan yang bakal diperoleh. Bagaimanakah perasaan ibu ayah yang telah banyak berkorban.

4. Banyakkan berdoa kepada-Nya agar anda diberikan kekuatan hati dan dipermudahkan urusan sepanjang peperiksaan.

“Selamat berjuang pelajarku… Tiada kejayaan tanpa usaha. Tiada usaha tanpa kekuatan hati. Tiada kekuatan hati tanpa kepercayaan. Tiada kepercayaan tanpa impian,”- Razali Saaran

Artikel Menarik:

Cikgu SK Ulu Lemanak redah laluan balak 150km selamatkan murid dari jerebu teruk di Lubok Antu

10 Persediaan menjelang peperiksaan - Cikgu Razali kongsi rahsia

Sudah bersedia menghadapi SPM? Guru cemerlang ini kongsi rahsia lulus mudah subjek Matematik

Mahu murid menjadi lebih kreatif...ini ada 17 tip untuk guru-guru jadikan panduan