ALOR SETAR - Allahyarham Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim sering mengingatkan kepada pelajar-pelajarnya semasa mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, dekat sini agar melazimkan diri dalam keadaan wuduk kerana setiap manusia tidak tahu bila ajal akan menjemputnya.

Bekas pelajarnya, Faisal Mustaffa berkata itu antara perkara yang dibualkan dan dikongsi oleh bekas pelajar SMKA Kedah  di dalam aplikasi kumpulan Whatapss alumni sekolah mereka mengenai peribadi bekas guru itu.  

Menurutnya, beliau masih mengingati nasihat-nasihat itu dan jelas pesanan Imam Al Ghazali bahawa cara hidup menentukan bagaimana cara seseorang itu mati dan cara mati pula menentukan bagaimana dirinya dibangkitkan di padang mahsyar kelak.

"Saya bukanlah orang yang rapat dengan beliau (Allahyarham Ustaz Ku Yaacob), tetapi pesanan dan amalan beliau amat berbekas dihati kami anak-anak murid beliau.

"Matinya dalam keadaan berwuduk seperti pesanannya. Allahyarham menghadapi sakaratul maut dalam keadaan berwuduk dan usai memuji Allah, berselawat dan sedang memberi pesan berkaitan taqwa di atas mimbar.

"Allahu Akhbar, ia merupakan saat sakaratulmaut yang sangat indah dan dicemburui oleh orang-orang beriman," katanya yang menulis di Facebook rasminya hari ini.

Artikel berkaitan:

'Bertakwalah kepada ALLAH' - Antara ayat terakhir Allahyarham Ustaz Ku Yaacob

Faisal yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Ceo) Lembaga Zakat Negeri Kedah berkata, orang yang pertama mendapat kebaikan daripada sesuatu kebaikan yang dilakukan adalah orang yang melalukan kebaikan itu sendiri kerana tangan yang menghulurkan bunga mawar pasti berbau harum.

Tambahnya, selain amalan berwuduk, terdapat empat lagi amalan yang sering dipesan oleh Allahyarham semasa beliau belajar di SMKA Kedah pada tahun 1999 sehingga 2003.

"Amalan-amalan itu adalah jangan tinggalkan Al Mathurat,  jangan tinggalkan membaca ayat Kursi, sentiasa membaca doa 'Allahumma Ajirni Minannar' dan sentiasa memberi salam," katanya lagi.

Faisal berkata, antara memori indah beliau bersama Allahyarham apabila sama-sama menginap di bilik besar asrama SMK Segambut Jaya di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.

"Pada petang tersebut, sebaik masuk ke dalam bilik kelihatan Allahyarham sedang meniarap sambil mentadabbur al-Quran. Beliau sebenarnya keletihan selepas melalui perjalanan jauh dari Kedah bersama kami.

"Inilah kali pertama saya melihat orang mentadabbur al-Quran sambil meniarap di atas katil dan bantal dan peristiwa ini melekat sehingga hari ini.

"Setiap kali melewati ayat surah Ali Imran yang mencerita tentang orang yang berzikir ketika berdiri, duduk dan berbaring untuk mengingati Allah, saya akan teringat kepada beliau yang mentadabbur al-Quran dalam keadaan meniarap disebabkan keletihan," katanya lagi.

Semalam, Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim, 68, meninggal dunia ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Masjid Al-Bukhary di Jalan Langgar dan kejadian itu telah dirakamkan oleh beberapa jemaah.

Video Kejadian tersebut turut tular di luar negara dan ditonton lebih 400,000, dikongsi hampir 8,000 dan lebih 7,000 memberi reaksi kepada kejadian tersebut di laman Facebook sebuah akhbar di Palestin hari ini.

Artikel lain:

Ketupat Mak Tok - Sama-sama kita saksikan bingkisan istimewa daripada Dr. Maszlee

Bekas guru ini kongsi kisah hidup pernah dipenjara 17 tahun di Thailand

80 mangsa banjir ditempatkan di SK Changkat Jong

Kematian yang menghidupkan, hidupnya hanya dicurahkan untuk ilmu dan anak yatim

Pelajar tahfiz baca 30 juzuk semarakkan World #QuranHour