Bekas pelajar SMK Clifford, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah menyambut hari jadi yang ke-40, hari ini disamping keluarga, sanak saudara, teman dan peminat tersayang.

Bersempena dengan hari lahirnya itu, Siti Nurhaliza yang juga penyanyi tersohor negara berdoa semoga dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan kerjaya dan beribadah kepada Yang Maha Esa.

Isteri kepada ahli perniagaan berjaya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang kini dikurniakan seorang puteri comel, Siti Aafiyah Khalid, merupakan salah seorang artis Malaysia yang terkaya, paling berpengaruh, menerima paling banyak anugerah dan menghasilkan paling banyak single.

 

***

 

Siti Nurhaliza dilahirkan di Berek Polis Kampung Awah, Temerloh, Pahang, Malaysia.

Beliau dilahirkan pada 11 Januari 1979 dan merupakan anak kepada pasangan Tarudin Ismail (arwah), seorang polis manakala ibu Siti Salmah Bachik, seorang suri rumah.

Siti Nurhaliza bersekolah di Sekolah Tabika Perkep, Balai Polis Kampung Awah, Temerloh.

Ketika di darjah 1 - 6, artis ternama ini bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Clifford.

Masa di tingkatan 1 - 5, penyanyi tersohor itu melanjutkan pembelajaran ke SMK Clifford, Kuala Lipis, Pahang.

Mengenai kerjayanya, Ratu Pop Malaysia ini telah menerima pelbagai anugerah, antaranya 300 anugerah tempatan dan antarabangsa dan membuat persembahan dalam lebih 50 konsert sepanjang penglibatan beliau selama 23 tahun dalam industri muzik.

Namanya juga tertulis dalam Malaysia Book Of Records sebagai Artis Malaysia Pertama Mengadakan Konsert Solo di Royal Albert Hall, London dan rekod Anugerah Terbanyak Dimenangi Seorang Penghibur (Most Awards Won Artist).

Seterusnya beliau telah dipilih di kalangan artis Malaysia untuk mengadakan persembahan semasa majlis penutup Sukan Komanwel 1998 di hadapan Ratu Elizabeth II dan konsort beliau, Putera Philip, Duke Edinburgh dan dikalangan ahli delegasi dan pegawai daripada 70 negara-negara termasuk mereka yang daripada Negara-negara Komanwel. Sehingga kini, saat itu sangat manis dikenang!

Akan datang, Ikon muzik itu akan mengadakan persembahan di empat negara - Indonesia (21 Feb), Singapura (2 Mac), Malaysia (16 Mac) dan England (22 April).

Penyanyi sensasi itu akan membuat persembahan di Royal Albert Hall yang ternama di London pada  22 April nanti, yang merupakan persembahan kedua beliau di venue yang tersohor itu.

Akhir sekali, kami, warga GPSBestari mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Siti Nurhaliza. Semoga dalam keadaan sihat sentiasa, panjang umur dan dipermudahkan segala urusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Persoalan sudah terjawab, bekas pelajar SMK Clifford ini selamat melahirkan anak pagi ini

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar lelaki MRSM Pasir Salak ini miliki suara mirip Datuk Siti.. hingga ramai keliru

ARTIKEL BERKAITAN: 'Comelnya Cikgu Iznan ni selepas mendapat ucapan dari Tok Ti'