Tatkala rakan seusia biasanya baru selesai mahupun sedang dalam pengajian ijazah sarjana muda, skrip kecemerlangan Dr Naja Nadiera Omar pula berbeza, apabila berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 23 tahun.

Beliau juga pemegang PhD termuda sempena majlis Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.

Minat mendalam membuat kajian, mendorong Naja menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD dalam bidang pengkhususan Biofizik.

"Saya tak ambil sarjana. USM ada program fast-track di mana mahasiswa dapat keputusan kelas pertama boleh terus sambung PhD. Ketika di semester akhir ijazah, pihak Rancangan Fizik Perubatan USM ada panggil saya menerangkan mengenai program ini dan beri sokongan untuk saya mengikutinya.

"Masa tu juga saya diberitahu dicalonkan penuntut terbaik Fizik Perubatan bagi mendapat Gold Medal Award USM. Dari situ, rasa semangat ambil peluang ini," terangnya.

Bersama ibu tersayang.

Anak kedua daripada empat beradik ini juga menganggap, ia rezeki daripada ALLAH ditetapkan dalam hidupnya.

Awalnya, Naja hanya berhasrat menamatkan pengajian Graduate on Time (GOT). Tidak terfikir mampu menggenggam PhD pada usia semuda ini.

"Saya rasa semua yang buat PhD ada sasaran sama. Alhamdulillah, dapat juga GOT. Pencapaian tu lebih bermakna bagi saya.

"Sebenarnya, habiskan PhD di usia muda lebih senang sebab saya tiada komitmen lain. Syukur pencapaian ini, walau saya tak 'apply' untuk jadi 'record holder MBOR' pun," katanya.

Bersama suami, Abdul Maziz.

Terpaksa beli alat sendiri

Cabaran makin besar untuk ke peringkat pencapaian akademik tertinggi, Dr Naja tidak menafikannya apabila sebelum dan pada permulaan fasa PhD tidak mendapat biasiswa.

"Contohnya MyBrain tidak menaja penuntut program fast-track, pengambilan penuntut untuk biasiswa USM belum dibuka, malah saya juga tiada geran.

"Cabaran ketika PhD pula peralatan kajian tak cukup, sebab kajian saya ini boleh dikatakan agak baru di Fizik USM. Walaupun banyak dugaan, saya ingat.. saya bawa harapan ibu abah dan pensyarah yang dah banyak membantu. Lagipun fikir, ini jalan ALLAH untuk saya buat terbaik," katanya.

Terpaksa berdepan kesukaran apabila sesetengah peralatan kajiannya perlu dikongsi dengan penuntut lain, bagi mengatasinya Naja mengorbankan masa malam dan cutinya untuk menjalankan kajian supaya tetap GOT.

Apabila sesetengah peralatan lain pula tidak diperoleh, Naja mencari inisiatif lain, misalnya di syarikat atau institusi yang mempunyai peralatan tersebut, membeli dan setup peralatan sendiri.

"Jadi bagi saya, perjalanan PhD sukar kalau nak dibandingkan dengan ijazah. Waktu ijazah, kebanyakan nota, latihan, pemahaman semua tanggungjawab pensyarah.

"Tapi waktu PhD, saya kena lebih agresif. Kalau semua nak tunggu saja.. tunggu nak guna peralatan dan lain-lain, memang tak boleh GOT lah," katanya.

Apapun baginya takrifan kecemerlangan akademik itu berbeza mengikut individu, malah Naja mengakui bukanlah seorang pelajar straight-A’s waktu zaman persekolahannya.

Tekun ketika dalam kelas.

Baginya, untuk berjaya dalam PhD, pandai dan bijak tidak menjamin apa-apa.

"Yang penting rajin, sabar contohnya kalau kajian selama sebulan tiba-tiba 'failed' dan bijak uruskan masa serta menyelesaikan masalah.

"Impian saya hanya untuk 'enjoy' dengan apa saya buat. Saya tak 'aim' pun nak menjadi 'PhD holder', 'well-recognized' atau kerja besar gaji banyak. Tapi alhamdulillah bila dah viral, saya dapat banyak mesej daripada kawan-kawan, mahupun tidak dikenali terinspirasi dengan pencapaian saya.

"Seronok dapat 'contribute something' kepada orang lain," katanya.

Ceria bersama ibu dan bapa, Nur Zaida Jaafar dan Omar Othman serta adik beradiknya.

Selari minatnya, buat masa ini beliau bekerja di bahagian penyelidikan (R&D) syarikat keluarganya di Kulim dan masih menunggu jawapan permohonan jawatan pensyarah dengan beberapa universiti.

Niatnya ingin meneroka lagi bidang Fizik dan bercadang untuk mendalami kajian dalam bidang pengkhususan Biofizik.

“Bergelar graduan PhD pada usia muda tentunya menggembirakan dan anugerah itu satu bonus untuk saya melangkah lebih jauh dalam bidang ini. Namun, saya tidak mahu terlalu berpuas hati dengan pencapaian ini kerana sedar ia tidak akan ke mana jika tidak berani keluar daripada zon selesa.

“Kalau boleh, saya ingin rebut apa jua peluang ditawarkan khasnya berkaitan bidang dipelajari,” katanya yang sentiasa mendapat sokongan suami, Abdul Maziz Abdul Malik.

Sepanjang tempoh pengajiannya, beliau turut menyumbang penulisan dalam jurnal selain membentangkan hasil penyelidikannya dalam persidangan antarabangsa.

Dr Naja Nadiera antara 6,850 graduan terlibat dalam konvokesyen di USM bermula 28 Oktober sehingga 2 November lalu.

Profil

DR NAJA NADIERA OMAR

Umur: 24 tahun

Tarikh lahir: 22 November 1993

Tempat tinggal: Sungai Petani, Kedah

Pendidikan:

Jun 2014-Julai 2017: Pusat Pengajian Sains Fizik, USM

Bidang: Fabrikasi dan Perincian Bahan

September 2010-September 2013: Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian)

Bidang: Fizik Perubatan

CGPA: Kelas Pertama

Mei 2009 - April 2010: Kolej Matrikulasi Pulau Pinang

Bidang: Sains Fizik

CGPA: 4.00

2007-2008: SMK Ibrahim

Aliran: Sains

SPM: 10A, 1B