Drama 'Titian Cinta' di Slot Akasia TV3 baru-baru ini, mencipta fenomenanya tersendiri apabila siarannya mencecah rating 11 juta penonton sekali gus menaikkan nama pelakon utamanya, Farah Nabilah.

Biarpun memulakan kerjaya lakonannya sekitar 2011, Farah yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Hartamas terpaksa melupakan seketika karier seni demi melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi selama empat tahun.

Dia yang melalui zaman persekolah peringkat rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee, Jalan Duta ini hanya benar-benar aktif pada 2016 menerusi penampilannya dalam beberapa buah drama seperti 'Inikah Cinta', 'Papa Ricky', 'Tersuka Tanpa Sengaja Raya', 'Mati Tunggu Sekejap', 'Tumbangkan Masjid Al-Ansar', 'Imam Mudaku Romantis' dan lain-lain.

Seiring penglibatannya dalam bidang seni, sebuah komuniti peminat ditubuhkan sebagai tanda sokongan kepada pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini menerusi kelab peminat yang dikenali Fawaarriors.

Fawaarriors yang ditubuhkan Januari 2016, dilancarkan oleh Farah sekali gus memperkenalkan logo baru kelab peminatnya di Ruang, Subang Jaya baru-baru ini.

Penubuhan kelab peminat itu bertujuan beri peluang kepada peminat Farah untuk mengenalinya dengan lebih dekat menerusi pelbagai aktiviti dirancang pada 2018 dan seterusnya.

Setakat ini, Fawaarriors begitu aktif di laman media sosial seperti Twitter dan Instagram dengan pengikut mencecah 30,000 di mana peminat Farah boleh ikuti perkembangan aktiviti karier seni pelakon ini melalui laman media sosial berkenaan atas nama Fawaarriors, selain laman media sosial rasmi Farah sendiri.

“Awal penubuhannya dulu, Farah agak terkejut bila ada peminat yang sudi tubuhkan 'fan club' untuk Farah sebab waktu itu Farah masih terlalu baru dalam bidang seni.

“Tapi bila lihat kesungguhan mereka dengan sokongan yang tidak pernah putus dari dulu sehinggalah drama 'Titian Cinta' dapat sambutan hangat, Farah perlu memberikan kepada Fawaarriors ini.

“Segala urusan berkaitan kelab peminat diuruskan pengurus Farah dan insya-Allah Farah akan cuba melibatkan diri dengan sebaik mungkin dalam segala aktiviti diadakan nanti,” ujarnya.