Dua guru dari Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya membentangkan aplikasi mudah alih rekaan sendiri pada Persidangan Middle East International Conference on Contemporary Scientific Studies di Ankara, Turki hujung Mac lalu.

Cikgu Waslee Razalee dan Cikgu Sharifah Razhana Akarab yang membangunkan aplikasi mengajar penulisan dalam Bahasa Inggeris dinamakan "Go English Writing" itu telah membuat pembentangan secara maya berdasarkan kreativiti masing-masing.

Selain mereka, terdapat lebih 200 pembentangan lain yang kebanyakannya dari benua Eropah, Afrika dan Timur Tengah, juga turut serta dalam program anjuran Middle East Congress.

Cikgu Waslee (guru Bahasa Inggeris) dan Cikgu Sharifah Razhana (guru Sejarah) berkata, penglibatan mereka dalam persidangan maya itu memberi satu pengalaman cukup berharga.

"Banyak ilmu baru yang kami dapat menerusi pembentangan daripada peserta lain. Middle East International Conference on Contemporary Scientific Studies ini memang hebat," ujar mereka.

Penghasilan aplikasi mudah alih itu bertujuan membantu pelajar yang masih lemah dalam penulisan esei.

"Besar harapan kami agar inovasi ini mampu dijadikan sebagai bahan rujukan yang cepat, ringkas dan mudah digunakan oleh pelajar terutamanya apabila mereka perlu mengulang kaji topik penulisan esei," kata mereka.

Sementara itu, pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin memuji usaha guru-guru berkenaan kerana kesanggupan mereka meneroka kaedah baru dalam meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar di kolej tersebut.

"Saya berharap inovasi ini dapat diperkembangkan lagi agar ia mampu digunakan oleh guru-guru dari sekolah lain," katanya.

Bagi yang ingin menonton rakaman pembentang Persidangan Middle East International Conference on Contemporary Scientific Studies ini, anda boleh akses melalui pautan https://youtu.be/aXOKpgq77T4

Artikel menarik

6 tip sahur ini bantu kekal bertenaga sepanjang hari, guru dan pelajar boleh cuba nanti

Pertama kali UTeM tersenarai dalam penarafan THE Impact Ranking, ini nekad warga universiti itu