KUALA KANGSAR - Keputusan seorang guru sebuah Sekolah Rendah Agama Rakyat di Taiping berhenti kerja untuk melanjutkan pelajaran dalam syariah Islam ternyata berbaloi apabila beliau  menerima Anugerah Tuanku Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-12 di sini, kelmarin.

Amirah Mursyidah Zainalabidin, 24, berkata walaupun terlalu berat untuk mengambil keputusan itu pada 2017 lepas namun ternyata pengorbanan itu  tidak sia-sia apabila beliau menerima  anugerah itu daripada  Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata keputusan berkenaan dibuat selepas beliau menerima tawaran untuk melanjutkan Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan di USAS dengan pembiayaan segala kos pelajaran.

Amirah Mursyidah (tengah) bersama bapanya, Zainal Abidin Ramli dan ibunya Bohiyah Zakatiah pada Istiadat Konvokesyen Ke-12 Universiti Sultan Azlan Shah di Dewan Jubli Perak.
30 November lalu.

"Saya lebih yakin untuk mengambil keputusan itu dengan mengambil pandangan ibu saya Bohiyah Zakaria, 53, bahawa kita perlu mengorbankan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik dan mungkin hari ini ALLAH menunjukkan keputusan ini yang terbaik," katanya ketika ditemui pemberita pada istiadat yang diadakan di Dewan Jubli Perak di sini.

Amirah Mursyidah yang kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Tahfiz Ibni Sina Kamunting, Taiping dekat sini berkata beliau mempunyai minat mendalam untuk menjadi pengajar dan berharap berjaya menjadi seorang pensyarah pada suatu hari nanti. - Bernama