TANAH MERAH - Lima beradik di Kampung Salak di sini, hilang tempat bergantung selepas bapa mereka meninggal dunia seminggu lalu akibat penyakit lelah.

Lebih malang, apabila ibu mereka juga tidak mampu menguruskan mereka dan hanya mampu terbaring di atas tilam ekoran terlibat dalam kemalangan sejak setahun lalu yang mengakibatkan wanita itu lumpuh seluruh badan.

Anak sulung keluarga itu, Nafrah Qistina Razali, 12, murid Sekolah Kebangsaan Belimbing, kini terpaksa bergilir dengan adiknya menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menjaga ibunya, Rahimah Omar, 42, yang terlantar di atas katil.

Menurut Nafrah, dia akan bergilir menjaga ibunya dengan adik keduanya, Muhammad Habbi Al Muhaimin Razali, 10.

“Ada ketika saya tidak sekolah selama seminggu, lagi pun ibu perlukan perhatian khusus kerana tidak boleh makan dan minum seperti biasa dan hanya bergantung kepada susu khas sebagai penambah tenaga.

“Ibu juga perlu dipakaikan lampin pakai buang kerana dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri,”katanya kepada Sinar Harian.

Nafrah berkata, setakat ini keluarganya ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu bantuan untuk salah seorang adik dari adik kembarnya Nuaiqalisa Razali, 5 dan ibunya yang sakit.

“Namun perbelanjaan kami tidak mencukupi kerana rumah yang kami diami ini merupakan rumah yang disewa.

“Harga sewa rumah RM300 dan kami buntu memikirkannya kerana sumber pendapatan tetap keluarga tiada selepas ayah yang bekerja sebagai pemandu lori sebelum ini, meninggal dunia,” katanya.

Menurut Nafrah, kini dia hanya menggunakan wang JKM untuk menampung perbelanjaan makan dan minum mereka sekeluarga termasuk bayar sewa rumah, bekalan susu dan lampin pakai buang ibu mereka di samping untuk belanja dapur.

Terdahulu, Nafrah dan keluarga dikunjungi Mantan Setiausaha Dun Bukit Panau, Mohd Alias Yusof dan mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Mohd Rozimi Mohd Zain.

Alias berkata, pihaknya amat bersimpati terhadap nasib keluarga berkenaan dan akan berusaha mendapatkan bantuan susulan demi kelangsungan hidup keluarga itu.

Sebarang sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh disalurkan melalui nombor akaun bank Maybank Siti Rohani Omar di nombor akaun 162106952532.

Sumbangan boleh disalurkan melalui nombor akaun bank Maybank Siti Rohani Omar di nombor akaun 162106952532.