Sarawak akan mewujudkan sebuah pusat latihan atau sekolah vokasional khas bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri membuat keputusan tersebut selepas permohonan mereka kepada Kementerian Pelajaran tidak mendapat respon.

"Ia (sekolah vokasional OKU itu akan) dimiliki oleh kerajaan negeri. Jadi, sekolah ini berbeza sedikit, (dan buat masa ini) kita tengah bincang dari segi bentuknya (jenis kursus yang bakal ditawarkan)," katanya selepas menghadiri program penyampaian geran kepada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak, di sini, semalam.

Katanya, buat masa ini, jenis kursus dan latihan kemahiran kepada pelajar OKU di sekolah itu juga sedang dibincangkan dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk melihat kepada aspek OKU yang cacat penglihatan, cacat pendengaran, mempunyai masalah pembelajaran atau cacat fizikal.

Katanya, lokasi sekolah atau pusat latihan tersebut juga belum ditentukan dan pihaknya sedia menerima sebarang pandangan daripada golongan OKU mengenai lokasi yang sesuai, jenis kursus yang perlu dan jenis konsep yang harus diguna pakai.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk menyiapkan kertas kerja berkenaan konsep pusat latihan atau sekolah tersebut pada tahun ini.

"Selepas kertas konsep siap, kami akan mula menubuhkan sekolah tersebut iaitu sama ada membuat ia secara projek perintis dan kecil-kecilan dahulu dengan menyewa premis sebelum bangunan kekal siap dibina,” katanya. - BERNAMA