KOTA TINGGI - Setelah disiarkan Sinar Harian dan GPS Bestari.com semalam, isu tembok pagar Sekolah Menengah Agama (SMA) Kota Tinggi  yang roboh mendapat perhatian kerajaan negeri dan dijangka bakal selesai sebelum sesi persekolahan  bermula tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dalam kenyataan di laman sosial memaklumkan bahawa beliau telah hubungi Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) berkaitan isu tersebut.

“Mainj sedia peruntukan RM50,000 untuk kerja baik pulih kerosakan tembok pagar SMAKT.

“Insya-Allah kerja baik pulih ini akan selesai sebelum 29 Disember 2018,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMAKT merayu pihak berkenaan mengambil tindakan terhadap tembok pagar sekolah berkenaan yang roboh di mana sehingga kini tiada sebarang kerja baikpulih dilakukan.

Yang Dipertua PIBG, Mohd Faiz Ithnin berkata, hampir sebulan pagar berkenaan roboh, namun tiada pergerakan untuk membina tembok baharu sekali gus merunsingkan ibu bapa dan guru.

Dalam pada itu, Mohd Faiz merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Johor di atas peruntukan kecemasan yang telah diberikan kepada pihak sekolah melalui Mainj.

Katanya, kerja baik pulih telahpun dimulakan pihak kontraktor yang dilantik Mainj.

“Pihak kami berharap agar kerja baik pulih tersebut dapat disiapkan mengikut tarikh yang telah diberikan kepada pihak kontraktor tersebut.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha membantu pihak kami untuk menyelesaikan masalah ini.

“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar atas keprihatinan beliau untuk membantu kami serta pihak Mainj yang segera mengeluarkan bajet untuk baik pulih tersebut,” katanya.