LENGGONG - Dalam usaha membantu golongan asnaf sekitar Lenggong dan Gerik yang terjejas kehidupan akibat pandemik Covid-19, sebuah pertubuhan bukan kerajaan di sini, Malaysian Rugby Oldboys For Social Empowerment (Malrose), mengambil inisiatif menghantar bantuan berupa keperluan pendidikan dan asas kepada 30 sekolah sekitar kawasan berkenaan.

Pengerusi penaja Malrose, Mohd Azizan Zainal Abidin berkata, 12 sekolah di Lenggong dan 18 sekolah di Gerik terbabit dalam radar bantuan kebajikan mereka, yang dilaksanakan dalam misi dua hari bermula semalam.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengumpul dana lebih RM55,000 bagi menjayakan misi itu hasil sumbangan orang ramai dan syarikat swasta yang prihatin untuk membantu golongan berkenaan dan sekolah yang memerlukan.

”Antara bantuan yang diberikan adalah beras, keperluan dapur, pakaian seragam sekolah, computer, mesin pencetak, meja sekolah, kertas A4, alat pengimbas suhu, botol cecair sanitasi, pelitup muka, dan pakaian perlindungan peribadi (PPE),”  katanya ketika ditemui pada misi terbabit.

Menurutnya ini adalah misi kedua dilaksanakan alumni dan komuniti ragbi setelah kejayaan pada misi pertama penghantaran bantuan persekolahan pada 14 dan 15 Februari lalu di Lenggong dan Gerik.

“Gerik merupakan kawasan pedalaman dan ada sesetengah tempat tidak mendapat kemudahan dari segi liputan Internet dan ia sekali gus boleh mengganggu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian,” katanya.

Sementara itu Pengarah Program, Dr Helmee Effendee Mohd Shamsi berkata, misi itu disertai 35 anggota alumni ragbi dan kelab menggunakan 12 buah kenderaan termasuk pacuan empat roda untuk menghantar bantuan berikutan faktor geografi dan kawasan pedalaman.

Selain misi ini juga, beliau berkata pihaknya akan memberikan bantuan kepada seorang pelajar yang merupakan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menatap wajah arwah ayahnya buat kali terakhir sebelum menduduki peperiksaan Sejarah Kertas Dua pada 24 Februari lepas.

Pada 24 Februari lepas, satu video berdurasi 28 minit dimuat naik oleh seorang guru sekolah yang memaparkan Muhamad Haikal Iskandar, calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar menangis menatap jenazah bapanya yang tiba di pekarangan dewan peperiksaan sebelum menduduki SPM - BERNAMA

Artikel menarik

Unik, kreatif dan berinformasi! Galeri Sejarah SK Taman Pasir Putih tampil konsep ala muzium mini

Usaha murni cikgu Ismail bersihkan Sungai Balun dapat pengiktirafan UPSI