BUKIT MERTAJAM - Setelah tiga minggu tidak merasai suasana sesi persekolahan di sekolah disebakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang guru dan tiga anaknya mewujudkan suasana pembelajaran sekolah itu di rumah.

Selain mengenakan pakaian lengkap seragam sekolah, tiga anak Raja Haslina Raja Semail, 41, seorang guru di Sekolah Kebangsaan St Mark di Butterworth, turut mengikut jadual waktu belajar seperti di sekolah.

Raja Haslina berkata beliau mewujudkan suasana itu di kediamannya di Taman Saujana Permai agar anak-anaknya, Haris Aiman Yeoh Muhammad Yusof Yeoh, 16, Anis Salsabilla, 14, Aidil Amin, 13, dan Aira Sumayyah, 10, yang sudah rindu dengan sekolah seronok meneruskan pembelajaran di rumah.

"Anak-anak saya sudah mula rindukan sekolah kerana lebih dua minggu mereka tidak bersekolah. Jadi, tercetus idea untuk menjadikan rumah sama seperti berada di sekolah dan menjalani pembelajaran seperti biasa apabila mereka mengikuti subjek yang ditetapkan dalam jadual kelas masing-masing.

"Dua minggu pertama, mereka masuk kelas pakai pakaian biasa tapi sejak masuk fasa dua PKP, anak-anak mula pakai baju seragam sekolah sebab masing-masing asyik melihat dan bertanya bila boleh ke sekolah kerana rindukan suasana persekolahan. Saya benarkan mereka pakai supaya sesi pembelajaran lebih menarik serta menyeronokkan," katanya di sini hari ini.

Raja Haslina yang mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Sains berkata kelas bersama anak-anaknya bermula pada pukul 8.00 pagi dan mereka akan berhenti berehat sekitar pukul 10.00 pagi untuk makan sebelum menyambung sesi pembelajaran hingga pukul 12.00 tengah hari bermula Isnin hingga Jumaat.

Anak sulung Raja Haslina, Haris Aiman Yeoh berkata setelah hampir tiga minggu berada di rumah, dia mula merindui rakan-rakan dan guru malah idea ibunya yang meminta mereka berpakaian sekolah di rumah sangat mengujakan kerana sudah lama tidak ke sekolah.

"Rasa gembira kerana macam pergi sekolah betul walaupun dengan adik-beradik sahaja dan yang paling seronok ibu sendiri mengajar. Sekurang-kurangnya rindu hendak ke sekolah terubat," katanya.

Sementara itu, Raja Haslina berkata, selain menguruskan sesi pembelajaran anak-anaknya, beliau juga turut mengikuti perkembangan anak muridnya yang lain terutama bagi kelas Tahun Enam untuk sesi pembelajaran di rumah sepanjang tempoh PKP ini melalui aplikasi WhatsApp dan dalam talian.

"Tidak semua murid dapat dihubungi kerana ada yang tiada gajet dan jika ada sekalipun capaian internet tidak begitu baik, namun saya tetap melihat serta memberi tugasan untuk disiapkan kepada murid yang mempunyai capaian internet yang baik. Saya beri lebih fokus kepada mereka di Tahun Enam," katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

'Teach for Malaysia', Yayasan YTL sedia pengajaran dalam talian

'Internet pun kurang capaiannya... kami belajar guna Whatsapp je,' - luah guru pedalaman Sarawak

50 latihan peribahasa disediakan Guru Cemerlang SBP Integrasi Kubang Pasu

Guru Cemerlang kongsi kuiz subjek Sains untuk pelajar Tingkatan Tiga dan Lima jawab

Ustazah Zulfa sediakan 10 soalan mudah untuk calon UPSR jawab – Boleh rujuk buku teks