KUALA TERENGGANU - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, Abdul Bari Asyraf Mohd terus diberi penghormatan atas pengorbanan yang dilakukan bagi menyelamatkan individu lain hingga mengorbankan nyawanya sendiri.

Seramai lebih 500 orang menghadiri pengebumian hero penyelamat itu, selain keluarga terdekat dan penduduk kampung, semalam.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah, di sini, kira-kira jam 2.30 petang.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di masjid kampung berkenaan selepas solat Zuhur, diimamkan oleh ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Daripada orang biasa Abdul Bari menjadi terkenal selepas pemergiannya sehingga kematiannya menjadi idaman umat Islam.

Ini ucapan pemimpin dan pendakwah mengenai kematian wira penyelamat ini.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

"Dengan izin-Nya termasuk dalam kategori Syahid, insya-Allah. Almarhum adalah anak muda yang wajar dijadikan contoh dengan akhlaknya terpuji.

"Di sebalik musibah ini, ALLAH menyedarkan kepada kita bahawa Malaysia masih mempunyai ramai anak muda yang berjiwa besar. Kita mendoakan supaya lebih ramai yang mencontohi Almarhum."

Wan Sukairi Wan Abdullah

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu

"Almarhum melakukan sesuatu yang terpuji apabila mempertaruhkan nyawa nya untuk menyelamatkan bukan seorang, tetapi lima mangsa dalam kejadian itu.

"Saya sendiri akan usulkan dalam Mesyuarat Exco Rabu ini untuk diberikan anugerah khas atas kejayaan dan sifat terpuji yang patut dicontohi seluruh belia dan rakyat Terengganu."

PU Salman

"Sangat besar pahala orang yang menyelamatkan orang yang tenggelam. Seperti mana firman ALLAH SWT dalam Surah AlMaidah ayat 32, yang bermaksud, “Dan sesiapa yang menyebabkan seseorang hidup seolah-olah dia menghidupkan seluruh keturunannya.”