ALOR SETAR - 'Beliau seorang amat komited dalam melaksanakan tugas dan tidak pernah meninggikan suara apabila berbicara.'

Demikian kata Eksekutif Kanan Masjid Al Bukhary, Abdul Rahman Yaacob, 42, menceritakan kembali kejadian yang menimpa Khatib Masjid Al- Bukhary di Jalan Langgar di sini, Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim, 68, yang dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat pada 7 Jun  lalu.

Abdul Rahman, berkata, Allahyarham yang juga merupakan bekas guru SMKA Kedah tiba-tiba rebah dan kejadian itu dirakamkan oleh beberapa jemaah.

Katanya, Ku Yaacob sebelum itu sempat membaca beberapa baris ayat al-Quran sebelum rebah. “Selepas menyebut ‘bertakwalah kepada ALLAH’ dan beberapa baris ayat seterusnya semasa membaca khutbah, Allahyarham terus rebah,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Artikel berkaitan:

Bekas pelajar kongsi pesanan Allahyarham Ustaz Ku Yaacob semasa di SMKA Kedah

Ku Yaacob rebah tiba-tiba ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al-Bukhary.

Menurutnya, seorang jemaah masjid yang merupakan doktor kemudiannya membantu Allahyarham yang pengsan sebelum di-bawa dengan ambulans ke hospital.

“Bagaimanapun, Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi 1 Masjid Al-Bukhary disahkan telah meninggal dunia.

“Sesungguhnya, kematian Ustaz Ku Yaacob amat dicemburui kerana beliau seorang yang sangat baik,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Allahyarham juga amat komited dalam melaksanakan tugas dan tidak pernah meninggikan suara apabila berbicara.

Menurutnya, hati terasa tenang apabila berdampingan dengan arwah kerana tutur katanya yang lemah lembut, tersusun dan berbudi perketi.

"Allahyarham yang merupakan bekas guru agama di sebuah sekolah sering memberi tazkirah sebelum solat Zohor pada hari Isnin dan Sabtu, selain membaca khutbah Jumaat.

“Kami Ahli Jawatankuasa dan jemaah Masjid Al-Bukhary sering menjadikan beliau sebagai rujukan ilmu agama,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beliau bersama Allahyarham turut berbincang mengenai latihan protokol sebelum membaca khutbah apabila Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin menunaikan solat Jumaat di masjid itu sebelum Syawal lalu.

Menurutnya, Allahyarham dilihat amat tekun mempelajari protokol itu dan tidak menolak untuk melakukan bacaan khutbah tersebut.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak melihat Allahyarham menunjukkan sebarang tanda pelik semasa membuat latihan, sebaliknya Allahyarham nampak tenang.

Terdahulu, video yang menunjukkan seorang khatib tiba-tiba rebah ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al Bukhary menjadi tular di laman sosial Facebook.

Imam kedua masjid berkenaan bertindak menggantikan Ku Yaakob dan menyambung semula khutbah tersebut.

Difahamkan, Allahyarham Ku Yaacob pernah mengadu kepada AJK Masjid Al-Bukhary bahawa dia menghidap kencing manis dan dada terasa ketat sebelum ini.

Sementara itu, rata-rata netizen menyifatkan pemergian khatib di atas mimbar Jumaat itu merupakan kematian yang amat dicemburui.

Bagi pemilik akaun Facebook Ishak Hasni, khatib Masjid Al Bukhary disahkan kembali menghadap pencipta yang pastinya kematian yang dicemburui oleh penghuni-penghuni langit.

Malah, pelayar Nazerol Kamaruddin turut memberi pandangan bahawa kematian khatib menyampaikan khutbah di Masjid Al-Bukharyadalah kematian luar biasa.

Faizal Mustaffa berkongsi pandangan bahawa kematian itu menunjukkan Allahyarham berdakwah hingga akhir hayatnya.

Artikel lain:

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

'Semua anak murid sayang abah' - Anak Allahyarham Ustaz Ku Yaacob

Bekas pelajar kongsi pesanan Allahyarham Ustaz Ku Yaacob semasa di SMKA Kedah

Bagaikan sedang belajar di Istana Inggeris... kreativiti cikgu SMK Pakan ini luar biasa

'Nak naik kereta mana' - Cikgu ini sembunyi perasaan terkejut tengok kereta bekas pelajar

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan