SHAH ALAM - Demi memenuhi permintaan umum dan pendidik, khususnya guru-guru berintegrasi yang menjadi pembaca setia produk Kumpulan Media Karangkraf. Pada akhir 2016, Bestari Karangkraf ditubuhkan, dengan menerbitkan pelbagai jenis buku akademik, demi melahirkan bangsa yang rajin membaca, berilmu dan berpendidikan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, Bestari Karangkraf merupakan sebuah syarikat yang bernaung di bawah syarikat penerbitan terbesar di Malaysia iaitu Kumpulan Media Karangkraf.  

“Bestari Karangkraf menerbitkan pelbagai jenis buku daripada prasekolah, sekolah rendah, sekolah rendah agama, dan sekolah menengah kebangsaan.

“Siri buku pertama yang diterbitkan oleh Bestari Karangkraf adalah Kertas Model UPSR, Kertas Model PT3, Kertas Model SPM, buku-buku latihan topikal, buku rujukan, Kertas Model UPKK dan juga Kertas Model PSRA,”ujarnya kepada GPSBestari.

Menurut Firdaus, selain menerbitkan buku-buku latihan dan rujukan, Bestari Karangkraf turut terlibat dalam penerbitkan buku teks baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tambahnya, kejayaan cemerlang ini dicapai setelah Bestari Karangkraf dipertanggungjawabkan oleh KPM untuk menerbitkan dan mengedar buku teks Bahasa Arab Tingkatan Tiga bagi kegunaan pelajar di seluruh Malaysia.

“Sehingga kini, Bestari Karangkraf sudah menerbitkan lebih 300 buah judul buku di semua peringkat usia pendidikan.

“Antara judul buku yang menjadi pilihan utama pembaca adalah Koleksi Kertas Klon UPSR, My Yellow Book, dan Peta Minda Genius Sejarah Tingkatan 4 dan 5,”jelasnya.

Firdaus berkata, antara rahsia kejayaan ketiga-tiga buku ini adalah, setiap satunya disusun secara sistematik, mudah difahami, menarik, diolah berdasarkan sukatan pelajaran dan buku teks terkini, harga yang berpatutan serta ditulis oleh guru-guru cemerlang, dan berpengalaman.

Menyorot kembali permulaan Kumpulan Media Karangkraf sejak 41 tahun lalu, Firdaus berkata, empayarnya bermula dengan penerbitan buku pendidikan di bawah jenama Karya Bestari pada tahun 1978.

“Ketika itu, Karangkraf telah menerbitkan sebuah buku Kajian Sejarah Melayu untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun pada tahun 1980an, Karangkraf mula mengorak langkah dan beralih arah dengan menerbitkan beberapa judul majalah di pasaran.

“Kemudian, pada 25 tahun lepas, Karangkraf telah memperkukuhkan lagi penerbitannya dengan tertubuhnya Alaf 21, Buku Prima dan juga Karya Bestari yang menerbitkan buku-buku agama dan al-Quran,”katanya.

Menurut beliau, produk-produk Bestari Karangkraf boleh didapati secara online di Karangkrafmall.com atau belian secara langsung di kedai buku seluruh Malaysia. Malah, beliau juga berharap agar buku-buku akademik terbitan Bestari Karangkraf ini mendapat sokongan dan sambutan terutamanya daripada pendidik, ibu bapa dan juga pelajar.