MARAN - “Betul ke kalau dah masuk syurga boleh minta macam-macam,” itulah pertanyaan terakhir mangsa kemalangan maut, Muhammad Izzul Al Waiz Suhairy di KM33 Jalan Temerloh- Bandar Tun Abdul Razak, Jengka pada 17 Mei lalu.

Murid Darjah Dua Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) Al-Banna Bandar Pusat Jengka itu meninggal dunia di lokasi  kejadian selepas motosikal yang dibonceng dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Ibunya, Norhayati Kamarudin, 38, berkata arwah  yang juga anak kelima daripada enam beradik itu  bertanyakan soalan tersebut ketika awal Ramadan.

“Sekali sahaja dia bertanyakan  soalan itu dan selepas saya menjawab ‘boleh’  dia tidak bertanya lagi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Jengka 18 semalam.

Menurut Norhayati, selain soalan itu sehari sebelum  kejadian Muhammad  Izzul langsung tidak mahu bersalam dengan  nenek dan datuknya sedangkan itu adalah rutin yang dilakukan selama ini.

Norhayati yang sedang sarat mengandung dan dijangka  bersalin pada hari  raya ketiga mengakui reda  dengan kehilangan anaknya.

“Memang kami sedih dengan pemergian Muhammad Izzul tetapi reda dengan ujian yang diberikan ini. 

“Esok (hari ini) genap seminggu pemergian arwah. Saya masih ingat sahur terakhirnya ialah menu talapia sambal.

“Pada hari kejadian dia membonceng motosikal kerana suami tidak memandu lori dan parkir di Jengka 17,” katanya.

Norhayati berkata, suaminya Suhairy Samsudin, 43, yang bekerja sebagai pemandu lori sehingga kini seolah-olah menyalahkan dirinya kerana kebiasaan dia menghantar anak mereka menaiki lori berkenaan.

Lebih menyedihkan katanya, Muhammad Izzul  tidak sempat melihat pakaian baharu yang ditempah secara atas talian beberapa minggu lalu.

“Baju itu belum sampai lagi. Tahun ini tema kami sekeluarga bersetuju memilih warna coklat. Saya akan simpan baju itu untuk kenangan.

“Memang sedih sambut Aidilfitri tanpa dia. Selalunya ketika hari raya dia suka makan lemang dan biskut selain memilih air keladi sebagai juadah berbuka puasa,” katanya.

Selain arwah, empat lagi anak pasangan itu yang  masih bersekolah iaitu Muhammad Izz Irfan,17,Muhammad Izz Izzmie,15,Assyanur Izzah Izzati,12 dan Muhammad Fitri Al Wasi,11 selain Muhammad Hannan Izzul Iman yang berusia dua tahun.

Mereka yang ingin membantu meringan beban  pasangan ini boleh menyalurkan sumbangan  ke akaun Maybank milik Norhayati di nombor 156132681290.

Artikel lain:

'Seorang pelajar Kolej Vokasional maut, 24 lagi cedera' - Polis masih siasat punca

'Menjadi guru bukan pilihanku, namun ALLAH lebih tahu segalanya' - GB SK Beruas

Hujan lebat, guna plastik sampah balut anak - Guru pedalaman ini kongsi kisah sesat dalam hutan

Tahniah! SMK Panji Alam takluk Eropah gondol empat anugerah utama tewaskan pasukan dari 100 negara

Warga SK Taman Cahaya Masai bersyukur semua pelajar selamat ketika kes pembuangan sisa kimia