SHAH ALAM - KPM tidak meminggirkan mana-mana pihak dalam pemberian bantuan dan biasiswa.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata pemberian biasiswa diberikan kepada semua pemohon yang layak termasuk kepada murid-murid luar bandar, Sabah dan Sarawak tanpa mengira faktor kaum, agama dan geografi.

"Begitu juga dengan bantuan persekolahan, Bantuan Persekolah Umum umpamanya diberikan kepada semua murid di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan yang terdiri daripada sekolah jenis kebangsaan Tamil, Cina, sekolah mubaligh dan sekolah agama.

"KPM sentiasa beriltizam untuk memberikan bantuan dan sokongan kewangan yang saksama kepada sekolah-sekolah ini. Bantuan Persekolahan Khusus dan Bantuan One-Off pula diberikan kepada golongan sasar yang layak berdasarkan kriteria tertentu," jelasnya.

Katanya, dalam melaksanakan pemberian bantuan persekolahan, KPM menggariskan beberapa perkara seperti berikut:

a. memastikan pemberian bantuan adalah kepada kumpulan sasar yang layak menerima bantuan;

b. mengagihkan bantuan kewangan kepada murid dan sekolah mengikut kriteria dan masa yang telah ditetapkan; dan

c. memastikan bantuan persekolahan memenuhi keperluan dan tuntutan sosial masyarakat.

Beliau menjawab soalan berkaitan bantuan dan biasiswa kepada pelajar luar bandar, Sabah, Sarawak dan kaum India yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Ahmad Maslan (Adun Pontian, Johor), Datuk Robert Lawson Chuat (Adun Betong), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Adun Keningau, Sabah), P Prabakaran (Adun Batu, Kuala Lumpur) dan Datuk Sri Dr Santhara ( Adun Segamat, Johor).

Kata Maszlee lagi, menyentuh mengenai cadangan supaya KPM memberi layanan dan bantuan yang setaraf kepada rakyat Bumiputera di Sabah dan Sarawak pula, KPM menghormati Artikel 153 di bawah Perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa orang asal di Sabah dan Sarawak mempunyai taraf dan status yang sama dengan orang Melayu.

"Amalan KPM juga selari dengan pentakrifan UNESCO mengenai pendidikan inklusif sebagai “a process of addressing and responding to the diversity of needs of all learners”.

"Saya percaya bahawa keunikan Malaysia yang melambangkan keharmonian dan kemakmuran antara kaum serta budaya menjadi asas kepada pandangan positif rakyat antarabangsa terhadap negara.

"Mengenai bantuan dan peluang pendidikan kepada kaum India, pelbagai bantuan telah diberikan oleh kerajaan kepada murid berketurunan India di peringkat persekolahan. Bantuan yang sama turut diterima oleh kaum-kaum lain berasaskan kepada prinsip kesaksamaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan perbahasan rang undang-undang perbekalan 2020 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Artikel lain:

Inclusivity dalam pendidikan

'Kebajikan anak-anak kurang upaya amat dekat di hati saya' - Maszlee

Penyelenggaraan kuarters milik KPM di seluruh negara

Penyambungan bekalan elektrik ke grid utama sekolah-sekolah di Sarawak

Agihan peruntukan penyelenggaraan sekolah ambil kira keperluan sebenar