LEBIH kurang dua minggu lebih lagi, sesi persekolahan baru akan bermula.

Mesti ibu bapa sedang sibuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak bukan?

Semuanya diganti dengan pakaian sekolah baharu, kasut, stoking, termasuklah berangan alat tulis.

Pemilihan kelengkapan sekolah pula bergantung kepada kemampuan ibu bapa masing-masing. Ada yang memilih berjenama dan sebaliknya. Tepuk dada tanya poket la jawabnya kan!

Mari kita ikuti perkongsian Cikgu Asmadi Abdul Samad tentang permintaan anak sulungnya yang agak ngeri baginya.

+++

Anak sulung saya yang berada di tahun satu sudah beberapa kali menyebut 'Smiggle', satu jenama peralatan sekolah yang harganya memang luar jangka.

Sekotak bekas pensil jenama tersebut boleh mencecah ratusan ringgit.

Meremang juga bulu roma si ayah ni bila setiap kali perkataan itu disebut. Berkerut habis dahi hingga boleh bercantum kedua-dua belah bulu kening si ayah.

Rupa-rupanya bukan saya sahaja yang ngeri dengan En Smiggle ni.

Beberapa hari yang lalu seorang penjaga menemui saya dan bertanya mengenainya juga. Mengeleng-ngeleng kepala kerana si anak merengek-rengek nak bekas makanan smiggle.

Saya membaca satu petikan dalam laman web Independent pagi ini mengenai larangan memakai baju tebal musim sejuk yang berjenama dan mahal harganya.

Larangan ini dibuat di beberapa buah sekolah di England ekoran tekanan anak-anak kepada ibu bapa yang tidak mampu membeli baju tebal musim sejuk berjenama yang harganya mencecah sehingga 700euro.

Kalau tukar pada duit kita lebih kurang RM4000 lebih untuk sehelai baju sejuk.

Usaha ini dibuat untuk menghentikan apa yang mereka panggil sebagai 'Poverty Shaming' pada kanak-kanak.

Murid-murid yang tidak mampu membeli baju sejuk berjenama dan mahal harganya didapati sering berada dalam keadaan sedih, rasa dipinggirkan dan berasa rendah diri.

Di Malaysia, isu berkaitan barang mewah sebegini mungkin tidak seteruk di luar negara.

Mungkin belum ada kanak-kanak yang murung kerana tidak memiliki Smiggle impian mereka. Namun orientasi murid sudah mula menunjukkan kecenderungan tersebut.

Apakah suatu hari nanti ibu bapa dan pihak sekolah di Malaysia akan mengambil pendekatan yang serupa terhadap barangan mewah terutama Smiggle ini?

Apatah lagi bila kebelakangan ini sudah ada kes curi yang melibatkan Smiggle ini.

 

Asmadi Abdul Samad

Pakai steadler aje

 

***Jika anda ingin menyumbangkan berita, tips atau artikel
berkaitan dunia persekolahan boleh emelkan kepada
[email protected]