SESETENGAH masyarakat tidak ambil peduli ilmu pengurusan jenazah, hinggakan bila berlaku kematian dalam keluarga, tanggungjawab itu terpaksa diserahkan kepada orang lain.

Sehubungan itu, Guru Pendidikan Islam, Sekolah Kebangsaan Seri Bekok, Segamat, Johor berasa terpanggil untuk menganjurkan kursus amali pengurusan jenazah, buat pelajar sekolah rendah sekitar Segamat.

Kursus setengah hari yang disampaikan oleh pendakwah bebas dan juga motivator, Ustaz Mohd Rashidi Khairuddin itu turut mendapat penyertaan dari 10 buah sekolah.  

Antaranya, SK Seri Bekok, SK Seri Bali, SK Labis, SK Desa Temu jodoh, SK LKTP Maokil 2, SK LKTP Tenang, SK Kg Tenang, SK LKTP Kemelah, SK Sawah Baru, dan SK Kg Kudong.

Lebih kurang 200 orang murid Tahun Enam dan 38 orang guru telah menyertai kursus pengurusan jenazah yang dianjurkan di Masjid Jamek Chaah, 3 Oktober lalu.

Beliau yang juga penyelaras kursus ini berkata, kursus tersebut bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang dapat menguasai kemahiran mengurus jenazah bermula dari memandi, mengkafan, menyembahyang, dan mengkebumikannya.

Bahkan ketika slot muhasabah, rata-rata murid berasa sebak, dan sedar betapa pentingnya pengurusan jenazah, jika berlaku kematian dalam kalangan ahli keluarga.

“Mereka teruja dan berkeyakinan untuk menguruskan jenazah, jika berlaku kematian,”katanya.

Katanya lagi, program tersebut sedikit sebanyak dapat menggalakkan penglibatan semua murid untuk bersedia penuhi diri mereka dengan maklumat berkaitan fardu kifayah.

Apa kata mereka

“Saya sangat teruja dan gembira. Banyak ilmu yang saya peroleh, antaranya memandikan, mengkafan, dan menyembahyangkannya. Sekiranya berlaku kematian dalam keluarga, saya berasa lebih yakin untuk menguruskannya,” Ain Najwa Azman, Tahun Enam, SK Seri Bekok.

“Kursus ini adalah yang kedua, saya pernah sertai. Saya gembira dan banyak ilmu yang saya peroleh. Moga ia boleh dijadikan panduan pada masa akan datang ,”Muhammad Danish Mohd Radzi, Tahun Enam, SK LKTP Kemelah.

“Saya baru pertama kali sertai kursus amali ni, dengan ilmu yang disampaikan, sedikit sebanyak dapat membantu saya pada masa akan datang, “Auni Wardina Saffiyah Muhammad Aziz, Tahun Enam, SK Seri Bali.

“Kursus seumpama ini memang bagus dilaksanakan, terutamanya untuk melatih murid-murid memahami dengan lebih jelas ilmu pengurusan jenazah. Semoga pada masa akan datang, mereka dapat menguruskan sendiri, sekiranya berlaku kematian dalam keluarga,” Ustaz Mohd Nor Hafiz Mazlan, SK Kg Tenang.

Video kiriman Sekolah Kebangsaan Seri Bekok, Segamat Johor.

Artikel lain:

Cikgu ini sebak terima sebatang lidi sate pemberian anak murid, rupa-rupanya...

Cikgu Hailmi kongsi cara bedah jantung lembu di makmal sains sekolah - Teruja nak tengok kaedahnya

Antara teknik pembelajaran abad-21, perkongsian guru cemerlang

Idea Sains, cikgu ini kongsi cara hasilkan 'Bubble Giant'