PUTRAJAYA - Bilangan pelajar di sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang mengambil bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menunjukkan trend penurunan, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin.

Menurutnya, pada tahun lepas hanya 44 peratus pelajar sekolah memilih bidang STEM berbanding 48 peratus pada 2012.

Bilangan pelajar di IPT yang mengambil jurusan berkaitan Sains, Matematik, Komputer, Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan pada 2017 adalah 334,742 orang berbanding 570,858 pelajar yang mengambil jurusan Seni dan Kemanusiaan, Pendidikan, Sains Sosial, Perniagaan dan Undang-undang, katanya.

"Kami dapati antara punca pelajar kurang berminat dengan bidang STEM adalah kerana mereka cenderung memilih subjek yang lebih senang dan mereka masih tidak nampak bagaimana sains memainkan peranan dalam kehidupan mereka.

"Sasaran kita untuk mencapai ratio 60:40 iaitu 60 peratus pelajar mengambil bidang STEM dan selebihnya dalam aliran sastera," katanya kepada media selepas melancarkan Program Pendidikan ESTECC di sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(2), di sini hari ini.

Justeru, Yeo berkata kementeriannya telah melancarkan program pendidikan dalam bidang tenaga, sains teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim (ESTECC) sejak Februari lepas bagi mendedahkan pelajar dalam bidang sains dan mencungkil minat mereka untuk memilih kerjaya dalam bidang itu.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan penglibatan satu juta pelajar dalam program itu melalui aktiviti yang disediakan agensi-agensi di bawah kementeriannya seperti Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Pusat Sains Negara, Planetarium Negara dan Agensi Nuklear Malaysia, serta rakan strategik swasta.

Yeo berkata MESTECC telah memperuntukkan RM3 juta kepada rakan strategik swasta iaitu Yayasan Hijau Malaysia, Kidzania Kuala Lumpur dan Tech Dome Penang, untuk melaksanakan program pendidikan ESTECC di sekolah-sekolah seluruh negara, bermula 1 Ogos lepas hingga 31 Disember ini.

Sehingga semalam, seramai 482,091 pelajar dari 1,526 sekolah terlibat secara langsung dalam program itu, katanya.- Bernama

Artikel Menarik:

'Sikap Aiman hanya satu dalam seribu' - Guru luah rasa sebak bila Aiman buat ini padanya

Jadikanlah kisah Lysiana contoh... demi ilmu seawal Tahun Satu sudah tinggal di asrama

Nak buat sambutan hari lahir anak di sekolah? Cikgu ini beri panduan apa ibu bapa perlu tahu

Guru cemerlang ini kongsi tip lulus temuduga Tahfiz Model Ulul Albab