RANTAU PANJANG - Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat, Repek dekat sini gempar apabila sebuah bilik tingkat dua bangunan asrama pusat pengajian berkenaan terbakar petang semalam.

Kejadian jam 2.38 petang itu berlaku ketika kesemua 75 pelajar lelaki sedang  menunaikan solat Zohor di masjid yang terletak tidak jauh dari bangunan asrama.

Saksi kejadian, Ahmad Faizul Nizamudin, 29, yang juga guru dan warden  asrama berkata, ketika mahu pergi ke masjid beliau ternampak percikan api dari tingkat dua bangunan asrama.

“Saya kemudian terus memberitahu perkara itu kepada seorang lagi tenaga  pengajar yang kemudian menghubungi  bomba untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ahmad Faizul berkata, beliau bersyukur apabila semua pelajarnya tidak  terlibat dalam kejadian tersebut.  Katanya, beliau juga lega kerana kebakaran itu hanya  melibatkan sebuah bilik di tingkat dua sahaja.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong  Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata,  pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.43 petang.

Menurutnya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir  Mas dan Rantau Panjang bersama dua jentera dikejar ke lokasi kejadian.

“Operasi yang diketuai oleh Pegawai  Bomba Kanan II Azmi Ibrahim tamat sepenuhnya pada jam 3.13 petang,” katanya.

Artikel Menarik:

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Nak buat sambutan hari lahir anak di sekolah? Cikgu ini beri panduan apa ibu bapa perlu tahu

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan