PETALING JAYA - Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mensasarkan penyertaan 700 juta pelajar sekolah di seluruh dunia pada tiga tahun pertama program Bola Sepak untuk sekolah, yang diperkenalkan awal tahun ini.

Pengurus Program Perkhidmatan Pembangunan Teknikal FIFA, Philips Zimmermann berkata program itu bertujuan untuk membolehkan permainan itu lebih mudah sampai kepada pelajar lelaki dan perempuan dengan memasukkannya ke dalam kurikulum pendidikan jasmani, sekali gus menyumbang kepada pendidikan, pembangunan dan pemerkasaan kanak-kanak.

"Kami juga akan menyediakan aplikasi mudah alih kepada kesemua 211 ahli, yang kandungannya bukan sahaja mengenai bola sepak, tetapi juga kemahiran hidup, malah melalui aplikasi itu, guru-guru tanpa latar belakang pendidikan jasmani juga, dengan mudah boleh memahami pelaksanaan program tersebut.

"Melalui kerja sama Adidas, 11 juta biji bola, akan diedarkan kepada semua ahli kami dalam tempoh tiga tahun setengah dan 10 peratus daripada bola-bola tersebut akan diedarkan di rantau Asia,” katanya kepada pemberita di bengkel berkaitan program itu yang dirasmikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal di sini hari ini.

Program sehari itu disertai 30 wakil daripada 12 negara ASEAN, Majlis Sukan Negara dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia.

Permulaan program ini bermula selepas perjanjian yang ditandatangani antara Presiden FIFA Gianni Infantino, Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay dan Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu David Beasley, di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, awal tahun ini. - Bernama

Artikel Menarik:

Guru ini cipta ABM untuk subjek Matematik, bantu murid mudah faham dalam kelas

‘Sedapnya cikgu, tak pernah saya makan ni di kampung,’ - Cikgu sebak, anak murid teruja makan McD

Hebat betul Cikgu ni, hasil mekapnya bagaikan juru mekap kesan khas profesional

Sedikit perkongsian untuk cikgu yang ingin sandang jawatan guru besar/pengetua

Cikgu ini wujudkan kebun sayur depan rumah hingga buat ramai tak sabar nak petik