Jika kita mahukan anak yang cemerlang, satu sahaja usaha yang boleh dilakukan, adalah membantu, membimbing dan cuba untuk menjadi ibu yang terbaik di rumah.

Sesetengah ibu bapa, sanggup berkorban apa sahaja termasuk mengeluarkan belanja lebih demi pelajaran anak-anak. Sama ada mencarikan guru tuisyen di rumah, atau menghantar anak-anak mereka mengikuti kelas tambahan.

Pun begitu, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,  banyak yang terbatas, ibu bapa perlu lebih kreatif dalam mendidik anak-anak di rumah.

Antaranya, usaha yang dilakukan oleh ibu muda bernama Amie Sofia Ahmad ini. Beliau yang juga hos rancangan Assalamualaikum di TV Alhijrah, sempat berkongsi ilmu dan pengalaman mengajar anaknya, Insyirah di rumah.

Ikuti perkongsian ibu muda ini....

Melihat kepada trend dan kajian bahawa banyak murid yang tercicir, dan ia sudah tentu menimbulkan kerisauan pada ibu-bapa. Disebabkan itulah saya mengambil inisiatif untuk membantu anak dan menjadi guru dalam sesi pembelajaran.

Idea tercetus daripada perkongsian ahli keluarga dan rakan-rakan tentang buku teks digital, saya  cuba cari di internet. Sebelum tu saya bertanya tentang silibus pembelajaran kepada jiran-jiran yang merupakan guru sekolah rendah.  

Mereka memaklumkan silibus masih sama kecuali untuk Darjah 5, maka saya pun muat turun buku teks digital semua subjek Tahun 1. Berikutan pertambahan murid pada tahun ini dan juga keadaan  sekolah yang masih belum dibuka.

MUAT TURUN BUKU TEKS VERSI DIGITAL DI SINI

Bercerita tentang idea untuk membuat jadual kelas dan merangka aktiviti harian anak-anak sepanjang PKP tercetus, apabila anak sudahpun masuk Darjah 1 tahun ini, dan saya cuba menukar konsep pembelajaran dengan mengikut silibus.

Sebelum ini  saya ajar mereka mengikut apa yang terlintas di fikiran sahaja.  Tapi bila saya tengok silibus Darjah 2 untuk semua subjek, rasanya saya boleh cuba mengajarnya di rumah.

Walaupun bukan 'deep learning' namun ia sedikit sebanyak dapat memberikan pendedahan awal  kepada mereka, selain kita juga tahu serba sedikit apa yang anak sedang belajar.

Sebelum ni  anak saya Insyirah, bersekolah tadika berkonsepkan Montessori,  agak kekok untuk Insyirah  berada dalam aliran persekolah sekarang. Sebab montessori ni konsepnya ‘no classroom, no silibus’ tapi insyaAllah dia mampu lakukannya, sebab kita sebagai ibu akan cuba buat persediaan  ‘ready to learn’.

Sejujurnya sukar juga untuk menjadi ‘guru di rumah,’ sebagai ibu saya bangga dengan guru-guru yang bersusah payah mendidik anak-anak kita sehingga boleh membaca , menulis dan mengira.

Sekarang ni bila dah mula atur pembelajaran Insyirah di rumah, baru saya faham, bukan mudah nak bagi anak-anak faham, kita perlu praktis dan mengajar penuh kreativiti.

Tidaklah setiap masa, saya perlu membahagikan masa antara mengajar dan juga kerjaya sebagai hos di TV Alhirah. Biasanya selepas bersiaran, saya akan terus balik. Masa yang diperuntukkan juga mengikut masa saya, sama ada belajar pada waktu pagi ataupun petang.

Seronok juga sebab ada panduan mengikut silibus misalnya mata pelajaran Sains, kita boleh guna kanta pembesar  untuk  projek Sains, buat sama-sama dengan anak-anak.

Manakala ketika membuat kerja rumah seperti membasuh pinggan, kita boleh soal anak dalam keadaan santai, contohnya : melihat menggunakan deria apa ya? Bau pula menggunakan deria apa?

Harapan saya bukanlah nak Insyirah mencapai A semata, atau cuba menggantikan tugas guru, cuma saya  ingin memanfaatkan masa dan menyahut ibu adalah guru pertama dalam kehidupan.