NILAI - Cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya warden sekolah dilantik daripada kalangan bukan guru perlu diperhalusi, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau bagaimana pun berkata pihaknya terbuka dan akan meminta Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) untuk melakukan perbincangan dengan kesatuan itu.

"Mungkin mereka mempunyai beberapa cadangan ke arah tersebut," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) 2019 di Institut Aminuddin Baki, kampus Enstek, di sini.

Hari ini, Presiden NUTP Aminuddin Awang mendakwa masih terdapat guru 'dipaksa rela' menjadi warden sekolah berasrama penuh oleh pengetua.

Beliau berkata ia menambah bebanan tugas hakiki seorang guru dan turut menyarankan kerajaan agar diwujudkan warden bukan kalangan guru.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya percaya tiada guru yang sukarela untuk menjadi warden' - NUTP]

Mengenai persidangan itu, Maszlee berkata ia adalah selari dengan visi kementerian dalam memastikan sistem pendidikan dilaksanakan dengan baik selain para guru gembira gembira mengajar di sekolah.

"Sehubungan itu, saya bergantung sepenuhnya kepada sokongan PPD yang jadi antara agen perubahan yang kita harapkan. Kita juga yakin melalui program yang dianjurkan ini, para PPD akan mendapat input yang baik dan yang mereka perlukan dalam usaha mereka melakukan perubahan dalam pendidikan kita.

Kita harap PPD dalam memainkan peranan mereka sebagai pembimbing juga sebagai satu keluarga kepada guru besar dan guru-guru yang ada dalam memastikan perubahan pendidikan yang kita inginkan itu akan berjaya dicapai," katanya.

Persidangan berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini membabitkan seramai 330 peserta daripada 145 PPD seluruh negara. - Bernama

Artikel lain:

Empat sebab Dr Maszlee menangis - Bimbang ada pegawai tak sehaluan dengan aspirasi yang ditonjolkan

'Kepada rakan saya di KPM, jangan gagalkan anak-anak kita' - Maszlee

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid Tahun Enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau

'Tetap serius dan tegas ketika mengajar walaupun berwajah 'baby face' - Cikgu Ian Francis Manga