JOHOR BAHRU - Pusat peperiksaan Pentaksikran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, Masai, di sini, akan dipindahkan ke sekolah lain sekiranya kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Taman Perindustrian Kota Puteri, tidak dapat dikawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata ia bagi mengelak kesan buruk terhadap calon PT3 yang sedang menduduki peperiksaan itu dan calon SPM yang bakal menghadapi peperiksaan pertengahan bulan ini kerana tapak itu berada kira-kira satu kilometer dari sekolah berkenaan.

"Seandainya memang tidak boleh dikawal (kebakaran), kita terpaksa membuat pemindahan (ke sekolah lain) supaya pelajar boleh menjawab (peperiksaan) dalam keadaan tenang dan tiada gangguan. Sebab itu saya datang ke sekolah ini, hari ini bagi meninjau keadaan,” katanya yang ditemui pemberita di SMK Seri Kota Puteri 2 berkenaan.

Aminolhuda berkata terdapat seramai 100 calon menduduki PT3 di sekolah itu manakala 124 calon lagi bakal menduduki SPM.

Beliau berkata pada masa sama, pihaknya berharap pihak bertanggungjawab termasuk anggota bomba dapat memadam kebakaran dalam masa terdekat supaya sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang mempunyai 548 pelajar itu tidak terjejas akibat bau asap.

"Saya mewakili kerajaan negeri, merasakan kejadian kebakaran ini sangat menyedihkan. Sepatutnya anak-anak boleh menduduki peperiksaan dengan tenang tetapi kejadian ini sudah mengganggu mereka,” katanya sambil menambah setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan terdapat pelajar mengalami masalah kesihatan akibat kejadian berkenaan.

Kebakaran membabitkan kawasan 1.6 hektar di tapak pelupusan sampah haram seluas 2.4 hektar itu berlaku sejak 7 September lepas.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon turut meninjau lokasi kebakaran terbabit.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba Ibrahim Omar yang ditemui di tapak pelupusan sampah haram terbabit berkata kebakaran berjaya dipadamkan sehingga 65 peratus setakat tengah hari ini.

"Operasi pemadaman yang disambung hari ini melibatkan kekuatan sama seperti semalam iaitu lapan anggota dan lima jentera. Kita sudah membuat ‘fire break’ iaitu membina longkang sejak dua hari lepas bagi mengelakkan kebakaran terus merebak,” katanya. - Bernama

Artikel lain:

Empat sebab Dr Maszlee menangis - Bimbang ada pegawai tak sehaluan dengan aspirasi yang ditonjolkan

'Kepada rakan saya di KPM, jangan gagalkan anak-anak kita' - Maszlee

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid Tahun Enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau

'Tetap serius dan tegas ketika mengajar walaupun berwajah 'baby face' - Cikgu Ian Francis Manga