TUMPAT - Seorang pelajar maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di KM 3 Jalan Wakaf Bharu-Tumpat dekat Kampung Morak, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Mohamad  Noor Fitri Mohd Rafidi,17, yang merupakan pembonceng motosikal Modenas Lite maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Rakannya, Muhammad Akmal Hisyam Dzullakman, 17, penunggang motosikal terbabit cedera dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal  dinaiki mangsa membuat pusingan U bertembung  dengan motosikal Yamaha LC 135 yang ditunggang Kamaruzaman Abdullah, 23.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan  Ab Rashid Mat Daud berkata, kedua-dua motosikal terbabit dari arah Palekbang menghala ke Wakaf Bharu.

Katanya, dalam kejadian  itu dipercayai mereka membuat pusingan U setelah  terlepas simpang untuk ke gelanggang futsal di  Kampung Morak.

“Semasa membuat pusingan  U, motosikal Yamaha LC 135 yang berada di belakang terlanggar motosikal dinaiki mangsa kerana jarak yang terlalu dekat,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu, mangsa  dari Kampung Palekbang maut di lokasi kejadian dan  mayatnya di hantar ke Hospital Tumpat sebelum dituntut keluarga.

“Rakan mangsa dan penunggang Yamaha LC 135  yang cedera dirawat di HRPZ II,” katanya. 

Mangsa yang maut merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Jeli dan rakannya adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, Pasir Pekan.

Kes disiasat di bawah  Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ARTIKEL MENARIK:

Kelas tambahan percuma, sering sedekah, suka bantu orang susah...Peribadi Cikgu Ven buat ramai kagum

'Hormati mak ayah, kawal nafsu, kejar syurga' - Siapa jadi pelajar Cikgu Ven pasti dapat nota ini

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku