KOTA BHARU - Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong, Pasir Mas memohon sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatannya selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira lebih sebulan lepas.

Muhammad Syafiq Daneal Zahari, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, hanya mampu terlantar kerana kecederaan parah yang dialami dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mengimbas kembali kejadian menimpa Muhammad Syafiq pada 22 Jun lepas, bapanya Zahari Wan Ibrahim, 62, berkata anak bongsu daripada tujuh beradik itu menaiki motosikal dan bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di Jalan Bechah, Tendong ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pulang dari sekolah.

"Akibat daripada kemalangan terbabit, Busu (panggilan kepada Muhammad Syafiq) dimasukkan ke hospital dan tidak sedarkan diri selama enam hari selain patah kedua-dua belah kaki dan menyebabkan limpanya terpaksa dibuang akibat jangkitan kuman,” katanya ketika ditemui pemberita di HRPZ II di sini hari ini.

"Dia merupakan anak harapan saya memandangkan saya sendiri juga tidak bekerja selepas tangan sebelah kanan tercedera akibat kemalangan motosikal dua tahun lalu,” kata Zahari.

Bapa tunggal itu juga berkata, beliau sebelum ini bekerja hanya memungut barang terbuang untuk dikitar semula namun terpaksa berhenti kerana pergerakan tangan kanannya terbatas selain tidak boleh mengangkat benda berat akibat kemalangan berkenaan.

"Saya buntu memikirkan perbelanjaan kos rawatan yang terpaksa ditanggung sepanjang Busu berada di hospital, malah jika mahu berharap kepada anak-anak yang lain mereka hanyalah bekerja kampung dan mempunyai komitmen sendiri.

"Sepatutnya Busu perlu menjalani pembedahan untuk memasukkan besi ke dalam kedua-dua kakinya yang patah seminggu selepas dia terbabit dalam kemalangan, tetapi disebabkan tidak mempunyai wang ianya terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Namun pada Ahad lepas, Busu selamat menjalani pembedahan memasukkan besi atas belas ihsan pihak hospital yang bimbang kecederaan pada kakinya menjadi lebih parah, katanya.

Katanya, kos memasukkan besi itu berjumlah RM1,100 dan dia masih lagi berhutang dengan hospital.

Zahari berkata, ekoran kemalangan itu juga anaknya hanya bergantung kepada susu khas yang diberikan enam kali sehari melalui tiub yang dipasang pada hidungnya.

"Selain menggunakan susu yang diberikan oleh pihak hospital, saya juga terpaksa membeli susu tambahan demi memenuhi keperluan Busu yang berharga RM49 satu tin yang mampu bertahan untuk sehari sahaja.

"Dalam seminggu saya perlu memperuntukkan kira-kira RM350 hanya untuk susunya dan tidak termasuk lampin pakai buang, malah susu yang dibeli ini menggunakan wang sumbangan yang diberikan oleh saudara-mara dan kenalan yang datang menziarahinya sepanjang dia dirawat di hospital,” katanya.

Zahari juga merayu sumbangan orang ramai untuk mendapatkan katil khas dan kerusi roda untuk anaknya itu bagi memudahkan lagi urusan penjagaannya apabila dia sihat seperti sediakala dan kembali ke rumah kelak.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zahari di talian 017-9226014 bagi maklumat lanjut. - Bernama

Baca juga:

Nota poket Matematik Cikgu Shahril bantu murid skor A UPSR

12 muka surat nota ringkas Matematik UPSR Cikgu Nana

Warga SK Taman Sri Pulai gempar, bilik suis terbakar dan murid masih berada di makmal bersebelahan

'Bagaimanalah kami tak jatuh sayang pada kamu Syazwan' - Coretan sayu ustazah ini buat ramai sebak

Hentikan semua aktiviti luar kelas jika IPU lebih 100 - Ini kenyataan JAS