KAEDAH Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dilihat agak asing bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, tetapi buat guru ini, beliau berjaya mengaplikasikan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang menyeronokkan di dalam kelas.

Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Mohd Asrulnizam Md Yusof, berkata, senario masa kini yang mana guru terpaksa bertarung dengan elemen lain bagi menarik perhatian pelajar di dalam kelas membuatkan beliau memilih konsep PAK21 untuk menyampaikan ilmu.

"Saya menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan projek (Project Based Learning) untuk menerangkan mengenai aurat.. ini satu contoh bagaimana  PAK21 diterapkan dalam pembelajaran dan pemudahcaraan Pendidikan Islam dengan mengambil kira isu-isu semasa yang berlaku," katanya.

Kata Ustaz Mohd Asrulnizam, pembelajaran berasaskan projek dilihat sebagai suatu strategi pengajaran yang agak asing bagi mata pelajaran Pendidikan Islam.

"Walau bagaimanapun bagi topik-topik tertentu ia dilihat bersesuaian untuk diaplikasikan bagi meninggalkan impak yang mendalam ke atas diri pelajar," katanya.

Ustaz Mohd Asrulnizam (tengah) bersama kru penggambaran KPM dan pelajar SMK Jerlun yang terbabit dalam penggambaran PdPc bulan lalu.

Ustaz Mohd Asrulnizam (tengah) bersama kru penggambaran KPM dan pelajar SMK Jerlun yang terbabit dalam penggambaran PdPc bulan lalu.

 

Menurut beliau, ciri PAK21 yang menekankan Konsep 4K 1N (Komunikasi, Kolaborasi, Kritis, Kreativiti dan Nilai) adalah dilihat sangat bersesuaian dalam memenuhi keperluan pelajar masa kini bagi melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis, berdaya saing dan mampu menyelesaikan masalah pada masa akan datang.

"Pembelajaran berasaskan projek dalam pembelajaran aurat adalah salah satu contoh yang menggabungkan kelima-lima standard pembelajaran abad ke 21 iaitu komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreatif dan nilai dalam pengajaran dan pemudahcaraan di bilik darjah," katanya.

Melalui kaedah itu, beliau berjaya menarik minat pelajar dan menimbulkan perasaan ingin tahu dengan lebih mendalam berkaitan ilmu yang disampaikan.

Amalan bilik darjah yang dibuat itu telah melayakkan Ustaz Mohd Asrulnizam mendapat sagu hati Kempen Guru PAK21 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) yang bergelar Adiwira PAK21.

Ustaz Mohd Asrulnizam membuat rumusan pada akhir PdPc supaya pelajar faham dengan lebih jelas.

Pelajar menyiapkan tugasan yang diberikan secara berkumpulan.

Ustaz Mohd Asrulnizam membuat rumusan pada akhir PdPc supaya pelajar faham dengan lebih jelas.

 

Dengan kemenangan itu beliau membawa pulang tunai RM300, 35 x VR Goggles, plak berserta sijil, Microsoft Surface 3 sumbangan Microsoft, Latihan Profesional bersama Microsoft dan U-Pointer sumbangan Maiza Tech Sdn Bhd.

Menurut Ustaz Mohd Asrulnizam, bagi memberi gambaran yang jelas dan mengukuhkan pemahaman konsep aurat yang dituntut oleh syarak, beliau membuka ruang untuk pelajar menyampaikan kefahaman mereka dalam bentuk projek pemahaman mereka mengenai topik itu.

"Rata-rata pelajar mempunyai pengetahuan sedia ada daripada pengajaran yang lalu atau daripada pemerhatian kepada persekitaran mereka sekarang.

"Gabungan perkongsian maklumat bersama rakan sekumpulan akan menterjemahkan pemahaman pelajar terhadap konsep aurat yang mereka fahami selama ini," katanya.

Guru sebagai pemudahcara

Kata Ustaz Mohd Asrulnizam, melalui kaedah PAK21 guruhanya bertindak sebagai pemudahcara yang mengembangkan potensi pelajar pada tahap optimum secara berterusan.

"Pembelajaran berasaskan projek dalam memahami konsep aurat ini menggunakan patung kertas sebagai objek yang dijadikan bahan projek oleh pelajar," katanya.

Menurutnya, penggunaan patung kertas dalam menjelaskan konsep aurat adalah satu inovasi dalam amalan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dan dalam jangka masa pendek dapat memberi gambaran tentang konsep aurat dari perspektif yang berbeza.

Ustaz Mohd Asrulnizam (tengah) bersama pelajarnya yang terbabit dalam penggambaran PdPc bulan lalu.

 

Terdapat dua aktiviti yang menggunakan patung kertas dalam menyampaikan konsep aurat kepada pelajar iaitu Fashion Designer dan Police Fashion.

Aktiviti 1 : Fashion Designer

1. Dalam aktiviti ini pelajar dikehendaki mereka bentuk pakaian kepada patung kertas yang disediakan berdasarkan pengetahuan sedia.

2. Pelajar disediakan satu patung kertas bagi setiap kumpulan dan beberapa helaian kertas warna.

3. Pelajar diminta membuat pakaian bagi patung kertas tersebut bersesuaian dengan tuntutan syarak secara kolaboratif bersama rakan di dalam kumpulan.

4. Kemudian dibentangkan kepada pelajar lain untuk dinilai sama ada ia memenuhi tuntutan syarak atau tidak sambil dibimbing oleh guru.

5. Kreativiti dalam menghasilkan pakaian yang menepati tuntutan syarak dapat dilihat daripada pelajar terutamanya mereka yang begitu berminat dengan kerja seni.

6. Pembentangan hasil kerja kepada rakan pula akan mengasah kemahiran berkomunikasi dengan baik sesama rakan.

 

Aktiviti 2 : Fashion Police

1. Pelajar akan memeriksa patung yang sudah diberi pakaian sama ada menutup aurat dengan menepati tuntutan syarak atau tidak.

2. Pelajar disediakan patung kertas yang memakai pakaian yang tidak menepati tuntutan syarak yang sempurna, kemudian pelajar diminta melabel dan mengkritik gambar tersebut serta memberi alasan kenapa ianya tidak menepati tuntutan syarak.

3. Dalam aktiviti ini, kefahaman pelajar terhadap konsep aurat akan menjadikan mereka dapat membuat penilaian yang tepat dan alasan yang bersesuaian berdasarkan pengetahuan sedia ada.

Ustaz Mohd Asrulnizam berkata, strategi itu memberi satu ruang yang luas bagi pelajar meneroka ilmu yang dipelajari bersama-sama rakan dengan dibimbing oleh guru.

"Perubahan yang dilakukan ini telah menunjukkan impak kepada pelajar terutamanya dari sudut cara berfikir yang lebih kritis dan kreatif, membina keyakinan diri dalam kalangan rakan dan mampu menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan.

"Malah kaedah ini  boleh mendorong kepada kecenderungan pelajar kepada minat mereka di alam pekerjaan," katanya.

Kata beliau lagi, pendidik hari ini sedang menyediakan pelajar untuk masa hadapan bukan untuk masa yang sudah berlalu.

"Sepatutnya kita mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai disiplin ilmu yang membolehkan mereka ‘survive’ suatu hari nanti," ujarnya.

INFO

*Projek ini juga telah memenangi Johan Pertandingan Inovasi Peringkat Daerah Kubang Pasu pada tahun 2017

*Satu kertas kerja bertajuk Pembelajaran Abad Ke 21 Dalam Pendidikan Islam: Pembelajaran Berasaskan Projek (Project Based Learning) dalam Pembelajaran Aurat telah ditulis dan

dibentangkan dalam  Seminar Serantau Pendidikan Islam anjuran Kerajaan Negeri Johor Sempena 100 Tahun Pendidikan Islam di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Johor Bahru pada

18 dan 19 Febuari 2019

+++

BIODATA

Nama: Mohd Asrulnizam  Md Yusuf

Jawatan: Guru Pendidikan Islam

Asal: Ayer Hitam, Kedah

Sekolah : SMK Jerlun

Pendidikan :

SK Matang Paku, Ayer Hitam (1991-1996)

SMK Agama Kedah, Alor Setar (1997-2001)

Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (2002-2004)

Universiti Kebangsaan Malaysia (2005-2008)

Perkhidmatan :

1. SMK Kelibang, Langkawi (2009-2012)

2. SMK Tunku Putera, Baling (2012-2013)

3. SMK Jerlun, Jitra (2014-kini)

Pencapaian:

1. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2015)

2. Anugerah Guru Inovatif Individu Daerah Kubang Pasu (2017)

3. Anugerah Guru Inovatif Berkumpulan Daerah Kubang Pasu (2017)

4. Anugerah Guru Cemerlang Akademik PPD Kubang Pasu (2019)

5. Anugerah Guru Inovatif Individu Daerah Kubang Pasu (2019)

6. Ikon Inovasi SMK Jerlun (2019)

7. Adiwira PAK21 (2019)

ARTIKEL MENARIK:

Pelajar kelas belakang..cikgu ini kongsi enam kelebihan bagaimana nak ajar mereka

'Sini mak, Syikin kat sini, mak datanglah' - Gangguan satu suara buat Ustaz Malik dalam ketakutan

Lapan tip otak sihat, untuk jadi lebih bijak dan pandai

Seronok rupanya kaedah ‘Flipped Classroom’ - Untung budak sekarang

Guru Adiwira PAK 21 ini guna lego dan Elemen 4K1N ajar MBK Masalah Penglihatan