PUTRAJAYA - Pentaksiran sejajar Common European Framework of Reference For Language (CEFR) yang pertama akan dilaksanakan di peringkat peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi Kertas Bahasa Inggeris pada penghujung tahun ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Beliau berkata kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dijajarkan CEFR itu akan diikuti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021 dan Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR) pada 2022.

"Kurikulum sejajar CEFR telah mula dilaksana pada tahun lepas bermula dengan prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 dan pelaksanaan ini diikuti dengan peringkat seterusnya secara berperingkat,” katanya dalam taklimat berkaitan usaha sama Kementerian Pendidikan dan Cambridge English (CE) di sini semalam.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan telah menjalinkan kerjasama bersama CE daripada Universiti Cambridge, United Kingdom bertujuan untuk menyediakan asas yang kukuh bagi pelaksanaan kurikulum dan pentaksiran sejajar CEFR bermula 2016 hingga 2020.

"Namun, walaupun usaha sama ini akan berakhir, transformasi pendidikan tetap akan diteruskan melalui pelan lestari yang telah kita sediakan menjangkau tempoh 2020,” katanya.

Amin berkata pihak CE telah menzahirkan komitmen yang tinggi terhadap usaha sama tersebut memandangkan ia merupakan kerjasama komprehensif yang pertama di dunia berbanding negara lain yang hanya bekerjasama dengan CE dari aspek pelaksanaan peperiksaan atau kurikulum.

"Kerjasama CE di Malaysia pula merangkumi semua aspek termasuk kebolehan guru yang mengajar, buku teks, peperiksaan di semua peringkat pendidikan.

"CE memandang serius pelaksanaan CEFR di negara ini kerana bagi mereka Malaysia akan menjadi model CE yang pertama di dunia dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar,” katanya.  - Bernama

Tip Menarik:

Skor A Matematik UPSR...Cikgu Mohamad Hakim kongsi 11 contoh soalan bersama langkah pengiraannya

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Teknik GPS cara Cikgu Shahrul...calon pasti dapat jawab dengan mudah Sains (Kertas 1) UPSR