KUALA LUMPUR - 21 Julai lalu, KTMB melalui perkhidmatan KTM Komuternya memperkenalkan program tambang terbaharu dinamakan program Choo Choo. Program ini menyasarkan penumpang dalam kalangan kanak kanak peringkat tadika dan sekolah rendah untuk menaiki tren Skypark Link secara berkumpulan.

Melalui program tersebut tambang istimewa RM1 ditawarkan bagi perjalanan sehala dari Stesen KL Sentral ke Terminal Skypark atau dari Stesen Subang Jaya ke Terminal Skypark.

Harga tambang asal bagi kanak kanak berusia dua hingga 12 tahun adalah RM5.50 dan RM2.50 bagi perjalanan yang sama.

Menariknnya tawaran tambang RM1 tidak mempunyai had umur dan mereka boleh membuat permohonan secara berkumpulan iaitu 20 orang ke atas atau dari mana-mana organisasi layak mendapat tambang istimewa ini. Tawaran istimewa ini sah sehingga Disember 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hashim berkata, program tersebut dijangka dapat meningkatkan jumlah penumpang Skypark Link, antara 500 hingga 600 orang sehari.

“Tumpuan kami, selain pelajar dan guru, penduduk sekitar Lapangan Terbang Subang seperti Kampung Melayu Subang, Subang Bestari, Bandar Pinggiran Subang, Mutiara Subang, Kampung Paya Jaras Hilir dan USJ Subang Jaya juga berpeluang mendapat tambang istimewa ini,”katanya.

 SMK Dabong, KTMB jalin hubungan baik

Kira-kira 95 orang pelajar, lapan guru dan seorang penyelia asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki perkhidmatan tren kedua ke lapangan terbang selepas KLIA dan KLIA2 ketika pelancaran Choo Choo Skypark Link baru-baru ini.

Pengetuanya, Ahmad Nizam Yahaya berkata, hubungan baik antara SMK Dabong dan KTMB sudah terjalin sejak sekian lama.

Beliau berkata, keretapi bukan sahaja menjadi pengangkutan utama pelajar dan penduduk sekitar Dabong, malah ketika banjir besar pada tahun2 014, KTMB banyak menyalurkan pelbagai bantuan kepada sekolah dan juga mangsa banjir.

“Memang sudah ada dalam perancangan asal Lawatan Transformasi Minda 2019 SMK Dabong, kami akan melawat Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral). Namun tak sangka pula, kedatangan kami disambut dengan begitu meriah, selain pelancaran Choo Choo Skypark Link.

“Kami sambut baik peluang keemasan ini, tambahan pula pelajar dan guru SMK Dabong merupakan kumpulan penumpang pertama yang menaiki Choo Choo Skypark Link ke Terminal Skypark,”katanya.

Kumpulan pelajar terlibat, terdiri daripada pelajar berasrama tingkatan dua sehingga lima.

“Harapan saya, menerusi lawatan empat hari ke Kuala Lumpur dan Putrajaya ini, pelajar dapat membuka minda dan ubah cara berfikir. Kerana kehidupan sebenar mereka kelak adalah di luar pagar sekolah. Pelbagai rencam kehidupan dan cabaran perlu mereka hadapi sebaik sahaja melangkah keluar dari sekolah,”katanya kepada GPSBestari.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin (tengah) bersama Pengurus Besar KTM Komuter, Khair Johan Ishak (kiri), dan Pengetua SMK Dabong Kelantan,Cikgu Ahmad Nizam Yahaya (kanan), ketika di Majlis Pelancaran Program Choo Choo Skypark Link, di KL Sentral.

Pelajar tingkatan dua sehingga lima SMK Dabong, Kelantan menjadi kumpulan  penumpang pertama yang menaiki Choo Choo Skypark Link.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin (kiri) memberikan cenderahati kepada Pengetua SMK Dabong Kelantan, Cikgu Ahmad Nizam Yahaya, disaksikan oleh Pengurus Besar KTM Komuter, Khair Johan Ishak.

Antara pelajar lelaki yang mengikuti rombongan sambil belajar ke KL Sentral.