Menempuh perjalanan lebih 4-5 jam, dan adakalanya berlarutan sehingga 8 jam, menolak, meredah selut lumpur merah dan juga motor kehabisan minyak di tengah laluan balak adalah cabaran biasa yang terpaksa dilalui oleh pendidik di SK Ulu Lemanak, Lubok Antu, Sarawak setiap kali pulang bertugas selepas cuti hujung minggu.

Berkongsi kisah itu, guru asal Pulau Chondong, Kelantan, Ahmad Faqih Pauzi, 29, berkata kepada GPSBestari, setiap hujung minggu dia bersama beberapa guru lain dari sekolah yang berbeza perlu memulakan perjalanan seawal jam 4 petang dari Sri Aman untuk pulang ke kuaters guru masing-masing dengan menaiki scrambler.

Ahmad Faqih ketika dihubungi memberitahu, pada hari biasa dia tinggal di kuaters guru di dalam kawasan sekolah, cuma hanya pada hujung minggu sahaja dia akan balik ke rumah sewa yang terletak di Sri Aman.

SK Ulu Lemanak

Menurutnya, memandangkan dia terpaksa melalui laluan 60km jalan raya berturap dan 40km jalan balak yang tidak diselenggara, dia perlu bertolak lebih awal dan perlu tiba ke sekolah sebelum malam. Namun, pernah juga sampai lewat malam, sekiranya berlaku sebarang masalah ketika dalam perjalanan.

"Selalunya bila hujan mulai turun, keadaan akan menjadi bertambah rumit. Jalan terlalu licin, berselut dan sukar dilalui. Sedangkan kenderaan pacuan empat roda pun boleh terbalik jika tersilap cara, inikan pula kami yang beroda dua ini. Bila keadaan begitu terjadi, terpaksalah kami berpatah balik.

"Walau bagaimanapun, ia bukanlah penghalang terbesar buat kami. Sehebat manapun cabaran yang terpaksa dilalui, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat saya untuk terus berbakti kepada anak bangsa, khususnya anak-anak kaum Iban, beragama Kristian di sekolah ini,”jelas guru yang boleh bertutur bahasa Iban ini.

Laluan balak yang tidak diselanggara, menjadi laluan utama guru SK Ulu Lemanak ke bandar Sri Aman

Banyak lagi cabaran

Menurut bapa kepada dua cahaya mata ini, halangan tersebut hanyalah sebahagian ujian kecil yang terpaksa dilalui, banyak lagi cabaran lain yang perlu dilalui oleh guru muda yang baru tujuh tahun bergelar pendidik ini.

"Sekolah ini merupakan penempatan pertama saya sebagai pendidik. Mula mengajar pada bulan Julai, 2013 sebagai guru bahasa Inggeris tahun 1. Namun kini menggalas tugas sebagai guru prasekolah, walaupun opsyen sebenar saya adalah Pengajian Sosial.

“Mula-mula ke sini, perasan saya bercampur baur, ada rasa teruja, janggal, terkejut dan gembira, sebab inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di Sarawak. Namun lama-kelamaan saya sudah mula boleh menyesuaikan diri dengan keadaan dan permasalahan sepanjang berkhidmat di sekolah ini,"katanya.

Meratakan laluan untuk memudahkan perjalanan.

Menurutnya, antara permasalahan yang terpaksa dilalui oleh warga sekolah ini adalah penggunaan elektrik yang terpaksa dicatu, disebabkan kemudahan genset yang sedia ada tidak mencukupi.

Malah, sekolah juga perlu melalui pelbagai cabaran untuk membina sebuah dewan serbaguna di SK Ulu Lemanak, yang bermula tahun lepas, dan hampir siap sepenuhnya tahun ini.

“Disebabkan kedudukannya jauh di pedalaman dan ditambah pula terdapat sedikit kesukaran dan kekangan tertentu untuk mendapat peruntukan, semua pendidik, kaki tangan sekolah, PIBG, termasuk Guru Besar SK Ulu Lemanak, Chanking anak Jawa, sama-sama turun bergotong royong membina dewan untuk keperluan anak-anak Iban di sini belajar.

“Sebelah pagi kami mengajar seperti biasa, petang dan malam kami bergotong royong menyiapkan dewan. Mengenai kos pembinaan pula, kami perolehnya daripada kutipan peribadi, guru, kaki tangan sekolah dan juga PIBG. Kami tidak mengambil sebarang bayaran dan upah pun, sebaliknya kami ikhlas untuk sekolah ini,”terangnya.

Difahamkan, SK Ulu Lemanak kini sedang berusaha mengumpul dana untuk memasang kipas, lampu dan pendawaian.

Guru gang Ulu, Hamizan, Azrul, Firdaus, Daniel, Aiman, Faqih, Joe dan Wadle, mengajar SK Ulu Engkari, SK Nanga Menyebat, dan SK Ulu Lemanak.

Buat sendiri bahan binaan

Dari segi keperluan bahan binaan seperti papan, dan batu bata, ia dibuat sendiri oleh guru, kaki tangan sekolah dan penduduk kampung. Bermula dengan memotong balak, membuat papan, memunggah dan membuat bata, ia dibuat sepenuhnya oleh mereka.

“Jarak untuk mencari dan memunggah balak kira-kira 10 km ke dalam hutan. Kami sama-sama meredah hutan, menebang dan memunggah balak yang sudah siap dipotong ke lokasi kedua yang berhampiran dengan sekolah.

“Cabarannya tetap ada, kami perlu menyeberang sungai dengan membawa kayu kayan yang telah siap dibentuk dan dipotong. Sementara batu bata pula kami bentuk sendiri dengan simen, pasir dan batuan dari sungai,”jelasnya.

Biarpun terdapat pelbagai cabaran dan kekangan yang terpaksa dilalui untuk keperluan murid di sini, namun berkat usaha dan kerjasama semua pihak, dewan serbaguna SK Ulu Lemanak  berjaya dibina.

Malah, majoriti guru dan murid di SK Ulu Lemanak, termasuk Guru Besar dan penduduk kampung kaum Iban dari kawasan rumah panjang, Rumah Utum, Nanga Uyau Ulu Lemanak ini berpuas hati dan gembira dengan hasilnya.

"Kami hanya mahukan yang terbaik untuk anak murid kami. Biarpun terpaksa meredah onak dan duri, kami sanggup demi mereka. Harapan saya, anak didik saya ini akan dapat merasai kemudahan asas sama seperti murid di luar sana. Saya yakin, mereka mampu untuk berjaya mengharumkan nama keluarga, sekolah dan bangsa jika diberikan kemudahan dan peluang yang sepatutnya.

“Moga, anak-anak ini menyedari betapa pentingnya ilmu serta dapat belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Mana tahu, suatu hari nanti mereka pula yang akan berkhidmat sebagai pendidik untuk berhidmat membangunkan masyarakat sendiri suatu hari nanti,”katanya.

Bekas penuntut Institut Perguruan Islam Bangi dan Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa di bangsar (IPBA) ini berkata, minat mendalamnya terhadap kerjaya perguruan tidak pernah luntur. Bahkan, isteri dan juga kedua ibu bapanya juga adalah pendidik, dan sering memberikan kata-kata semangat untuknya terus sabar mendidik anak bangsa.

“Semangat merekalah yang menjadikan saya kuat dan terus bersemangat di sini. Biarpun terpaksa berjauhan dari keluarga, saya yakin doa merekalah yang menjadi kekuatan buat saya,”katanya.

Projek tambahan dewan SK Ulu Lemanak.

Gotong royong meratakan tanah dan melebarkan kawasan binaan.

Proses membina dan menaikkan tiang.

Memotong dan membentuk kayu menjadi papan.

Proses mengikat untuk memudahkan kayu dipunggah.

Keadaan dewan yang hampir siap dibina.

Batu bata yang dibuat sendiri menggunakan pasir sungai, batu dan simen.

Artikel berkaitan:

Murid lain sibuk bungkus makanan dan balik rumah, murid ini capai penyapu bersihkan dewan

Kreatifnya cikgu… kaki lima sekolah kembali ceria dengan lukisan Hip & Hop Lane

Pelajar kelas belakang..cikgu ini kongsi enam kelebihan bagaimana nak ajar mereka

Guru Adiwira ini kongsi lapan tip, tarik minat belajar anak Orang Asli

Pelajar kelas belakang..cikgu ini kongsi enam kelebihan bagaimana nak ajar mereka

Lapan tip otak sihat, untuk jadi lebih bijak dan pandai