PERNAH berhasrat mahu menukar nama gara-gara sering ditanya keturunan, bangsa dan asal, namun akhirnya Watawa Nataf Zulkifli bersyukur kerana mempunyai nama unik dan melupakan hasratnya itu.

Menurutnya, hasratnya itu timbul ketika dia masih kecil dan tidak dapat berfikir secara terbuka mengenai namanya itu, sedangkan ia mempunyai makna yang baik.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini berkata, hanya dia diberi nama unik dalam keluarganya, manakala abang dan kakaknya mempunyai nama biasa seperti orang lain.

Katanya, abang sulungnya bernama Mohd Izuan, manakala kakaknya Norzuriyati.

"Masa kecil, saya tidak dapat berfikir secara baik, saya rasa macam nama saya ini bagi tekanan kepada saya. Ejekan itu biasa lah, budak kecil kan? Cuma saya agak tertekan apabila masuk tahun baru.

"Cikgu akan tanya saya banyak kali tentang keturunan, bangsa, asal, mengapa nama begitu. Perkara itu agak memberi tekanan kepada saya yang perlu menerangkan bahawa saya beragama Islam dan orang Melayu berulang kali.

"Rakan-rakan pun ada yang mengejek dan dengan faktor-faktor ini, saya menyatakan hasrat saya kepada ibu untuk tukar nama apabila besar nanti. Ibu faham dengan keadaan saya dan hanya mengiyakan sahaja. Dia tahu, lambat laun saya boleh terima apabila matang nanti," katanya.

 

Lahir pada Ramadan

Menyingkap bagaimana tercetusnya nama uniknya itu, dia yang lebih mesra disapa Tawa berkata, ia bermula apabila bapa dan ibunya masing-masing mahu menamakannya dengan nama yang berlainan.

Katanya, bapanya mendapat idea untuk menamakan anak bongsu itu sebagai Watawa ketika sedang menunaikan solat tarawih di masjid.

"Saya dilahirkan pada bulan Ramadan. Waktu itu memang belum ada kata putus dalam memilih nama saya. Ketika bapa saya menunaikan solat tarawih, dia mendapat idea untuk memberi nama Watawa. Watawa terkandung dalam al-Quran bermaksud nasihat (berpesan-pesan).

"Apabila dia pulang ke rumah, ibu pula nak namakan saya sebagai Nataf. Dia amat menyukai nama itu sempena nama rakan sekerjanya dari Tunisia yang dikenalinya. Namun, ibu lupa makna sebenar Nataf itu tetapi ia membawa maksud yang baik.

"Setelah berbincang, ibu dan bapa saya mengambil keputusan untuk menggabungkan nama saya menjadi Watawa Nataf," katanya.

 

Sering jadi tumpuan

Tambah penjawat awam berusia 32 tahun itu, dia juga sering menjadi tumpuan fasilitator ketika menghadiri kursus dek kerana nama uniknya itu.

"Setiap kali menghadiri kursus, fasilitator akan banyak soal mengenai nama saya. Ada yang tanya betul ke saya orang Melayu, kenapa nama macam orang Jepun dan banyak lagi. Saya terpaksa terangkan sejarah nama saya ini.

"Ada juga fasilitator kata nama saya susah nak ingat dan sebut. Ada juga yang gelar saya sebagai Watashiwa (bahasa Jepun). Mereka kata lebih senang ingat. Bagi saya, ok ja. Jangan sampai mengejek dengan gelaran yang membawa makna tidak baik, sudah lah," katanya.

Menurutnya, dia kini tidak lagi merasa tekanan, malah bersyukur kerana diberi nama unik yang mempunyai makna yang baik.

Dalam pada itu, Tawa juga merupakan salah seorang rakyat Malaysia yang terperangkap bersama beberapa rakannya dalam kejadian gempa bumi di Gunung Rinjani, Indonesia pada 29 Julai lalu.