Usaha melahirkan jaguh sukan negara bukan satu perkara mudah kerana banyak yang perlu dilakukan dan dikorbankan untuk mencungkil bakat mereka.

Itulah yang dilalui Ali Mohamad, seorang guru dan juga jurulatih memanah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru, Port Dickson. Antara pemanah yang dicungkil bakatnya oleh guru berusia 43 tahun ini adalah pemanah elit kebangsaan bagi program Sukan Sea KL 2017, Nor Afiza Abd Halil; pemanah negara untuk Sukan Malaysia, Shaerra Ezzaty Saffuan; pemanah Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Siti Aqilah Zakaria dan Nor Ain Sakinah Zulkiple serta pemanah untuk Youth Olympic Games 2017, Mimi Raihana Yazid.

Ali berkata, sukan memanah berjaya membawa anak-anak muridnya pergi jauh dan beliau mengakui ia bukan usahanya seorang.

“Alhamdulillah, hari ini ramai yang dah berjaya dalam 'level' masing-masing.

“Saya akui, ini bukan keringat saya seorang tetapi melibatkan ramai pihak antaranya rakan jurulatih, pentadbiran sekolah dan ibu bapa pemanah itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain menganjurkan klinik memanah di seluruh negara, Ali juga merupakan jurulatih kepada hampir 15 sekolah.

Suka tanpa sengaja

Menurut Ali, kerjayanya sebagai seorang jurulatih memanah bermula tanpa sengaja.

Katanya, dia masih ingat lagi pada Disember 2007, dia diarahkan untuk menghadiri kursus klinik memanah untuk persiapan SMK Kampung Baru menjadi tuan rumah kursus klinik memanah peringkat negeri.

“Saya mengaku ketika itu memang paksa rela. Saya tak minat memanah, sebab masa zaman sekolah saya adalah pemain bola sepak, badminton, hoki dan bola baling.

“Bagi saya, ketika itu memanah adalah sukan yang tak masuk akal sebab terpaksa lawan dengan diri sendiri untuk fokus pada sasaran.

“Akhirnya, sijil kursus saya tu, disimpan sahaja dalam fail,” katanya.

Anak sulung daripada enam beradik ini berkata, pada 2008, SMK Kampung Baru dipilih sebagai Pusat Latihan Daerah (PLD) sukan memanah.

“Saya sekali lagi dipanggil menjalani kursus memanah tahap satu kendalian Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) tetapi saya gagal, dan saya putus asa.

“Sepanjang tempoh itu, sekolah tetap hantar pelajar untuk menyertai pertandingan tetapi semuanya pada tahap corot, sebab masa tu kita tak ada jurulatih yang mahir,” katanya.

Ali bersama anak didiknya yang kini menjadi jaguh memanah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bangkit daripada kegagalan

Anak jati Terengganu ini berkata, dia bangkit untuk benar-benar menguasai sukan memanah apabila timbul kesedaran mahu membangunkan sukan tersebut yang ketika itu belum kukuh di Port Dickson.

“Bola sepak dah ada PLD sendiri, hoki pun dah ada PLD, jadi saya perlu buat sesuatu untuk sukan memanah.

“Saya hadiri sekali lagi kursus memanah NAAM. Alhamdulillah lulus, kemudian dalam tempoh 2009 hingga 2015 saya hadiri beberapa lagi kursus bagi memantapkan ilmu memanah.

“Tak ketinggalan saya juga jadikan Youtube untuk tengok teknik-teknik memanah daripada pemanah profesional,” katanya yang juga jurulatih World Archery Level 1.

Menurut Ali, waktu latihan bersama atlet memanah sekolahnya adalah setiap hari kecuali Ahad jam 3 hingga 6.30 petang dan Sabtu bermula 8 pagi hingga 5 petang.

“Sebenarnya, bermula akhir 2015, saya juga telah mula menjalankan klinik memanah. Boleh kata saya dan tim memanah SMK Kampung Baru dah pergi merata negeri untuk beri kursus ini kepada pemanah lain.

“Ini kerana SMK Kampung Baru telah mula dikenali sebagai antara yang melahirkan dan mempunyai jaguh sukan memanah. Banyak pingat kejayaan kita dapat sama ada pertandingan kebangsaan atau luar negara," katanya.

Ali berkata, antara penyuntik semangat beliau adalah anak-anak buahnya sendiri.

“Mereka meletakkan sepenuh komitmen dalam sukan ini. Bagi yang telah menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, tetap akan kembali ke sekolah untuk memberi motivasi dan berkongsi pengalaman dengan pemanah baru,” katanya.

Beliau berkata, fokusnya sekarang ini untuk pecahkan rekod pencapaian lapan emas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2014.

Katanya, tahun ini MSSM mahu bawa balik sekurang-kurangnya sembilan emas.

“Begitu juga dengan Sukma (Sukan Malaysia) untuk menambah baik pencapaian sedia ada,” kata bapa kepada empat anak ini.

Jurulatih hampir 15 sekolah Ali bukan sahaja menjadi jurulatih kepada SMK Kampung Baru, malah merupakan jurulatih memanah kepada hampir 15 sekolah menengah dan rendah di sekitar Port Dickson serta Seremban termasuk politeknik.

“Memang penat tapi berbaloi bila lihat anak buah kita berjaya. Saya anggap dengan cara ini, saya dapat balas jasa guru-guru sekolah saya dahulu yang mana mereka juga bertungkus-lumus bukan sahaja di dalam kelas tetapi di padang untuk memastikan saya dan anak murid yang lain cemerlang dalam akademik dan sukan,” katanya.

Ali yang juga Pengerusi Teknik Sukan Memanah Port Dickson sering dipanggil untuk rancangan pembangunan memanah remaja negara.